"Dosa Semata Tidak Membolehkan Seseorang Dikafirkan," Ulasan Dr Maza Berkaitan Isu LGBT

Homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam.

  • Masyarakat negara ini kini berdepan dengan perbahasan mengenai gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT)

    • Amalan gaya hidup LGBT sememangnya diharamkan oleh agama Islam, apatah lagi diamalkan secara terbuka oleh masyarakat Timur.

      Namun begitu, kebangkitan golongan ini dan kemunculan NGO-NGO yang memperjuangkan isu LGBT di Malaysia seperti Pelangi Campaign, Justice For Sisters (JFS), Komuniti Muslim Universal (KMU), Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (COMANGO) dan pelbagai pertubuhan lagi sedang digerakkan bagi mencapai matlamat untuk memastikan LGBT diterima sepenuhnya di Malaysia.

  • Baru-baru ini heboh di media di mana seorang individu terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan disebabkan isu 'gay'

      • 10b3 Image via Berita Harian
        Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
    • Individu terbabit yang juga merupakan Pengerusi Pelangi Campaign For Equality, satu Badan Bukan Kerajaan yang memperjuangkan hak LGBT, menerima kecaman hebat sehingga dia mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan.

      "Saya mengambil keputusan tidak bertugas secara rasmi di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan akan ke luar negara dalam masa terdekat bagi menentukan apa hala tuju selepas ini," katanya ketika dihubungi akhbar Utusan.

      Perkara ini juga turut menjadi perbahasan kerana menentang gejala songsang LGBT bukanlah sehingga menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia yang harus hidup dengan kehormatan.

      Hak asasi mereka terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih perlu dihormati dan dipelihara.

  • Tambahan lagi, Mufti Perlis, Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA turut tampil memberi kenyataan berkaitan isu LGBT yang dilihat kian berleluasa di Malaysia

    • Dalam akaun Facebook miliknya, Dr. Maza telah mengakui bahawa fahaman LGBT yang dahulunya dianggap ganjil, kini menjadi sebahagian daripada isu penting dan wajar dititikberatkan dan ditangani.

      Dr. Maza juga telah menyenaraikan beberapa perkara berkaitan sikap Islam itu sendiri terhadap golongan LGBT ini untuk memberi kefahaman menyeluruh kepada orang Islam dan juga orang bukan Islam.

  • Berikut adalah perkara-perkara tersebut:

  • 1. Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks sama ada homoseksual atau zina

    • Bahkan kita disuruh untuk mengelak dari menerima pengakuan perlakuan seks seseorang yang tidak mengikut peraturan yang sah. Ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan.

      Dalam satu riwayat sahih, Rasulullah SAW sendiri menolak pengakuan zina seorang hamba Allah itu kerana urusan taubat adalah antara dirinya dengan Allah SWT sahaja.

      Oleh itu jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan mempedulikannya.

      Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu bahkan disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.

  • 2. Perbuatan homoseksual merupakan satu dosa tetapi menuduh orang lain melakukan perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar

    • Bahkan mencari-cari kesalahan orang dalam maksiat peribadi antara dia dan Allah merupakan satu dosa yang dilarang oleh agama.

      Dalam riwayat al-Hakim tertulis kisah di mana kedua-dua sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu 'Abd ar-Rahman bin Auf dan Umar bin al-Khattab telah memilih untuk tidak mengintip sekumpulan orang yang sedang mabuk di dalam rumah, kerana walaupun perbuatan meminum arak itu berdosa, namun mengintip juga sangat dilarang oleh Allah SWT.

  • 3. Jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan

    • Demikian juga jika kempen ke arah maksiat itu secara terbuka, maka jawapan balas juga perlu secara terbuka.

      Ini kerana perbuatan maksiat peribadi yang terbuka mengeluarkan maksiat itu dari daerah urusan peribadi seseorang dengan tuhannya, maka dengan mengadakan kempen secara terbuka akan mengganggu pihak yang lain dan persekitaran setempat.

      Namun, bantahan itu hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan setiap pihak tanpa membawa kepada kerosakan yang lain. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman."

