663,000 Peminjam PTPTN Tak Pernah Bayar Satu Sen Pun Hutang
Kedekut sangat ni.
Seramai 663,000 peminjam tidak pernah membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Menurut laporan Free Malaysia Today, Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kesan sikap peminjam yang tidak mengambil serius menjelaskan hutang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang tinggi hingga membantutkan peruntukkan kepada generasi baru yang ingin melanjutkan pelajaran.
Kini, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan sebanyak RM8 bilion
“Sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997, kita telah mengeluarkan wang sebanyak RM48.7 bilion sehingga 31 Januari 2017.
“Daripada jumlah itu kita sepatutnya kutip RM18.8 bilion tetapi kita hanya dapat kutip RM10.8 bilion saja, maknanya masih banyak tunggakan.
“Berdasarkan rekod, terdapat 663,000 pelajar yang langsung tidak bayar kepada kita dengan jumlah wang terkumpul sebanyak RM4.7 bilion,” kata Shamsul.
Setakat ini, seramai 2.6 juta peminjam masih belum melunaskan hutang PTPTN dan sejumlah 586,863 orang telah disenarai hitam Jabatan Imigresen
Berita Harian melaporkan seramai 312,068 peminjam sudah melakukan perundingan dengan pihak PTPTN dan mula membuat bayaran balik berjumlah RM967.9 juta.
Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, berkata peminjam yang sudah dikenakan tindakan senarai hitam dikehendaki membayar keseluruhan hutang pinjaman atau tunggakan.
"Sekiranya tidak mampu, peminjam boleh berbincang dengan PTPTN bagi membuat penstrukturan bayaran apa-apa jumlah yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.
"Selepas rundingan dan bayaran dibuat, peminjam akan diberi pelepasan senarai hitam. Kita mahu peminjam lebih bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik bagi memudah pinjaman diberikan kepada pelajar baru," katanya.
Baru-baru ini, PTPTN melancarkan kempen #BolehBincang yang menunjukkan perbadanan itu sentiasa terbuka dan memberi ruang kepada penghutang menyelesaikan masalah
Kempen ini membolehkan peminjam PTPTN berbincang dan berunding dengan mudah melalui pelbagai saluran termasuklah menukar sistem pinjaman konvensional kepada sistem ujrah.
“PTPTN sedar ada peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman tetapi khuatir tiada jalan penyelesaian.
“Kita juga sentiasa terbuka untuk berunding, malah ada kes yang menghubungi kami jam 2, 3 pagi. Ada juga yang hubungi kita, ketika 5 minit lagi sebelum berlepas ke luar negara. Semuanya kita selesaikan,” kata Shamsul lagi.