Lampu Brek ‘Albino’ Makin Popular, Tapi Pakar Kata Ia Bahayakan Pengguna Jalan Raya
Penggunaan lampu brek merah bukan sekadar pilihan reka bentuk, sebaliknya ia merupakan piawaian keselamatan yang digunakan di seluruh dunia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Trend memasang lampu brek berwarna putih atau dikenali sebagai lampu 'albino' pada kenderaan kini semakin mendapat perhatian, namun pakar keselamatan jalan raya memberi amaran bahawa ia boleh mengundang risiko kemalangan
Menurut laporan Harian Metro, Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Manan Supri berkata, penggunaan lampu brek merah bukan sekadar pilihan reka bentuk, sebaliknya ia merupakan piawaian keselamatan yang digunakan di seluruh dunia.
Menurut beliau, warna merah dipilih kerana mudah dikenali sebagai isyarat untuk berhenti, selain tidak menyilaukan dan lebih jelas dilihat dalam keadaan gelap.
Sebaliknya, lampu brek putih yang terlalu terang boleh mengganggu penglihatan pemandu di belakang serta menyebabkan kekeliruan kerana menyerupai lampu undur atau lampu lain pada kenderaan.
"Silauan cahaya putih secara tiba-tiba boleh menyebabkan pemandu mengalami gangguan penglihatan sementara, sekali gus melambatkan reaksi mereka ketika memandu," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via ThreadsBeliau menjelaskan, walaupun gangguan itu hanya berlaku beberapa saat, ia sudah cukup untuk meningkatkan risiko pelanggaran dari belakang, terutama ketika trafik sesak atau kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi
Justeru, Manan menegaskan bahawa sebarang pengubahsuaian yang menukar warna atau intensiti asal lampu brek adalah tidak dibenarkan kerana sistem pencahayaan kenderaan perlu mematuhi spesifikasi keselamatan yang telah diluluskan.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan aksesori kenderaan yang tidak mendapat kelulusan teknikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk lampu albino yang semakin banyak dikesan pada lori dan kenderaan lain.
Bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, pemilik kenderaan disaran mengelakkan pemasangan lampu yang tidak mengikut spesifikasi asal yang ditetapkan pihak berkuasa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via