Lelaki Rugi RM130,000 Ditipu 'Teman Wanita AI', Padah Konon Bercinta Hubungan Jarak Jauh
Macam mana dia boleh yakin dengan pasangan dia, dah lah tak pernah jumpa hmm.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki di Shanghai mengalami kerugian kira-kira RM130,000 selepas ditipu dalam 'hubungan jarak jauh' dengan kekasihnya yang tidak wujud
Menerusi laporan Harian Metro, teman wanita itu sebenarnya ialah watak yang dicipta dalam sindiket penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut penyiar rasmi China Central Television (CCTV), sindiket penipuan terbabit menggunakan perisian AI generatif untuk menghasilkan imej serta video realistik seorang wanita muda bagi menyamar sebagai Jiao, watak kekasih rekaan mereka.
Mangsa yang dikenali sebagai Liu dikatakan telah memindahkan hampir 200,000 yuan (kira-kira RM130,000) ke akaun bank yang disangka milik teman wanitanya selepas ditipu dengan alasan memerlukan wang untuk memulakan perniagaan dan membantu saudara yang sakit.
Difahamkan, kumpulan penipu licik itu turut mencipta kad pengenalan palsu serta laporan perubatan bagi menyokong pembohongan mereka.
Sepanjang hubungan itu, Liu tidak pernah bertemu Jiao secara bersemuka
Berdasarkan siasatan polis, sindiket itu beroperasi sebagai satu pasukan dengan menghantar video dan gambar yang dihasilkan sepenuhnya melalui AI atau gabungan beberapa imej.
Rakaman CCTV turut memaparkan gambar seorang wanita dalam pelbagai situasi, termasuk memegang palet cat dan berdiri di jalan raya di bandar.
Kemajuan teknologi AI yang mampu menghasilkan teks, imej, malah video secara langsung semakin digunakan dalam modus operandi penipuan di seluruh dunia.
Terdahulu, syarikat media sosial Amerika Syarikat (AS), Meta, memberi amaran kepada pengguna internet supaya berwaspada terhadap kenalan dalam talian yang menawarkan cinta tetapi sebenarnya hanya mahu menipu wang, sambil menegaskan kes penipuan menggunakan AI generatif kini semakin meningkat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment