Pelajar Kolej Vokasional Maut Terkena Bilah Sabit Dibawa Penunggang Lain
Difahamkan, motosikal dinaiki mangsa berselisih dengan motosikal yang membawa sabit.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pelajar kolej vokasional (KV) maut apabila lehernya terhiris sabit berhulu panjang
Kejadian di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan, Perak itu berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa berselisih dengan motosikal yang membawa senjata itu.
Menurut laporan di Harian Metro, mangsa, Adham Faisal, 17, ialah pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian lehernya.
Terkena kerana terlalu hampir dengan motosikal dinaiki mangsa
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin mengatakan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila sabit yang dibawa oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal lain terkena leher mangsa.
"Ketika kejadian motosikal dinaiki mangsa serta motosikal dinaiki lelaki membawa sabit berkenaan saling berhampiran antara satu sama lain di atas jalan, justeru menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan akibat terkena sabit itu," katanya.

Bakri mengatakan polis telah menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan dan telah merampas beberapa barangan berkaitan kejadian termasuk sabit berhulu panjang dan motosikal yang ditunggang mereka.
Mangsa sebenarnya menaiki motosikal bersama rakannya namun rakan berusia 18 tahun itu hanya mengalami kecederaan pada tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh ke atas kedua-dua suspek.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via