Pekerja Kurier Dedah Taktik Licik Pelanggan COD – “Hari-Hari Return, Tapi Isi Hilang”
Pelanggan pula yang kaki scam ya.
Cover image via mStarFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sistem cash on delivery (COD) yang sepatutnya memudahkan urusan jual beli kini disalah guna segelintir individu demi keuntungan sendiri
Baru-baru ini, seorang pekerja kurier tampil berkongsi pengalaman yang dialaminya, sekali gus memberi peringatan kepada rakan penghantar dan penjual dalam talian agar lebih berwaspada dengan taktik licik pelanggan.
Menurut laporan mStar, dalam kejadian pada Sabtu lalu di Subang Jaya, Selangor, lelaki itu ditugaskan untuk mengambil semula barangan yang ingin dipulangkan pelanggan kepada penjual. Namun, situasi tersebut bukanlah perkara baharu baginya.
Menurutnya, rumah pelanggan berkenaan hampir setiap hari mempunyai barang untuk dipulangkan.

"Memang kerap sangat pickup dekat rumah ini. Tengok saiz bungkusan kecil je, tapi bila tengok detail dalam aplikasi, rasa macam tak kena," katanya.
Kecurigaannya mula memuncak apabila mendapati berat bungkusan yang ingin dipulangkan tidak sama seperti asal
Lebih mengejutkan, hasil semakan mendapati pelanggan terbabit didakwa menggunakan taktik menukar barang asal dengan barangan lain sebelum membuat permohonan refund.
"Dia terima barang, lepas tu request refund dan pulangkan dengan barang lain. Nama pembeli sentiasa tukar, tapi alamat tetap sama," dedahnya.
Menerusi video yang dikongsikan, bungkusan yang kononnya mengandungi set kombo bekas makanan 5 dalam 1 rupa-rupanya hanyalah kotak kosong tanpa isi.

Difahamkan, lelaki itu sudah hampir sebulan memerhatikan corak sama dilakukan pelanggan tersebut dan menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau kerana boleh menyebabkan kerugian kepada penjual.
Dalam masa sama, dia berharap pihak syarikat kurier dapat mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelanggan yang menyalahgunakan sistem pemulangan barang, termasuk mempertimbangkan senarai hitam.
Tambahnya, perkongsian berkenaan bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan bahawa isu penghantaran dan pemulangan barang boleh berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada kecuaian kurier atau sikap tidak bertanggungjawab pelanggan sendiri.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


