Anak Johor Bina Kereta F1 'Besi Buruk' Dalam Masa 56 Jam Dengan Modal RM2,200 Sahaja!
Usaha anak kelahiran FELDA ini bertungkus-lumus membina prototaip kereta F1 akhirnya berjaya menarik perhatian ramai pihak.
Siapa sangka, dengan hanya berbekalkan modal sekecil RM2,200, anda sebenarnya mampu membina sebuah replika kereta lumba F1.
Itulah yang telah dibuktikan oleh dua orang adik beradik dari Kota Tinggi, Johor ini.
Hanya bermodalkan besi buruk bernilai RM2,200, dua beradik dari FELDA Sening di Kota Tinggi, Johor menggunakan bakat luar biasa apabila mencipta sebuah replika kereta lumba Formula One (F1) yang diolah secara kreatif daripada bahan terbuang.
Melalui gabungan komponen seperti rangka kenderaan, enjin terpakai, kepingan zink dan gentian kaca, kerja tangan serta usaha Azamrudin Shawal, 34, bersama adiknya Mohd Airi, 23, selama 56 jam itu menjadi realiti untuk mencipta kereta F1.
Ia bukan sekadar model prototaip. Kereta 'besi buruk' yang dibina itu turut mampu mencapai top speed sehingga 120 kilometer sejam. Boleh tahan laju!
Bakat mekanik muda itu mengagumkan ramai pihak, malah kenderaan dihasilkan generasi kedua FELDA Sening itu mampu bergerak dengan kelajuannya mencecah antara 70 hingga 120 kilometer sejam.
hmetro.com.myBerbanding pereka profesional lain yang mempunyai sumber rujukan dari pelan lukisan atau Internet, Azamrudin dan Mohd Airi pula sebaliknya hanya menjadikan model kereta mainan F1 di pasaran sebagai rujukan bagi menghasilkan prototaip sebenar.
hmetro.com.my“Dengan bersumberkan bahan terpakai, kami berdua merancang menghasilkan kereta F1, sekali gus menjadikan projek ini berbeza.
“Modal digunakan juga murah dan hanya bersumberkan besi buruk. Kos RM2,200 itu meliputi harga rangka kenderaan (RM300), enjin terpakai Daihatsu Charade model 1984 (RM400), kepingan zink, gentian kaca dan semburan cat (RM1,500),” kata Azamrudin.
Azamrudin, 34, berkata usaha itu dilakukan bagi menarik perhatian orang ramai terhadap Felda Sening. Namun begitu, mereka tidak mendapat sebarang pengiktirafan.
Pemuda berusia 34 tahun itu berkata dia membina kereta prototaip itu dengan dibantu adiknya, Mohd Airi tiga tahun lalu untuk menarik perhatian orang ramai terhadap kawasan penempatan mereka di Felda Sening.
Tetapi usaha mereka tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya walaupun bertungkus-lumus menonjolkan ciptaan mereka kepada pemimpin tempatan sejak 2012.
Azamrudin menyatakan kekecewaannya walaupun dia berusaha untuk mempromosikan ciptaannya itu kepada pemimpin tempatan, tiada di kalangan mereka yang berminat untuk mengetengahkan ia ke peringkat seterusnya.
"Saya sentiasa berfikir mengenai cara bagaimana seorang pemuda dari pekan kecil boleh mendapat pengiktirafan kerajaan dan memutuskan untuk membina kereta prototaoip ini," luah Azamrudin.
"Apa yang saya mahu adalah membantu masyarakat di sini dikenali dan mungkin mendapat sedikit dana untuk menjalankan aktiviti buat generasi muda."
"Kawasan felda ini mempunyai potensi untuk berkembang terutamanya dalam sektor agro-pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi di sini selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan."
"Malangnya, kami telah dipinggirkan dan keupayaan kami tidak dipandang. Adalah menjadi harapan saya dengan membina kereta lumba ini, ia akan membuka mata individu berkuasa dan memberikan generasi kedua di sini peluang untuk membuktikan keupayaan diri."
"Saya juga berharap diberikan peluang bekerjasama dengan syarikat petroleum seperti Shell dan Petronas untuk mengklon ciptaan saya," katanya lagi.
Kereta lumba sepanjang dua meter ini juga digunakan dalam beberapa perarakan dan acara khas di felda tersebut termasuk majlis perkahwinan. Lihat VIDEO penuh di bawah:
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!