"Berapa Dalam Ni? Kalau Sikit Seringgit Dua Ringgit, Kita Tak Naklah!"
"Janganlah kerana si anak itu nakal, kita menyalahkan si ibu bapa seratus-peratus." - Syahr Musafir
Artikel ini ditulis oleh Dr Syahr Musafir di laman Facebook, kemudian diambil dan dikongsi semula di SAYS atas kebenaran beliau.
Saya bawa isteri dan anak-anak beraya di rumah seorang kenalan baru-baru ini. Macam biasa, kita bersembang, makan dan sebagainya. Selesai semuanya, saya dan isteri bingkas bangun, nak minta diri untuk pulang.
Saya mencapai beberapa keping sampul duit raya dari dalam beg untuk diberikan kepada kanak-kanak di rumah itu. Datang seorang kanak-kanak perempuan, saya tak kenal siapa dia, tetapi yang pasti bukan anak tuan rumah, meminta duit raya mungkin setelah dia nampak sampul-sampul itu ada pada tangan saya. Saya berikannya satu sampul. Selesai.
Saya terus agihkan duit raya. Seorang dapat satu sampul, yang sudah berumur belasan tahun pun saya berikan juga walaupun ada yang menolak. Tak apalah, kira sedekah juga, kira adab dan adatnya juga.
Ada dua kanak-kanak lelaki sedang kejar-mengejar dekat seorang wanita, berkemungkinan itu ibunya, saya memanggil mereka. Mereka pun tetamu di rumah ini, bukan anak tuan rumah. Salah seorang daripada dua kanak-kanak tersebut datang mendekati saya, saya hulurkan satu sampul duit raya kepadanya. Dia ambil, dia mengucapkan terima kasih, dia tersenyum. Saya turut senyum.
Datang pula, saya mengagak, si abangnya. Saya hulurkan satu sampul duit raya kepadanya. Dia mengangkat kening, dan berkata, "Berapa dalam ni? Kalau sikit seringgit dua ringgit, kita tak naklah!"
Saya terkedu.
Seriously, I was speechless.
"Ambillah," saya tetap hulurkan sampul duit raya kepadanya, tanpa memberi jawapan kepada soalannya. Wanita tadi, saya mengagak itu ibunya, diam seribu bahasa tetapi mukanya merah padam dan riak bahasa wajahnya, dia seakan malu dan kecewa dengan apa yang dituturkan oleh anaknya. Matanya semacam berair. Dia seakan nak berkata sesuatu, saya cepat-cepat angkat tangan ke dada, senyum, buat gaya "It is OK," supaya dia tak perlu minta maaf kalau si ibu mahu minta maaf.
Saya terus minta diri daripada tuan rumah, kami pun pulang.
Hari ini saya terbaca kisah viral teguran Chef Wan kepada anak-anak saudara maranya, buat saya terus teringat kisah ini semula.
Biasalah kalau kanak-kanak nakal yang datang ke rumah kita menyebabkan rumah kita kucar-kacir, sepahkan ruang tamu, pecahkan barang perhiasan. Ada pula kanak-kanak lain menumpahkan air, makanan, menangis menjerit tantrum, dan pelbagai lagi.
Pada hari raya pula, ada sesetengah kanak-kanak datang kepada kita meminta duit raya. Bak kata ramai orang, ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak supaya tidak meminta-minta duit raya. Tak elok.
Ada pula kanak-kanak yang membuka sampul duit raya sebaik sahaja dia menerimanya daripada mana-mana orang. Tak cukup dengan buka depan-depan pemberi, siap jerit lagi menyebut berapa duit yang dia dapat. Aduiii.
But, that boy just now, he was really something. Tak meminta-minta duit raya, tetapi 'warning' dia tak mahu terima duit raya jika sikit, atau murah. Saya terkedu, for real.
Saya tak salahkan sesiapa.
Good parents can do so much to teach their kids. Ajar itu ini, ajar agama, ajar adab, ajar segala-galanya. Kalau si anak pertama boleh patuh dan mengikut, tak siapa tahu adik-adiknya juga akan patuh juga atau membesar dengan a totally opposite behaviour. Begitu juga jika si kakak atau si abang yang jahat, tak semestinya si adik akan jahat juga. Dua kanak-kanak tadi pun sama, si adik (saya agak, berdasarkan tinggi dan saiz badan yang lebih kecil) datang senyum dan berterima kasih, si abangnya pula tak elok bahasanya.
Saya tak mahu menyalahkan ibunya, sebab saya rasa ibunya tahu di mana silapnya si anak, menyebut perkara yang tak sepatutnya. Saya yakin sebagai ibu bapa yang baik dan sedar, kita akan DIDIK anak kita apabila kita tahu apa yang telah terjadi seperti situasi saya ini, kita akan ajar anak-anak supaya behave, ucap terima kasih, tak buka sampul duit raya depan pemberi, bla bla bla dan kita pesan jangan sesekali mempersoalkan duit raya itu banyak atau sikit. Not good.
