Fizo Omar dan isterinya, Mawar berkuda
Seawal usia lima tahun, Fizo Omar, 28, didedahkan kepada sukan lumba kuda kerana bapanya, Allahyarham Wan Omar Wan Ishak penunggang kuda yang hebat, malah pernah menggalas amanah sebagai Presiden Lumba Kuda Kelantan. Di kediaman mereka di Kota Bharu, Kelantan ada belasan ekor kuda, oleh itu tidak hairan mengapa Fizo cenderung dengan aktiviti sihat itu. Selepas sekian lama ‘berehat’ daripada aktiviti itu lantaran sibuk dengan komitmen sebagai selebriti dan usahawan muda, Fizo kini kembali berjinak-jinak menunggang kuda, bahkan memasang hasrat untuk menyertai pertandingan satu hari nanti. Lebih bermakna, isterinya, Mawar Abdul Karim berminat berkongsi hobi itu. Metro Ahad berpeluang merakam aksi Fizo dan Mawar menunggang kuda di Kelab Lumba Kuda Selangor, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini. Skil Fizo nampaknya masih mantap meskipun jarang menunggang, manakala Mawar pula cuak kerana itu pengalaman pertamanya menunggang haiwan yang menjadi pengangkutan utama serta tunggangan perang satu ketika dulu. “Saya lihat Mawar berani. Tengoklah, kuda ini besar tapi dia tetap mahu belajar menunggang. Sebagai suami, saya kagum dengan kesungguhannya dan saya juga gembira kerana kami dapat berkongsi hobi. Selepas ini Mawar dan saya akan mengikuti kelas latihan menunggang di kelab ini. “Selain berkuda, saya suka menunggang motosikal berkuasa tinggi dan dalam proses membiasakan Mawar dengan aktiviti ini. “Bab yang satu ini Mawar memang takut, tapi saya pujuk dia dengan bersiar-siar di kawasan berdekatan rumah. Paling jauh kami pergi ke Genting Highlands. “Saya mahu dedahkan dia kepada aktiviti luar rumah. Saya cuba bawa dia menyelami dunia saya supaya dia faham, seterusnya dapat menyesuaikan diri,” katanya. Kata Fizo, menunggang kuda aktiviti baik untuk kesihatan dan ada banyak kebaikan, termasuk membentuk susuk badan supaya lebih menarik. Ia juga sunnah nabi dan dapat membentuk disiplin tinggi. “Saya membesar dengan kuda dan menyertai pertandingan berkuda sejak di bangku sekolah. Hidup saya ketika itu memang tak boleh berjauhan dengan kuda. Ayah beri setiap anaknya seekor kuda dan haiwan peliharaan itu jadi sahabat baik kami. “Bagaimanapun, apabila saya mewakili sukan bola sepak Kelantan pada usia 12 tahun, saya tak dapat lapangkan banyak masa menunggang kuda. “Apabila masuk asrama, memang jarang berkuda kerana saya hanya balik bila cuti dan semakin kurang melakukan aktiviti itu apabila jadi artis. “Selepas ayah meninggal dunia pada 2011, kami sekeluarga putuskan untuk jual semua kuda di kampung kerana tiada siapa boleh jaga. Kini saya bersedia menyambung kembali legasi ayah. Saya mahu bela kuda di kampung dan kembali aktif dengan sukan ini. “Sibuk macam mana sekali pun, saya akan lapangkan masa menunggang sekurang-kurangnya sekali seminggu dan pasti Mawar ada bersama,” katanya. Bagi yang berminat mendekati aktiviti ini, Fizo berkongsi tip. Perkara pertama perlu ditekankan adalah keserasian dengan kuda yang bakal ditunggang. Katanya, kuda suka dibelai kerana jika kenal dengan penunggangnya, ia akan memudahkan keadaan. Selain itu, si penunggang perlu ambil tahu soal penjagaan kuda dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan itu. “Jika tidak kena cara, boleh mengundang bahaya. Sebab itu kita kena pandai cari keserasian dengan kuda yang mahu ditunggang. “Kuda tahu baca emosi kita. Kalau kita takut, dia akan rasa tak selamat, kebarangkalian berlaku benda tidak elok tinggi. Sebab itu kita kena berani dan jadikannya kawan, insya-Allah okay. “Kalau kita sayang dan hormat kuda, ia juga akan sayang dan hormat kita,” katanya. Mengenai kehidupan selepas bergelar suami, Fizo mengakui hari-hari dilalui semakin indah, bahkan dia bersyukur dianugerahkan suri yang penyayang dan memahami. Meskipun bercinta selepas berkahwin, tidak sukar menyesuaikan diri apabila masing-masing bertolak-ansur dan bersikap terbuka. “Mawar jodoh terbaik untuk saya. Kami ada banyak persamaan serta saling menyokong apabila berkongsi kecenderungan dalam dunia perniagaan. “Kami berkawan sekejap saja. Kalau nak ikutkan, kami betul-betul bercinta selepas berkahwin. Itu cara lebih manis dan terbaik. “Kini kami dalam proses menyesuaikan diri dan mendalami perasaan masing-masing. Alhamdulillah, kami dapat menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing, malah berusaha buang mana yang tidak elok demi kebahagiaan bersama,” katanya. Kata Fizo, Mawar juga tidak kekok menemaninya turun padang bertemu peniaga Hot Burger di sekitar Kelantan, Kuala Lumpur serta Selangor. Malah, Fizo cuba membantu merealisasikan hasrat Mawar membuka cawangan Fareeda di Kelantan. Mengenai kritikan segelintir masyarakat yang mengecam Fizo sengaja menunjuk kebahagiaan dikecapi menerusi gambar yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram, Fizo berkata, niatnya hanya mahu berkongsi dengan peminat dan bukan mahu bermegah. “Peminat tahu saya suka berkongsi gambar mengenai kerja dan gaya hidup dengan mereka sejak bujang lagi. Mana yang menarik, saya akan kongsi, termasuk detik manis bersama keluarga. “Tak salah rasanya kerana peminat berhak tahu. Mereka tulang belakang saya dan ini penghargaan saya buat mereka. “Saya sedar ada yang kurang senang bila saya muat naik foto saya dan Mawar beli baju bayi ketika berbulan madu, baru-baru ini. “Ada yang kecam kenapa beli sedangkan Mawar tidak hamil. Bagi saya, tak salah kalau beli awal. Lagipun itu untuk kenang-kenangan kami suami isteri. “Biasalah, jika berkahwin, pasangan mahu anak cepat. Itu yang saya dan Mawar harapkan. Tak mengapalah, perkara itu tak berbekas pun di hati saya dan Mawar. Kritikan itu saya lihat dari sudut positif,” katanya. Walaupun bergelar usahawan, kata Fizo, dia masih aktif berlakon dan mengacara, malah undangan memberi ceramah di seminar keusahawanan semakin banyak kebelakangan ini. Perniagaan Hot Burger juga berkembang maju dengan 100 gerai di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur. Tidak lama lagi ia akan menembusi selatan dan utara tanah air. “April depan, saya akan menjayakan teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya. Mawar juga akan mengacara bersama saya dalam program Cergas Jelita terbitan RTM. Insya-Allah, minggu depan penggambaran akan bermula. “Sebagai persediaan, Mawar mengikuti kelas pengacaraan. Maklumlah, ini pengalaman pertamanya. Andai ada tawaran lagi selepas ini, saya tidak halang Mawar mengacara,” katanya.
Fizo, Mawar berkuda
Fizo, Mawar berkuda
hmetro.com.my