Amerika Syarikat, Iran & Sekutu Setuju Gencatan Senjata Serta-Merta Selama Dua Minggu
Perkembangan itu diumumkan sejam sebelum tarikh akhir AS untuk menghancurkan Iran tamat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Amerika Syarikat (AS), Iran dan sekutu negara berkenaan bersetuju untuk gencatan senjata membabitkan semua kawasan termasuk Lubnan
Menurut laporan Berita Harian, perkara itu disahkan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, hari ini selepas mediasi pihaknya bagi menghentikan peperangan yang memasuki hari ke-40 hari ini.
"Saya gembira mengumumkan Republik Islam Iran dan AS bersama sekutu mereka telah bersetuju untuk gencatan senjata segera di semua kawasan termasuk Lubnan dan lain-lain, berkuatkuasa serta-merta," katanya di platform X.

Tambah beliau, Islamabad pada Jumaat ini akan menyambut delegasi dari kedua-dua negara untuk mengadakan rundingan bagi mencapai 'perjanjian muktamad'.
Justeru, beliau berharap agar rundingan itu bakal membuahkan hasil sekali gus manfaat semua pihak.
"Kami amat berharap bahawa 'Rundingan Islamabad' berjaya mencapai keamanan yang lestari dan berharap dapat berkongsi berita baik yang lain dalam beberapa hari akan datang," katanya.
Tehran dan Washington kedua-duanya mengumumkan bahawa mereka bersetuju untuk gencatan senjata selama dua minggu
Perkembangan itu diumumkan sejam sebelum tarikh akhir Presiden AS, Donald Trump, untuk menghancurkan Iran tamat.
Pakistan, yang menjalin hubungan rapat dengan Trump dan peka terhadap perkembangan di negara jiran Iran, muncul sebagai pengantara mesej antara Tehran dan Washington dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Perang bermula apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran pada 28 Februari lalu.
Ia sekali gus mencetuskan serangan balas dari Tehran terhadap negara-negara Teluk dan Israel.
Lubnan juga terbabit dalam konflik terbabit selepas kumpulan yang disokong Iran, Hizbollah, melancarkan serangan ke atas Israel, yang kemudiannya membalas dengan serangan termasuk ke atas ibu negara dan melancarkan operasi darat di selatan negara itu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via