Kids will be kids. They are still growing, they are still learning. And what they have to learn is A LOT.
Sebagai ibu bapa, sebagai cikgu-cikgu, sebagai bapa dan ibu saudara, sebagai pak cik mak cik, sebagai orang dewasa, sebagai jiran tetangga, kita harus SABAR dengan kerenah mereka dan sedaya upaya memperbetulkan apa yang salah, improve apa yang kurang. Dengan BAIK.
JANGAN jadi penghukum kepada kekurangan-kekurangan yang mereka ada, jangan mengherdik anak-anak yang tersilap buat sesuatu, jangan menghina anak-anak yang kurang elok perangainya, jangan menyumpah mereka dengan perkataan-perkataan kotor, jangan pula 'membinatangkan' anak-anak apabila mereka kurang adab. Marahlah, dengan BAIK.
Kita pun budak juga dulu, remember?
Kids will be kids, we can do so much to teach them. But at the end of the day, they will still be kids, they play a lot, they make mistakes, they cause troubles, and they behave like kids. Be it we say it is ridiculous, misbehaviour, rude, hyperactive or else, kids are being kids. As long as we do our 'job' as parents, we fulfill our responsibilities to teach and nurture them with good deeds and behaviour, we leave it to Allah SWT to guide them. TAWAKKAL.
Janganlah kerana si anak itu nakal, kita menyalahkan si ibu bapa seratus-peratus. Jangan kerana si anak itu tak mampu dikawal, kita menuding jari kepada ibu bapa semata-mata. Ada ibu bapa yang saya kenal sudah berbuat segala apa sahaja yang boleh, untuk 'meluruskan jalan' si anak, tetapi anak-anak tetap 'salah jalan', terlalu ganas, aktif, dan sebagainya. Dan kita mengumpat di belakang, "Minah dan Mamat (bukan nama sebenar) tu buat anak je pandai, tapi tak pandai jaga anak. Anak perangai macam setan!" Kenapalah pula kita yang menjadi penghukum...
Ada anak, depan ibu bapanya, behave elok, pijak semut pun tak mati. Ada anak, depan ibu bapanya, pun nakal terlebih-lebih. UJIAN masing-masing buat ibu bapanya.
Teringat pasangan pak cik mak cik yang saya kenal, dua insan mulia yang banyak sumbangan kepada masyarakat, murah dengan senyuman, selalu beri sedekah, dan pelbagai lagi. Setahu saya, mereka ibu bapa yang baik, mereka juga pernah menjaga saya dan saya dapat rasa mereka adalah ibu bapa yang hebat. Namun, mereka diuji Allah SWT apabila dua anak lelaki mereka terlibat dengan najis dadah, seorang dipenjara kerana kesalahan mengedar dadah (kalau tak silap) dan seorang lagi sudah meninggal dunia gara-gara dadah, pada usia baru belasan tahun. Anak-anak perempuan mereka elok, menjaga aurat, berjaya dalam bidang akademik dan bekerjaya.
Dan saya bermuhasabah, ibu bapa boleh buat segala-galanya yang baik untuk pastikan anak-anak membesar dengan baik, tetapi bukan tubuh badan kita sebagai ibu bapa dan bukan juga didikan kita yang menjadikan anak-anak kita baik, tetapi ALLAH SWT jualah yang memegang hati-hati seluruh anak kita, sama ada mereka dengar kata, atau tidak.
Inilah konsep TAWAKKAL, bergantung penuh kepada Allah untuk jadikan anak-anak kita anak-anak bakal penghuni syurga, sepanjang kita membesarkan anak-anak. Tawakkal sepanjang masa, berharap, berdoa, bergantung kepada Allah SWT. BUKAN mendabik dada anak-anak aku behave sebab aku adalah seorang ayah yang baik!
Saya bermuhasabah hari ini, saya harus buat yang TERBAIK tetapi jangan lupa TAWAKKAL penuh kepada Allah SWT. Jangan sesekali lupa tempat bergantung yang paling utama adalah Allah SWT dan jangan sesekali kata "Anak aku berjaya kerana aku, kerana didikan aku, kerana usaha aku," tetapi katakan "Anak-anak aku berjaya sebab Allah SWT yang berjayakan anak-anakku!" Dan yang tidak berjaya, jangan terlalu menyalahkan diri sampai kita lupa bukan tangan kita sahaja yang menentukan masa depan anak-anak, tetapi ada 'campurtangan' Allah juga dalam menentukan baik buruk seseorang manusia.
Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa.....
Tawakkal juga adalah usaha dan tanggungjawab.