RAHSIA SOLAT 5: DI SEBALIK NIAT
Selepas memahami azan, sudah bersugi, sudah berwuduk, sudah qiam membentuk saf yang lurus di tempat yang bersih dan menghadap kiblat, maka mulalah kita memasang niat untuk solat. Sepertimana percanggahan pendapat tentang cabang ibadah yang lain, niat juga begitu. Ada bermacam-macam fahaman dan pendapat tentang niat solat ini. Ada yang panjang, ada yang pendek, ada kata mesti dihafal dalam bahasa arab, ada yang kata dalam bahasa ibunda pun tak apa. Bahkan ada yang kata tidak perlu sebarang lafaz pun, cukup sekadar tasdiq untuk niat solat di hati sahaja. Kena pertimbangkan juga warga pekak dan bisu yang tidak boleh melafazkan niat... Ramai anak-anak, bahkan ada yang sampai jadi anak-anak beruban pun masih pening dengan berbagai-bagai khilafiah dalam aspek furu’ ini. Kami ajar juga anak-anak kami melafazkan niat solat dengan betul dalam bahasa Arab. Namun kami lebih mengutamakan ‘kefahaman’ di sebalik lafaz itu agar mereka mampu meletakkan tasdiq dari niat solat itu terus di hati. APA ITU NIAT & KAITANNYA DENGAN BISMILLAH? NIAT adalah ukuran KEMAHUAN, juga sebagai dasar atau asas bagi sesuatu amal ibadah atau perbuatan manusia. Ia jadi penentu samada kita mahu berbuat untuk kepentingan nafsu kita, atau untuk Allah, samada kita mahu bersungguh-sungguh atau sekadar main-main. Rasulullah meletakkan dasar itu bersama BISMILLAH sehingga apa sahaja yang kita lakukan wajib dimulai dengan Bismillah. “Setiap perkara / kerja baik yang tidak di'AWALI' (didasari) dengan Bismillah (dengan nama Allah) maka ia adalah terputus (tidak diterima).” – Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah & al-Nasaie daripada Abu Hurairah r.a. Bismillah yang turun serentak bersama 7 ayat dalam al-Fatihah ini adalah dasar amal dalam hidup beragama yang amat luas, sehingga semua surah dalam alquran dimulai dengan BISMILLAH, kecuali surah At-Taubah. Ada kami kongsikan sedikit tentangnya dalam siri Rahsia Fatihah #1, Amal yang betul niatnya ialah berbuat atas dasar Basmalah dan Lillah Billah. Ia menjadi sempadan antara kerja ibadah dengan kerja sia-sia. Niat dan fokus pada ALLAH sahaja pun sudah diangkat sebagai ibadah. Ini kerana orang yang berniat untuk berbuat sesuatu kerana Allah dengan sebenar-benarnya (LILLAH) akan sentiasa berbuat dengan mematuhi kehendak atau arahan Allah (BILLAH) dalam kerjabuat mereka. Dengan niat itu mereka akan mula mencari ilmu dan kaedahnya terlebih dahulu. Pencarian ilmu itu sendiri sudah dikira amal, ada ganjarannya walaupun kerjabuatnya belum terlaksana. Dengan BASMALAH, kita akan patuhi segala kehendak petunjuk dari Allah dalam kerjabuat kita. Ini termasuklah mempastikan kita tahu untuk apa kita buat, mengapa kita buat, dan tahu pula bagaimana nak buat dengan tepat menurut kehendak Allah. Mengetahui dengan tepat apa sahaja kerjabuat kita itu juga merupakan sebahagian dari kehendak Allah, iaitu jangan berbuat sesuatu tanpa ilmu tentang apa yang ingin kita lakukan. "Dan janganlah engkau ikut / buat apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran, dan penglihatan serta penelitian hati, semua itu nanti akan ditanya" (Al-Israa' 17:36) Rasulullah SAW dalam hadis dan hadis qudsi baginda banyak menghuraikan tentang kelebihan Fatihah dan Bismillah ini. Semua kandungan kitab-kibat Taurat, Injil dan Zabur dikatakan ada dalam al-Quran. Seluruh kandungan alquran dikatakan ada dalam Fatihah. Seluruh kandungan Fatihah pula dikatakan ada dalam BISMILLAH. Demikian tingginya nilai dan martabat