Bekas Pelajar Tahfiz Ukir Nama Di Amerika, Raih Pelbagai Anugerah & Kepimpinan Bertaraf Antarabangsa
Luar biasa pencapaian dia, hebat!
Cover image via Sinar BestariFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bagi kebanyakan pelajar, menamatkan pengajian di universiti sudah cukup membanggakan
Namun bagi seorang anak muda Malaysia, kejayaan yang diraih jauh melangkaui segulung ijazah apabila beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam bidang kepimpinan dan pembangunan diri di peringkat antarabangsa.
Menurut laporan Sinar Bestari, kisah inspirasi itu dikongsikan menerusi program MARA Trailblazer – Graduation Series yang menampilkan graduan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berjaya mencipta kecemerlangan sepanjang pengajian di luar negara.
Individu berkenaan, Muhammad Izzahan Isman, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan penerima tajaan MARA di bawah Young Talent Development Programme (YTP).
Lebih membanggakan, Izzahan merupakan bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor yang membuktikan latar belakang pendidikan agama bukan penghalang untuk bersaing dan cemerlang di pentas global.

Berbekalkan asas agama yang kukuh serta keazaman tinggi untuk menimba ilmu, beliau melanjutkan pengajian ke Michigan State University, Amerika Syarikat dan berjaya mengekalkan prestasi akademik yang memberangsangkan dengan CGPA 3.72
Sepanjang berada di universiti tersebut, Izzahan menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Spartan Difference Award – Initiative, Green Cranium Award – Problem Solving (Honorary Recipient) serta ROTC Academic Ribbons atas pencapaian akademik melebihi 3.5.
Namun kecemerlangan beliau tidak hanya terhad dalam bilik kuliah. Izzahan turut aktif menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum dan kepimpinan, termasuk sebagai kadet dalam Army Reserve Officers' Training Corps (ROTC), sebuah program yang memberi pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan serta pengurusan pasukan.


Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program tersebut membolehkan beliau menerima pengiktirafan rasmi daripada Professor of Military Science, Lieutenant Colonel (LTC) Sisoura atas profesionalisme serta perkembangan kepimpinan yang dipamerkan.
Perkongsian mengenai pencapaian Izzahan itu turut mendapat perhatian ramai yang menyifatkan beliau sebagai contoh terbaik generasi muda Malaysia yang mampu mengimbangi kecemerlangan akademik, sahsiah diri dan kepimpinan.
Kejayaan yang diraih bukan sahaja membanggakan keluarga dan institusi pendidikan yang pernah melahirkannya, malah menjadi bukti bahawa anak Malaysia mampu bersaing serta mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila diberi peluang dan ruang untuk berkembang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


