Ibu Tunggal Dedah 22 Tahun Kerja Stesen Minyak Tapi Gaji Masih Bawah RM2,500
Difahamkan, sepanjang 22 tahun berkhidmat, dia masih memegang jawatan yang sama iaitu juruwang.
Cover image via @intansuhaila_yahya (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan bahawa gajinya masih belum mencecah RM2,500 walaupun sudah 22 tahun berkhidmat di sebuah stesen minyak
Menerusi perkongsian yang tular di laman Threads, wanita itu berkata dia mula bekerja di premis berkenaan pada 31 Mei 2004 dan masih kekal di tempat yang sama sehingga hari ini.
"Hai guys. Hari ini 31Mei genap 22tahun sy bekerja di tempat yang sama. Selagi masih boleh bertahan mental ni stay jelah yerk. Payslip pertama msh tersimpan rapi. Cuba u all teka berapa basic gaji sy sekarang," tulisnya.
Pendedahan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang terkejut apabila mengetahui pendapatannya selepas lebih dua dekad berkhidmat masih berada di bawah RM2,500.


Ramai mempersoalkan kadar kenaikan gaji yang diterimanya sepanjang tempoh tersebut dan beranggapan pekerja yang setia selama bertahun-tahun sepatutnya menerima ganjaran lebih baik
"Kalau ada kenaikan walaupun sedikit setiap tahun, sepatutnya gaji sekarang jauh lebih tinggi," komen seorang pengguna media sosial.
Walau bagaimanapun, wanita berkenaan menjelaskan terdapat beberapa faktor yang membuatkannya terus bertahan di tempat kerja tersebut.
Menurutnya, lokasi tempat kerja yang hanya kira-kira 3.5 kilometer dari rumah banyak menjimatkan masa dan kos perjalanan. Selain itu, majikannya juga memberikan fleksibiliti dari segi waktu kerja yang memudahkannya menguruskan anak-anak sebagai ibu tunggal sejak tahun 2018.
Katanya lagi, suasana kerja yang mesra dan mudah berurusan dengan pihak majikan turut menjadi antara sebab utama dia memilih untuk kekal.
"Mudah mohon cuti dan bertukar syif jika ada urusan penting. Itu sangat membantu saya," katanya.
Wanita itu turut mengakui faktor usia membuatkannya kurang yakin untuk memulakan kerjaya baharu kerana bimbang perlu bermula semula dengan gaji asas yang rendah.
Difahamkan, sepanjang 22 tahun berkhidmat, dia masih memegang jawatan yang sama iaitu juruwang.
Perkongsian tersebut turut membuka perbincangan mengenai isu kesetiaan pekerja, kadar kenaikan gaji dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dalam masa sama, ada yang menyarankan agar wanita itu menambah kemahiran baharu bagi meningkatkan peluang memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Namun tidak kurang juga yang melihat kisah berkenaan sebagai gambaran realiti kehidupan ramai rakyat Malaysia yang memilih kestabilan kerja dan masa bersama keluarga berbanding mengejar gaji yang lebih lumayan.
Lihat perkongsian penuh di bawah:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