BISMILLAH itu. Dalam solat anak-anak, kami jelaskan terus untuk apa itu niat berdasarkan Basmalah: Solat apa? Berapa rakaat? Qada’, qasar dan jama’ atau tunai? Sendirian atau berjemaah? Secara praktis pula, contohnya waktu membaca bismillah untuk memasang niat makan, mereka harus tahu di mana dasar Bismillah atau kehendak Allah itu? Bersih dan berhasiatkah? halalkah? membazirkah? dan semua yang terkait dengan redha Allah atas aktiviti makan itu. Itulah dasar Basmalah yang dijadikan NIAT bagi mereka. MENGAPA TERPUTUS AMAL TANPA BASMALAH? Dari hadis di atas menampakkan besarnya nilai Bismillah dan kaitannya dengan niat. Nabi SAW katakan tanpa Basmalah amal akan jadi rugi kerana kerjabuat itu akan terhenti, terbatal atau gagal untuk mendapatkan hasil baiknya. Basmalah adalah satu ketetapan untuk meletakkan apa sahaja kerjabuat kita atas nama atau 'isme' Allah. Setiap nama pasti membawa maksud, fahaman, ideologi, peraturan dan matlamat yang tersendiri. Contohnya Liberalisme (nama Liberal), Komunisme (nama Komunis), Zionisme (nama Zionis) hinggalah nama-nama yang membawa peraturan dan fungsi tertentu di sebalik nama itu. Contohnya Hospital (urusan sakit), Bomba (urusan api), Polis (urusan jenayah) dan sebagainya. Tidak akan berjaya perjuangan atas nama komunis jika pengikutnya tidak faham matlamat dan disiplin perjuangan atas nama itu. Pekerja hospital juga akan gagal jika guna tatacara bomba / polis. Begitu jugalah nasib kerjabuat atas nama Allah jika kita tidak fahami dengan ilmu yang tepat, seterusnya meletakkan tatacara kerja amal kita sesuai dengan disiplin dan peraturan atas nama Allah. Fatihah adalah surah dari alquran yang wajib dibaca dalam semua solat. Ia merupakan surah pembukaan (fath) yang menjadi prinsip atau modul pengabdian hamba kepada Allah, selaku Pengatur dan Penciptanya. Surah dan ayat-ayat lain dalam alquran pula adalah teori dan methodologi ke arah mencapai matlamat pengabdian dan amal ibadah kita. Kerana itu Fatihah juga dikatakan sebagai intisari atau sinopsis keseluruhan alquran. Bismillah pula adalah MATLAMAT UTAMA dalam pengabdian manusia, iaitu untuk meletakkan apa sahaja kerjabuat kita atas dasar LILLAH (kerana Allah) dan BILLAH (DENGAN petunjuk / hidayah / aturan ALLAH). Dengan melaksanakan seluruh perintah Fatihah sahaja kita mampu untuk mendapat RAHMAT Allah, iaitu berupa ilmu alquran yang tepat, sehingga apabila kita laksanakan petunjuk dan arahan itu dengan sempurna, ia mampu memberikan hasil yang maksimum. Itulah matlamat Basmalah, iaitu mencari kasih sayang serta redha Allah kepada kita, kasih sayang dan redha kita kepada Allah dan juga sesama manusia. Untuk mendapatkan fadhilat Bismillah itu pula kita perlu sempurnakan seluruh perintah Fatihah terlebih dahulu: Kita harus sentiasa berhamdalah, memuji hanya Allah di atas rahmat dan rahimnya. Kita juga harus jadikan Allah sebagai raja yang menguasai minda dan amal kita melalui perintah agamanya. Kemudian pastikan kita tidak mengabdi dan meminta tolong selain dari Allah dengan sentiasa memohon hidayah dariNya. seterusnya melaksanakan hidayah secara istiqomah hinggalah kita dapat merasakan NIKMAT hasil perlaksanaan hidayah itu. InsyaAllah akhirnya kita tidak akan dimurkai dan tidak sesat / bingung lagi. Itulah ringkasan prinsip dan tuntutan Fatihah yang akan menyempurnakan misi Basmalah kita. Kerana itulah dikatakan seluruh isi kandung alquran itu ada kaitan dengan fatihah dan seluruh isi kandung Fatihah pula terangkum dalam Bismillah. Sekarang dapat