Masjid Ajak Orang Ramai Tengok Bola Sambil Qiamullail, Siap Ada Makan Minum Percuma
Para pengunjung turut disediakan makanan dan minuman ringan secara percuma.
Cover image via @masjidalfalahusj9 (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketika kebanyakan peminat bola sepak sanggup berjaga malam semata-mata untuk menyaksikan aksi Piala Dunia FIFA 2026, sebuah masjid di Subang Jaya tampil dengan pendekatan yang cukup menarik apabila menggabungkan minat terhadap sukan bersama aktiviti kerohanian
Menerusi perkongsian di akaun Threads @masjidalfalahusj9, pihak masjid mengajak orang ramai hadir ke masjid pada jam 3 pagi untuk menonton siaran langsung perlawanan Piala Dunia sambil menghidupkan malam dengan qiamullail.
Inisiatif kreatif itu mendapat perhatian ramai kerana berjaya menggabungkan suasana santai menonton bola sepak dengan pengisian ibadah, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat untuk mengimarahkan masjid pada waktu dinihari.
Lebih menarik, para pengunjung turut disediakan makanan dan minuman ringan secara percuma bagi memeriahkan suasana serta mengeratkan ukhuwah sesama jemaah.

Program tersebut telah dimulakan menerusi tayangan aksi pembukaan yang menemukan Mexico dan Afrika Selatan pada Jumaat lalu
Menurut pihak masjid, aktiviti sama akan diteruskan sepanjang hujung minggu dengan siaran langsung perlawanan Kanada menentang Bosnia pada Sabtu, diikuti aksi Qatar berdepan Switzerland pada Ahad, yang kedua-duanya berlangsung pada jam 3 pagi.
Dalam masa sama, pihak masjid turut mengingatkan para pengunjung agar sentiasa menjaga adab dan kesopanan sepanjang berada di rumah Allah walaupun suasana dipenuhi keterujaan menyaksikan perlawanan.
"Ingat, walaupun tengah hype tengok game, jaga adab & hormat suasana masjid," katanya.
Rata-rata netizen memuji usaha tersebut yang dilihat sebagai pendekatan segar dalam menarik lebih ramai anak muda dan peminat bola sepak mendekati masjid tanpa mengabaikan aspek kerohanian.
Lihat posting di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


