Gajah Yang Ditemui Mati Di Tawau Dibunuh Kejam, Ada 70 Das Tembakan Pada Badan
Kejamnya manusia.
Pada 25 September lalu, seekor anak gajah jenis Pygmy Borneo ditemui mati di tebing Sungai Udin di Tawau, Sabah
Anak gajah itu mati dalam keadaan terapung sambil lehernya diikat pada sebatang pokok.
Lebih memilukan, bangkai gajah itu juga dikatakan mempunyai beberapa kesan lubang kecil pada bahagian badan, dipercayai telah ditembak dengan senjata api.
Hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemukan dalam badan haiwan tersebut dan ia berkemungkinan mati seksa
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata banyak peluru ditemukan dalam badan gajah betina itu sekali gus memberi bayangan keadaan gajah tersebut bertarung menahan kesakitan akibat terkena tembakan senjata api.
"Banyak peluru ada di badan gajah itu dan kita boleh bayangkan keadaan gajah waktu kena tembak... dalam keadaan kesakitan tetapi mungkin tidak mati dan mungkin sebab itu banyak tembakan dibuat (pemburu haram)," katanya kepada BERNAMA.
Selain ditembak mati, kedua-dua gading gajah tersebut juga dicabut
Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya empat atau lima pemburu terlibat dalam pembunuhan kejam ini.
Berdasarkan luka dan peluru yang ditemui, pemburu dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senjata separa automatik dari jarak dekat.
"Tembakan tersebut menembusi tengkorak dan menghancurkan otak, bermakna kematian berlaku sejurus selepas tembakan dilepaskan," kata sumber yang dipetik dari The Star.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada pemberi maklumat terhadap pemburu haram yang terbabit
“Kita akan teruskan siasat, kita perlu sesiapa yang mungkin mempunyai maklumat mengenai pembunuhan ini untuk tampil memberi maklumat kepada jabatan dan jabatan boleh menawarkan ganjaran.
“Setakat ini kita tidak mempunyai apa-apa maklumat. Penduduk kampung di situ tidak pasti apa yang berlaku. Mereka kata mereka tidak dengar pun tembakan,” kata Augustine.