Lebih 10 Ribu Orang Ditipu Kerja Online ‘Like’ & ‘Share’ Sejak Januari 2025 – PDRM
Difahamkan, mangsa diminta bayar dahulu untuk dapat komisen.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ditawarkan kerja mudah untuk 'like' atau 'share', tetapi semua itu hanya taktik penipuan sahaja
Kerja sambilan ini kononnya mudah sahaja di mana pekerja diberi tugasan seperti menekan butang 'like', 'share' atau pembelian barangan secara dalam talian.
Ramai individu yang mahu mencari pendapatan tambahan telah tertipu dengan skim ini.
Menurut laporan dari Free Malaysia Today, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Isa, mengatakan kegiatan ini telah dikesan berdasarkan risikan dan maklumat yang telah dikumpul selama 15 bulan dari Januari 2025 hingga 15 Mac lepas.
Lebih 10,000 kes direkodkan dalam tempoh 15 bulan
Menurut Rusdi Isa, lebih 10,304 kes telah direkodkan dan membabitkan kerugian kira-kira RM251.2 juta.
Selangor telah mencatatkan jumlah kes dan kerugian tertinggi yang melibatkan 2,684 kes dan kerugian RM80.18 juta, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,170 kes (RM36.47 juta), dan Johor dengan 1,443 kes (RM27.31 juta).

Mangsa pada mulanya akan ditawarkan kerja sambilan tetapi mereka akan diminta membuat bayaran pendahuluan atau 'top-up' kononnya untuk mendapat komisen.
"Penipuan pekerjaan lazimnya melibatkan tawaran kerja sambilan, namun mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan atau 'top-up' kononnya untuk mendapat komisen sebelum akhirnya diperdaya tanpa menerima sebarang pulangan.
"Sindiket ini menggunakan pelbagai platform media sosial dan aplikasi pesanan untuk memperdaya mangsa dan polis memandang serius kegiatan ini serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat," katanya
Majoriti mangsa adalah dari golongan berusia 21 hingga 40 tahun
Golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat jumlah mangsa tertinggi pada 2025, iaitu sebanyak 3,006 orang.
Manakala, golongan wanita menjadi mangsa paling ramai dengan 6,734 orang pada 2025 berbanding 2,194 lelaki dan pada tempoh 2026, 930 wanita direkodkan berbanding 446 lelaki.
Sektor swasta seramai 4,951 orang telah dikenal pasti sebagai kumpulan mangsa paling ramai terperangkap dalam sindiket penipuan dan kumpulan tidak bekerja menjadi mangsa kedua tertinggi seramai 2,523 orang.

"Penjawat awam turut merekodkan 717 mangsa diikuti pesara (320 orang), ahli perniagaan (370), guru (245), kerani swasta (244), kerani kerajaan (62) serta sektor keselamatan mencatat lapan mangsa," tambah beliau lagi.
Trend skim penipuan ini menunjukkan sindiket akan menyasarkan golongan aktif bekerja dan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.
Polis juga menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang mencurigakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via