Restoran Uncle Roger Di IPC Didakwa Tutup Selepas Setahun Beroperasi?
Kalau mengidam nasi goreng Uncle Roger kena pergi cawangan lain lah lepas ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sahaja tidak kenal dengan personaliti internet dan 'chef' antarabangsa popular iaitu Uncle Roger, bukan?
Watak ikonik yang dibawakan oleh pelawak Nigel Ng ini sememangnya mempunyai pengaruh besar, sehingga beliau berjaya mengembangkan empayar kulinari dengan membuka rangkaian restoran di beberapa cawangan di Malaysia.
Seperti yang ramai sedia maklum, pembukaan restorannya sebelum ini pernah menjadi fenomena luar biasa sehingga ramai yang sanggup beratur panjang berjam-jam lamanya semata-mata mahu merasai sendiri kehebatan nasi goreng yang sering menjadi bahan jenakanya.


Akan diganti dengan kedai lain
Antara cawangan yang menjadi tumpuan ramai adalah di IPC Shopping Centre.
Namun, berita kurang enak mula bertiup kencang baru-baru ini apabila terdapat dakwaan bahawa cawangan di pusat beli-belah berkenaan telah pun ditutup secara rasmi.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook Malaysia Shopping Mall, spekulasi tersebut nampaknya terjawab apabila lot kedai yang dahulunya menempatkan restoran Uncle Roger kini telah dikosongkan dan bakal diganti dengan perniagaan lain, iaitu Focus Point.
"Restoran nasi goreng kegemaran Admin, Uncle Roger di IPC Shopping Centre sudah tiada, digantikan oleh Focus Point. Nampaknya saya perlu mencari nasi goreng di pusat penjaja (hawker center) selepas ini," tulis hantaran tersebut.
Penutupan ini ternyata mengejutkan ramai peminat setianya, memandangkan cawangan tersebut baru sahaja beroperasi lebih sedikit daripada setahun.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi mengenai punca penutupan tersebut, nampaknya warga Mutiara Damansara perlu berkunjung ke cawangan lain jika masih mengidamkan hidangan nasi goreng "fuiyoh" sentuhan Uncle Roger.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via