[GAMBAR] Pasangan Cina Pilih Konsep Perkahwinan Melayu Tradisional
Terserlah kebahagiaan dan keharmonian hidup masyarakat majmuk dalam majlis ini. Memang ini yang rakyat Malaysia mahukan.
Sepasang Pengantin Cina, Soo Sheng Leng Dan Goh Sok Chin Membuat Kejutan Apabila Tampil Dengan Konsep Perkahwinan Melayu Tradisional Dalam Sebuah Majlis Di Alor Setar, Kedah Pada 30 November 2014
Pasangan pengantin Tionghua mencetuskan kejutan manis di kalangan penduduk Kampung Alor Rambai, Kepala Batas apabila mereka memilih konsep perkahwinan Melayu bagi meraikan saat-saat bahagia mereka.
Soo Sheng Leng, 28, begitu segak mengenakan baju Melayu bersamping dan songkok, sementara isterinya Goh Sok Chin, 27, cukup menawan dengan kebaya Kedah.
Majlis Perkahwinan Indah Itu Dihadiri Kira-Kira 3,000 Orang Tetamu Dari Kalangan Saudara Mara, Rakan-Rakan Dan Juga Jiran Tetanggga
Kedua-duanya yang langsung tidak menampakkan rasa kekok, menyerikan lagi majlis perkahwinan berkonsepkan gotong-royong masyarakat Melayu.
Kira-kira 3,000 saudara mara, rakan dan jiran meraikan pengantin.
Menurut Bapa Kepada Pengantin Lelaki, Majlis Berkonsepkan Melayu Tradisional Ini Memang Sudah Lama Dirancang Dan Telah Pun Mendapat Persetujuan Daripada Semua Pihak
Soo Lian Heng, 58, bapa kepada pengantin lelaki berkata majlis perkahwinan anaknya yang berkonsepkan adat Melayu telah lama dirancang bersama keluarga dalam usaha merapatkan lagi hubungan keluarganya bersama penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Melayu.Pemilik kedai runcit itu berkata rancangan itu diterima baik oleh keluarganya dan keluarga pengantin perempuan, rakan serta jiran.
"Saya berterima kasih kepada rakan dan jiran bagi sokongan kepada saya. Tanpa sokongan mereka kenduri kampung ini tak akan berjaya," katanya.
Pasangan Mempelai Ternyata Teruja Dan Berbangga Kerana Dapat Berkongsi Kegembiraan Sambil Menyifatkan Majlis Ini Sebagai Antara Kenangan Paling Manis Dalam Hidup Mereka
Pengantin lelaki Soo, pekerja sebuah syarikat swasta di Kulim itu berkata pada mulanya dia agak terkejut dengan rancangan bapanya itu namun tidak membantah.
"Saya amat bangga sebagai rakyat Malaysia. Saya dapat berkongsi kegembiraan ini bersama isteri, keluarga dan penduduk kampung," katanya.Manakala pengantin perempuan pula, bercakap mengenai baju kebaya Kedah yang dipakainya, Goh berkata, "Saya sangat teruja dan ini kenangan manis dalam hidup saya dan suami. Pengalaman ini akan diingat sampai bila-bila," kata pekerja syarikat swasta di Kulim itu.
Penduduk Kampung Juga Didapati Terkejut Kerana Majlis Seperti Itu Tidak Pernah Diadakan Sebelum Ini
Penduduk kampung, Suraya Mat Lazim, 44, berkata dia agak terkejut apabila Soo menjemputnya sekeluarga menghadiri majlis kenduri kahwin konsep Melayu.
Menurutnya, majlis seumpama ini pertama kali diadakan oleh masyarakat Tionghua di kampungnya. Katanya lagi, sebagai jiran dia turut membantu keluarga tersebut pada majlis itu.