"Apa Lagi Yang Doktor Boleh Buat, Doktor Selalu Berada Dalam Situasi Serba Salah."
Memang serba salah kalau jadi situasi macam ni.
Memegang tanggungjawab sebagai seorang doktor bukanlah suatu perkara yang mudah kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai situasi serta bermacam ragam pesakit. Malah, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh doktor adalah atas tanggungjawab mereka sepenuhnya.
Namun, perkongsian kisah daripada Fahd Razy berkaitan pengalamannya sepanjang menjadi doktor ini pastinya membuatkan sesiapa saja mengalirkan air mata. Beliau berkongsi beberapa kisah mengenai pesakit-pesakit yang pernah beliau temui sepanjang bergelar doktor hingga ke hari ini.
API DI DEPAN, DURI DI BELAKANG
Dia seorang tukang cuci pinggan. Datang untuk minta ubat sapu. Kedua-dua tangannya menggelupas teruk, ada bahagian yang bernanah, ada yang berdarah. Bahkan ada bahagian yang kemerahan nampak isi. Berbau juga. Sangat teruk!
Diagnosis – Infected Contact Dermatitis. Tangannya mendapat radang kulit akibat terlalu terdedah dengan sabun basuh pinggan terlalu lama. Alergik pun ada. Lalu kuman-kuman pun masuk ke dalam luka-luka tersebut.
“Puan kena rehat. Ambil cuti dulu dua-tiga minggu, jangan sentuh air sabun. Kalau tak, saya bagi ubat berbotol-botol pun sampai bila-bila tak akan baik.”
Sudah beberapa bulan, beberapa kali jumpa pakar kulit. Tetapi tak sembuh-sembuh, kerana dia terus menerus mencelupkan tangannya ke dalam air sabun yang jadi punca tangannya begitu. Bayangkan api - doktor simbah air (ubat), tapi dia simbah minyak kembali (guna sabun sama lagi). Sampai bila-bila pun tak akan padam.
Pelbagai cubaan, guna sarung tangan, gagal. Tukar sabun, pun gagal.
“Tak boleh doktor. Kalau saya cuti dua hari pun, tak cukup duit, anak-anak saya nak makan apa? Kalau dua minggu, mati lah saya nanti doktor.” Sebak saya dengar.
Doktor sering terperangkap dalam situasi begini. Serba salah.
Tak semua penyakit memerlukan ubat. Kadangkala ia hanya semudah – mengelakkan punca penyakit (seperti alergik dan dermatitis ini). Benar katanya. Contact dermatitis sebegitu, rawatan terbaik ialah – JAUHI irritants atau bahan kimia/sabun yang menjadi puncanya.
Malangnya, itu satu-satunya cara untuk dia dapat makan. Dapat hidup.
Seorang pesakit yang lain, sakit belakang yang sangat teruk. Sangat teruk, bergantung kepada analgesik (pil tahan sakit) semata-mata. Punca, terlalu mengangkat barang berat, kerja buruh. Umurnya pun dah hampir 50, unsur-unsur osteoporosis tentu ada.
“Pakcik kena rehat lah. Makan ubat saja tak jadi. Hilang sakit kejap beberapa jam, lepas tu datang balik. Makin kerja makin teruk.”
Dia geleng.
“Pakcik rehat, tak ada duit lah Doktor. Anak-anak ada yang sekolah lagi. Duit bantuan mana cukup.”
Kita selalu ambil mudah kesenangan kita. Nikmat-nikmat yang kita dapat, terutama kesihatan. Makan-minum cukup, sihat pula.
“Pakcik demam tinggi ni! Hari ni rehat, saya bagi MC dua hari ya? Jangan menyapu, panas ni.”
“Tak apa lah doktor. Selagi boleh kerja, pakcik kena kerja. Pakcik dibayar ikut hari, nanti tak ada duit nak makan.”
Apa lagi yang doktor boleh buat?
“Makcik, kena rehat sikit. Siang berniaga dah. Malam memasak lagi. Ni tekanan darah tinggi sangat, boleh pecah salur darah nanti kena stroke.”
“Tak boleh doktor. Tak ada orang nak tolong makcik. Kalau tak jual, tak makan lah makcik.”
Selagi boleh bergerak, selagi itu mereka tak akan berhenti.
“Encik, seminggu sampai 3 kali kena asma ni. Cuba lah tukar skop kerja lain, bincang dengan bos. Bawa lori pasir ni banyak terdedah debu. Bahaya, takut nanti tiba-tiba dapat serangan teruk. Asma jangan main-main encik, ramai yang kritikal kerana asma.”
“Tak apa lah doktor. Dah cuba bincang, bos kata kalau nak tukar, saya kena buang lah. Kerja lain tak reti dah. Tak apa lah. Kalau dah sampai masa saya, nak buat macam mana. Sekurang-kurangnya tak payah fikir pasal makan-minum dah.”
Ah.
Apa lagi doktor nak kata? Nak melangkah, api di depan. Nak berpatah, duri di belakang. Terpaksa mereka meneruskan hidup walaupun memakan diri.
Semoga golongan ini diberkati dan dipermudahkan perjalanannya. Amin.