  • 4. Seseorang yang melakukan dosa dalam perkara tertentu, bukanlah bererti dia dinafikan hak dalam perkara yang lain

    • Sebagai contoh dosa berzina, atau homoseksual, atau minum arak, atau berjudi dan seumpamanya. Dosa-dosa ini dibantahkan dan diingkari, namun diri yang melakukan dosa tersebut tidak dinafikan haknya dalam hal-hal yang dia berhak lebh-lebih lagi dalam kehidupan bernegara yang setiap rakyat mempunyai haknya yang tertentu.

      Dalam satu hadis riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW sendiri mengajar kita untuk berinteraksi sambil bergelak ketawa dengan seorang pemabuk. Ini beerti kesalahan seseorang itu tidak memberikan lesen semudah-mudahnya untuk orang lain memakinya.

      Nabi SAW melarang mereka mencercanya kerana baginda kenal kebaikan lelaki tersebut. Dosa tetap dosa. Namun, satu dosa tidak menjustifikasikan untuk dosa lain dilakukan ke atas diri yang berdosa.

      Dalam konteks hari ini, hak pendidikan, hak jual-beli, hak bekerja, hak mendapat keadilan, hak harta dan seumpamanya bagi golongan yang melakukan dosa besar ini termasuk LGBT tidak diganggu selagi mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang berkaitan hal tersebut. Atas dasar keadilan, semua peraturan terpakai kepada semua pihak yang terbabit secara adil dan saksama.

  • 5. Homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam

    • Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia tetap seorang Muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain. Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah SWT. Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah SWT masih terbuka untuk mereka.

      Sebagai Muslim, mereka ada hak-hak sesama Muslim yang wajib ditunaikan. Ini seperti nasihat-nasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya.

      Demikian juga, sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya. Ini apa yang Nabi SAW sebut tentang hak-hak sesama Muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas Al-Quran dan hadis.

  • 6. Amalan seks sesama jenis tetap ditolak oleh kerana ia menyalahi hukum hakam sebagai seorang manusia

    • Tuhan telah menciptakan lelaki dan wanita, maka melalui perhubungan seks kedua-dua jantina ini manusia membiak dan berkembang secara fizikal dan emosi.

      Seks sesama jenis merosakkan fitrah yang Tuhan ciptakan manusia. Ia merosakkan rohani dan jasmani insan sama seperti seks sesama mahram (incest), ataupun manusia dengan haiwan.

      Jika seks sesama jenis diiktiraf atas asas hak asasi, maka seks sesama mahram (incest), seks dengan isteri orang lain, seks dengan haiwan dan seumpamanya dengannya juga nanti akan diiktiraf atas asas yang sama.

      Islam sebagai agama fitrah tidak mungkin mengiktiraf hal ini semua bahkan menolaknya dan menganggapnya keji.

  • 7. LGBT dalam masa yang sama perlu diingat bahawa ia juga kadang-kala merupakan satu ujian terhadap jiwa sesetengah individu

    • Golongan ini sebahagiannya tidak dapat mengawal nafsu yang tidak sewajarnya itu yang akhirnya mereka terjatuh dalam dosa tersebut.

      Kita juga mempunyai dosa dalam perkara yang lain seperti mana kita mengharapkan keampunan Allah, demikian juga sebahagian mereka.

      Oleh yang demikian, tugasan kita bersama ia membantu antara satu sama lain kembali kepada Allah dan mendapatkan keampunanNYA.

  • 8. Berdakwah agar golongan LGBT ini kembali kepada fitrah merupakan dakwah yang mulia

    • Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar. Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu.

      Maka, laras bahasa yang kita gunapakai dalam mengimbangi dakwaan mereka bahawa mereka juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini.

      Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama Muslim.

  • 9. Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh cinta dan taubat

    • Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik.

      Golongan LGBT sama seperti kita semua, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.

  • Boleh baca kenyataan penuh Dr. Maza di bawah:

  • Golongan LGBT tidak sepatutnya disingkirkan sebaliknya dibantu untuk mendekatkan mereka kepada ajaran agama Islam yang sebenar

  • Semoga perkongsian ini memberi kita lebih kefahaman tentang isu ini

  • LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

  • Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

Most-read stories today

Leave a comment