‘Saya Tak Mampu Sediakan Kelengkapan Sekolah Anak-Anak’
Katanya, tiada sebarang bantuan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal diterima setakat ini.
Cover image via SAYS via BH OnlineSedia maklum, semalam adalah hari pertama persekolahan bagi tahun 2017. Sebagai ibu bapa, tentunya segala keperluan anak-anak telah disediakan lebih awal untuk memastikan hari pertama persekolahan anak-anak berjalan lancar.
Kasut, baju, seluar, beg dan sebagainya adalah antara keperluan penting yang mesti disediakan mereka. Apatah lagi buat ibu bapa yang anaknya baru saja berumur 7 tahun (Tahun 1). Pastinya masing-masing teruja untuk melihat anak kesayangan menyarung pakaian sekolah dan disebabkan itu persiapan pun haruslah lengkap.
Tetapi tidak buat seorang ibu tunggal di Melaka yang mana segala kelengkapan anak-anaknya dibuat secara sederhana. Pakaian sekolah juga hanyalah hasil sumbangan orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarganya.
Perkara itu menjadi bualan orang ramai apabila gambar anaknya yang kelihatan berpakaian lusuh ke sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh tersebar luas di laman sosial, Facebook.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnah, 40-an, berkata walaupun berita yang tersebar itu benar namun bukan beliau yang bertanggungjawab menyebarkannya.
Tiga anaknya, Farid Zakaria, 18, Julie Kalthum, 8, dan Fatimah Zahara Abdullah, 7, itu hanya menerima pakaian sekolah sumbangan orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarganya, sejak empat tahun lalu.
Dalam laporan BH Online semalam, beliau memberitahu bahawa beliau sememangnya tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah anaknya termasuklah memberi wang saku.
"Saya tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah untuk mereka kerana tidak mampu, malah wang saku juga saya tidak mampu beri," katanya ketika ditemui BH Online semalam.
Bagi menampung keperluan diri dan anak-anaknyaa itu, beliau terpaksa bekerja sebagai guru kelas tambahan secara sambilan dengan pendapatan RM50 bagi tempoh dua jam.
Dua keping gambar Fatimah Zahara, yang hadir pada sesi daftar murid Tahun Satu di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh dengan mengenakan pakaian sekolah serta kasut lusuh tersiar di laman sosial, Facebook semalam.
Image via BH Online