difahami bahawa jika kita tidak faham Bismillah dan Fatihah dengan tepat dan sempurna, kita tidak akan sekali-kali mampu untuk memahami maksud ayat-ayat Allah yang lain, lalu tidak mampu melaksanakannya dengan tepat. Padahal ayat-ayat itu semuanya diperlukan sebagai methodologi dan pedoman yang akan membantu kejayaan misi ibadah dan kerjabuat kita bagi menyempurnakan visi dan misi Basmalah di dalam diri dan masyarakat. KESIMPULAN NIAT dalam solat / segala kerja amal adalah satu tuntutan kepada hati untuk berserah diri, tunduk kepada Allah dan melakukannya semata-mata kerana Allah. Sejauh mana hasil kerjabuat kita juga banyak bergantung kepada niat, berdasarkan kefahaman dasar dan matlamat tentangnya. “Sesungguhnya setiap amal itu (bergantung) dengan Niat, dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yg dia niatkan. Barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa hijrahnya kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk dinikahi, maka hijrahnya mendapat apa yang dia hendak berhijrah kepadanya”. (Dari Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar Ibnul-Khattab ra., Hadis Soheh, Muttafaqun’alaih) “Sah atau tidaknya solat, juga seluruh perbuatan itu adalah bergantung kepada niat. Setiap orang akan meraih pahala atau dosa berdasarkan apa yang telah diniatkan.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, Tirmizi, Ibnu Majah & Al-Baihaqi). Begitulah praktikal ritual dan aktual di dalam solat. Mari kita didik anak-anak dengan falsafah niat yang betul sebagai sandaran hati demi memastikan mereka tahu apa yang harus difokus atau khusyu’kan. Antara sebab kita gagal dalam perbuatan juga kerana hilang fokus dan tidak khusyu’. Ini terjadi kerana tidak jelas tentang matlamat Basmalah. Kita akan rugi kerana kerja amal kita rosak, gagal dan tidak berhasil tanpa pedoman dari rahmat Bismillah, petunjuk Allah itu. Dengan niat dan iktiqad yang betul dan bermaklumat / berilmu, kita akan mampu khusyu’ dan fokus dalam ibadah dan kerja. Tiada lagi isu lemah semangat atau tersalah matlamat sampai lari fokus. Tiada juga selera untuk menyeleweng di luar dan keluar dari kepentingan Basmalah dan Lillah Billah. Kerana itu Allah jamin kejayaan HANYA apabila kita khusyu’ dan fokus. QS:17. Al Israa' 107-109. “Katakanlah: Berimanlah kamu kepadaNya atau tidak usah beriman. Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan apabila Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata: Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu'”. QS: 23. Al Mu'minuun 1-3: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, orang-orang yang khusyu' dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri dari yang apa tiada berguna”, QS: 2. Al Baqarah 45. “Dan/demi mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang KHUSYU'”. Itulah dia rahsia di sebalik niat yang merupakan satu set pelan dan perancangan pelaksanaan untuk setiap aktiviti kita. Tanpa niat yang jelas, visi dan misi tidak akan dapat dicapai. Mencuri pun bermula dengan niat sehingga dengan pelan dan perancangan yang tepat dan berstrategi, projek mencuri yang tanpa bantuan Allah itu pun boleh berjaya. Inikan pula jika kita pasang niat bersandarkan pelan perlaksanaan BASMALAH dan petunjuk yang tepat. Jadikan ini satu cetusan ilmu parenting untuk dikembangkan, bukan satu ketetapan. Mari sama-sama gali dan perhalusi ilmu dan perlaksanaan anak-anak kita, agar lebih tepat sasaran Basmalahnya. Bertemu lagi di rahsia solat berikutnya, InsyaAllah. Rahsia Solat #5