Gaji RM7,000 Sudah Dikira T20? Ini Realiti Jurang Pendapatan Antara Negeri Di Malaysia
Berapa sebenarnya gaji yang cukup untuk seisi rumah?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai masih menganggap pendapatan RM7,000 sebulan hanyalah 'cukup-cukup makan', namun hakikatnya di beberapa negeri, jumlah itu sudah meletakkan sesebuah isi rumah dalam kelompok 20 peratus teratas (T20)
Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia apabila ambang pendapatan T20 di negeri seperti Kelantan dan Kedah didapati jauh lebih rendah berbanding negeri maju lain.
Berdasarkan laporan tersebut, isi rumah di Kelantan yang memperoleh pendapatan kasar RM7,000 sebulan sudah dikategorikan sebagai T20, manakala Kedah pula bermula pada RM7,820.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Kosmo!Ini bermakna, di Kelantan, keluarga dengan pendapatan RM7,000 sebulan kini dianggap berada dalam kelompok pendapatan tertinggi di negeri itu, memandangkan julat M40 hanya antara RM3,520 hingga RM6,999.
Situasi sama turut berlaku di Kedah apabila kategori B40 berada di bawah RM3,940, manakala M40 pula antara RM3,940 hingga RM7,819 sebelum memasuki kategori T20.
Perbezaan ini sekali gus memperlihatkan jurang ekonomi dan kos sara hidup yang ketara antara negeri di Malaysia
Jika di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara, pendapatan sekitar RM7,000 hingga RM8,000 sudah dianggap 'kaya', keadaannya jauh berbeza di kawasan bandar utama seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Di Selangor, sesebuah isi rumah memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM16,040 untuk dikategorikan sebagai T20, manakala di Kuala Lumpur pula ambangnya meningkat kepada RM17,030.
Lebih tinggi, Putrajaya merekodkan paras T20 tertinggi di Malaysia iaitu RM19,030 sebulan. Johor dan Pulau Pinang turut tersenarai antara negeri dengan kos sara hidup tinggi di luar Lembah Klang apabila ambang T20 masing-masing mencecah RM13,560 dan RM12,680.
Secara keseluruhan, Jabatan Perangkaan Malaysia menetapkan kategori nasional B40 sebagai isi rumah berpendapatan kurang RM5,860 sebulan, M40 antara RM5,860 hingga RM12,679, manakala T20 bermula RM12,680 ke atas.
Senarai ambang pendapatan T20 mengikut negeri:
- Kelantan — RM7,000 ke atas
- Kedah — RM7,820 ke atas
- Perlis — RM8,010 ke atas
- Pahang — RM8,090 ke atas
- Perak — RM8,220 ke atas
- Sabah — RM9,160 ke atas
- Sarawak — RM9,710 ke atas
- Terengganu — RM9,790 ke atas
- Negeri Sembilan — RM9,980 ke atas
- Melaka — RM11,560 ke atas
- Wilayah Persekutuan Labuan — RM11,630 ke atas
- Pulau Pinang — RM12,680 ke atas
- Johor — RM13,560 ke atas
- Selangor — RM16,040 ke atas
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur — RM17,030 ke atas
- Wilayah Persekutuan Putrajaya — RM19,030 ke atas
Perkongsian data ini turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ramai berpendapat label T20 hari ini tidak lagi semestinya menggambarkan gaya hidup mewah, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar besar dengan kos komitmen dan perbelanjaan yang semakin tinggi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via