290 Juta Orang Di Serata Dunia Kini Mampu Bertutur Dalam Bahasa Melayu
Bahasa Melayu bukan hanya alat untuk komunikasi tetapi lebih daripada itu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bahasa Melayu suatu ketika dulu pernah menjadi lingua franca dan telah digunakan sejak zaman kerajaan Melayu Sriwijaya lagi
Zaman kegemilangan Bahasa Melayu menjadi lebih kukuh selepas kedatangan Islam dan pada zaman kesultanan Melayu Melaka, bahasa ini telah digunakan sebagai bahasa rasmi untuk pentadbiran, perdagangan dan hubungan diplomatik.
Bahasa ibunda ini telah lama mahu diangkat statusnya ke persada antarabangsa tetapi terdapat beberapa pihak yang menganggap bahasa ini tidak boleh ke pentas dunia dan diperlekehkan penggunaannya.
Menurut laporan dari Harian Metro, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Dr Rozaimah Rashidin mengatakan bahasa Melayu telah tersebar secara meluas bukan sahaja di Asia Tenggara.

Realiti kedudukan bahasa Melayu
"Penggunaan bahasa ini melangkaui sempadan Asia Tenggara dan antara negara yang ada dalam kalangan penduduknya berbahasa Melayu ialah Kepulauan Cocos (Keeling), Pulau Christmas di Australia serta di Afrika Selatan dan Sri Lanka.
"Kewujudan diaspora Melayu (perpindahan penduduk etnik Melayu dari wilayah asal mereka ke kawasan lain) turut memperkukuh penyebaran bahasa Melayu di peringkat global apabila bahasa ini digunakan oleh diaspora di pelbagai lokasi lain termasuk Arab Saudi (Makkah dan Madinah), Australia, United Kingdom, Jerman, Belanda dan Los Angeles," katanya.
Beliau juga menambah, mengikut statistik semasa, bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia) berada di dalam kelompok 10 bahasa paling banyak dituturkan dalam dunia sehingga mencecah 290 juta orang.

Rozaimah yang juga seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, memberitahu bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah untuk dipelajari kerana mempunyai sistem tatabahasa yang tersusun, jelas dan tidak terlalu kompleks.
Bukti bahasa Melayu ini mudah untuk dipelajari adalah kita dapat melihat banyak pekerja asing dari Bangladesh, Vietnam dan Nepal mampu untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam tempoh yang singkat.
Bahasa Melayu kekal menjadi antara bahasa yang masih aktif digunakan dalam dalam dunia dan juga ditawarkan di beberapa universiti di Beijing dan Guangdong sebagai ijazah dalam bahasa Melayu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via