“Ini Sumud Kita Semua” – Ahmad Faezal Titip Pesanan Sebelum Ke Misi Global Sumud Flotilla 2.0
"The Eagle of Freedom shall fly over our brothers again" – Ahmad Faezal.
Cover image via Ahmad Faezal (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
"Masanya telah tiba" – Dengan kalimah ringkas namun sarat dengan tekad, pempengaruh geopolitik iaitu Ahmad Faezal memulakan bicara hiba sebelum berlayar menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0
Beliau melakar sejarah sebagai peserta pertama dari Malaysia yang diumumkan untuk menyertai armada awam paling besar dalam sejarah dunia demi menembusi tanah terkepung kali kedua sebulan yang lalu.
Misi yang bakal berlangsung selama sebulan ini bukan sekadar pelayaran biasa, tetapi merupakan kemuncak kepada siri "latihan" jiwa yang telah dilalui beliau sejak awal tahun ini.
Ahmad Faezal menyifatkan perjalanannya sejak Januari lalu sebagai aturan Tuhan untuk mempersiapkan mental dan fizikalnya:
- Januari: Beliau mempelajari ketabahan daripada mangsa banjir di Acheh.
- Februari: Di bumi Syam, beliau mengamati kesabaran para pejuang yang menjaga keselamatannya dengan tasbih di tangan dan wuduk yang sentiasa terjaga.
- Mac: Ujian melanda keluarga sendiri apabila tiga ahli keluarga terdekat mengalami kecederaan parah, namun beliau tetap teguh untuk meneruskan amanah.

Ekosistem sokongan: "Tangan di sebalik tabir"
Menyedari bahawa misi ini tidak mampu digalas sendirian, Ahmad Faezal menzahirkan penghargaan kepada barisan penyokong yang beliau gelarkan sebagai "Barisan Belakang".
Antaranya termasuk Ikhlas Care dan Restoran ATSKY yang menyediakan bekalan makanan Ready-to-Eat (RTE), serta Emajie yang menyumbangkan kelengkapan pelayaran. Dari sudut dokumentasi, Oh My Media dan The Patriots menyediakan barisan penulis serta editor video untuk memastikan kemas kini harian sampai kepada rakyat Malaysia, sekali gus menepis sebarang berita palsu yang mungkin timbul di lapangan.
Beliau turut menitipkan penghargaan khusus buat surau dan masjid di Sungai Penchala serta kampung halamannya di Kulim, Kedah.
"It takes a village to raise a child. Kulim raised me up. This is for you," tulis beliau dalam nota penuh emosi tersebut.
Seruan buat 'Bawangvengers' Malaysia

Ahmad Faezal menekankan bahawa kejayaan Sumud 2.0 bergantung kepada empat barisan utama:
- Barisan Hadapan: Para aktivis yang berlayar meredah bahaya.
- Barisan Tengah: Organisasi Global Sumud Flotilla yang menguruskan strategi dan logistik.
- Barisan Belakang: Rakan-rakan strategik dan keluarga.
- Barisan Sayap: Rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Beliau memohon izin untuk "menegur" hati nurani rakyat Malaysia agar tidak merasa terasing daripada perjuangan ini. Beliau menyeru kebangkitan rakyat Malaysia di media sosial yang beliau gelarkan sebagai Bawangvengers untuk terus berkempen dan menjadi suara kepada mereka yang terkepung.
Mengakhiri tulisannya, Ahmad Faezal meminjam semangat para sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar, Uthman, Ali, Umar dan Hamzah sebagai panduan jiwanya di tengah lautan.
"Saya janji kita akan jumpa kembali. Kalau bukan di bumi-Nya iaitu Malaysia, pasti di Taman-Nya kelak," katanya dalam nota penutup yang meruntun jiwa.
Amanah telah digalas, bendera telah dikibarkan. Ahmad Faezal kini membawa harapan 34.3 juta rakyat Malaysia ke tengah samudera, dengan satu tekad: The Eagle of Freedom shall fly over our brothers again.

Untuk rekod, GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April.
Di Malaysia, misi tersebut turut mendapat perhatian apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, diamanahkan mengetuai delegasi bantuan Malaysia, yang membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
Selamat berangkat Ahmad Faezal dan seluruh delegasi Malaysia yang menyertai Misi Bantuan Kecemasan ke Gaza & Global Sumud Flotilla 2.0!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


