Isu Guna Alamat ‘Dummy’ Untuk Masuk Sekolah Berdekatan Akan Dibawa Ke KPM
Tindakan itu menafikan hak penduduk setempat, memaksa mereka menghantar anak ke sekolah yang jauh.
Cover image via Berita Harian & Asrol Awang/ Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isu berhubung tindakan sesetengah penjaga menggunakan alamat palsu ('dummy') untuk mendapatkan penempatan anak di sekolah-sekolah dalam kawasan Putrajaya telah pun dibawa dan dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin, mengesahkan perkara ini dan menambah bahawa beliau juga telah memohon sesi perjumpaan dengan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat bagi membincangkan masalah yang timbul daripada isu tersebut.
Radzi Jidin menyatakan bahawa beliau menerima banyak aduan daripada ibu bapa yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana anak-anak mereka ditempatkan di sekolah yang terlalu jauh dari kawasan kediaman sebenar mereka.
Menurut beliau di laman Facebook miliknya, aduan yang diterima turut merangkumi kes-kes di mana anak-anak yang tinggal di luar kawasan Putrajaya berjaya mendapat penempatan di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya.
Ini berlaku kerana mereka didapati menggunakan 'alamat dummy' dan bukannya alamat kediaman sebenar semasa proses permohonan penempatan dibuat.
"Antara aduan yang diterima, seorang murid yang kini mengikuti kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) tidak ditawarkan tempat untuk Darjah Satu di sekolah yang sama.
"Sebaliknya, murid tersebut ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3), sedangkan abangnya yang akan memasuki Darjah Tiga tahun hadapan masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1).
"Bapa berkenaan turut mendakwa bahawa ramai pihak menggunakan alamat "dummy" bagi mendapatkan keutamaan penempatan sekolah," katanya.

Ibu bapa luah rasa tidak puas hati
Beberapa ibu bapa telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan meluahkan kekecewaan mereka apabila mendakwa wujudnya amalan segelintir penjaga yang menggunakan alamat palsu ('dummy') semata-mata untuk memudahkan urusan penempatan anak mereka di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini didakwa telah menafikan hak penduduk setempat yang benar-benar menetap berhampiran sekolah, menyebabkan anak-anak mereka terpaksa dihantar ke sekolah yang terletak lebih jauh dari kediaman.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna @Hasanahabdullah3883 di aplikasi Thread, kegiatan penipuan alamat ini mula dikesan dengan lebih jelas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada masa itu, larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa, dan barulah didapati bahawa terdapat murid-murid yang sebenarnya bermastautin di luar Putrajaya tetapi berjaya mendapat tempat di sekolah-sekolah popular di dalam kawasan tersebut.
"Masa PKP dulu teruk juga sekolah anak saya kena. Dari situ terbongkar orang luar dapat sekolah situ. Kami mak ayah dalam kumpulan WhatsApp memang bising lah.
"Ada yang siap mengaku duduk Bangi, tapi anak sekolah di Putrajaya, dekat pula dengan tempat kerja mereka. Kami yang memang duduk kawasan berdekatan ni, dapat pula sekolah yang jauh-jauh," luahnya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


