Bekas Leftenan TLDM Kini Digelar ‘Komandan Biri-Biri’, Bersara Awal Demi Kesihatan & Kini Bina Ladang Moden
Daripada pertahan negara kepada jamin bekalan makanan.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bergelar pegawai tentera selama 15 tahun sebelum bersara awal bukanlah sesuatu yang mudah buat Leftenan Bersara (B) Mohamed Adib Abdul Razak. Namun, takdir membawanya ke medan perjuangan yang berbeza apabila kini bergelar usahawan dan penternak biri-biri

Menurut laporan Harian Metro, bekas Pegawai Taktikal Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, dia terpaksa menamatkan perkhidmatan selepas disahkan mengalami gangguan pendengaran sensorineural (SNHL), sekali gus hilang kelayakan untuk meneruskan tugas sebagai juruterbang tentera.
Menurut Mohamed Adib, keputusan itu amat berat kerana menjadi pegawai tentera merupakan impiannya sejak sekian lama.
Namun, berpegang kepada disiplin yang dipelajari sepanjang berkhidmat, dia memilih untuk melihat persaraan itu sebagai satu permulaan baharu, bukannya pengakhiran.
Daripada pertahan negara kepada jamin bekalan makanan

Selepas bersara, Mohamed Adib memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang penternakan yang sememangnya sudah diminatinya sejak masih berkhidmat.
Melalui syarikat Afdal Rezeki Sdn Bhd, dia mengusahakan jenama Argrow dan Berek Birri, yang kini menguruskan lebih 150 ekor biri-biri baka Dorper di ladang sekitar Selangor dan Batu Pahat, Johor.
Malah, dia turut membangunkan sistem digital MyBirri bagi memudahkan pengurusan ternakan dan membolehkan pemilik memantau aset mereka secara lebih telus.
"Dulu saya menjaga aset pertahanan negara, hari ini saya membantu membangunkan aset makanan negara," katanya.
Masih bawa semangat seorang tentera

Walaupun tidak lagi menyarung uniform TLDM, Mohamed Adib berkata disiplin, kepimpinan dan budaya kerja ketenteraan masih diterapkan dalam operasi ladangnya.
Baginya, dia bukan meninggalkan dunia ketenteraan, sebaliknya hanya bertukar medan perjuangan dengan menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara.
Malah, dia berharap dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa industri agro juga mampu menjadi kerjaya profesional dan memberi impak besar kepada negara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


