‘Tupai King’ Jadi Rebutan, Durian RM120 Sekilo Habis Ditempah Walaupun Hanya Sebatang Pokok Berbuah
Macam sedap je Tupai King!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kalau sebelum ini ramai sanggup beratur demi mendapatkan Musang King atau Black Thorn, nampaknya kini muncul pula satu lagi varieti durian yang semakin mencuri perhatian penggemar raja buah
Menurut laporan Utusan Malaysia, Lebih mengejutkan, walaupun dijual pada harga RM120 sekilogram, durian dikenali sebagai Tupai King ini tetap habis ditempah pelanggan sebelum sempat dijual kepada orang ramai.
Seorang pekebun durian, Chin Wai Kian, 46, berkata musim ini beliau hanya mempunyai sebatang pokok Tupai King yang sedang berbuah di kebunnya di Kampung Rengai.
Namun, jumlah yang terhad itu langsung tidak menghalang orang ramai daripada berebut untuk mendapatkannya.
Menurut Wai Kian, setiap buah yang gugur sejak minggu lalu sudah pun ditempah lebih awal oleh pelanggan tetap yang tidak mahu melepaskan peluang merasai varieti premium tersebut.
"Sejak minggu lalu Tupai King mula gugur, pelanggan tidak berhenti bertanya. Ada yang menempah lebih awal kerana tahu hasilnya terhad.
"Walaupun hanya sebatang pokok berbuah, permintaan sangat tinggi," katanya.

Rasa macam gabungan Musang King dan Black Thorn?
Menurut ramai pelanggan yang pernah merasainya, varieti ini dikatakan mempunyai gabungan rasa Musang King dan Black Thorn.
Isinya pula dikatakan tebal dengan kombinasi rasa manis dan sedikit pahit yang seimbang, selain teksturnya lembut, berkrim dan mengeluarkan aroma yang cukup kuat.
Tak hairanlah ramai sanggup membuat tempahan awal walaupun harganya boleh dianggap dalam kategori durian premium.
Wai Kian turut memohon maaf kepada pelanggan yang tidak sempat mendapatkan Tupai King musim ini kerana hasilnya sangat terhad.
Bagaimanapun, beliau optimis pengeluaran akan meningkat pada musim akan datang apabila pokok tersebut menghasilkan lebih banyak buah.

Malah,beliau percaya Tupai King akan terus mendapat sambutan hangat walaupun dijual pada harga premium.
"Musim depan saya yakin pokok Tupai King berbuah lebih banyak dan terus mendapat pasaran tinggi walaupun harganya setaraf makanan billionaire," katanya.
Nampaknya, kalau trend ini berterusan, Tupai King mungkin menjadi satu lagi nama besar dalam dunia durian premium Malaysia, sebaris dengan Musang King dan Black Thorn.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via