Baru Berusia 25, Gadis Ini Adalah 'Guider' Gunung & Mempunyai 6 Tahun Pengalaman Mendaki
Darah pendaki yang mengalir dalam tubuhnya sudah begitu sebati.
Bagi yang pertama kali melihat wajah si hijabista ini, apa agaknya persepsi atau tanggapan yang orang ramai selalu simpulkan?
Seperti kebanyakan gadis lain di luar sana, dengan wajah ayu dan comel sebegitu, pastinya orang anggap wanita ini seorang kaki shopping...
...atau mungkin seorang kaki kopi yang suka mencuba pelbagai jenis kopi di hipster cafe sekitar kota bersama rakan-rakan.
Atau mungkin juga gadis ini seorang model hijabista? Who knows, kan?
Apa-apa pun tanggapan anda, gadis ini sebenarnya seorang kaki gunung dan sangat lasak. Bukan itu saja, dia juga merupakan seorang pemandu arah atau guider wanita bagi pelbagai trip gunung di Malaysia.
"Seriously??"
Inilah soalan yang bermain di fikiran saya masa pertama kali saya kenal gadis ini. Rasa macam tak percaya. Dia yang diberi nama Siti Nur Hidayah Bt Mohd Azlan atau lebih mesra dengan panggilan Ana mempunyai pengalaman mendaki yang cukup luas setelah beberapa tahun aktif dalam bidang ini.
Baru saja berusia 25 tahun, Ana sudah mempunyai pengalaman mendaki gunung selama 6 tahun sejak mulai serius pada tahun 2009
"Semuanya bermula atas dasar minat. Saya mula mendaki sejak kecil lagi iaitu semasa saya Tingkatan 1 ke Gunung Tahan. Saya mengikuti jejak langkah ibu bapa saya yang juga tegar dalam bidang mendaki. Lama kelamaan ia telah menjadi hobi saya.
"Saya kini menjadi penyambung warisan orang tua saya dan ianya mengalir dalam tubuh saya. Dengan izin Allah Taala, semoga saya mampu meneruskan hingga ke hujung nyawa.
"Memang sejak kecil lagi saya sudah mula mendaki tetapi saya mulai serius pada tahun 2009 semasa saya masih belajar di kolej. Saya merupakan pelajar jurusan kewartawanan atau journalism di KLMU. Waktu itu saya baru berusia 19 tahun. Saya bermula dengan merancang trip kecil-kecilan seperti ke Bukit Broga dan lain-lain bersama rakan-rakan.
"Sebelum itu, saya juga seperti pelajar lain yang pernah bekerja part time di beberapa tempat untuk mencari sedikit pendapatan sampingan. Saya pernah bekerja di sebuah bank selama 1 tahun dan bekerja di sebuah retail outlet selama 2 tahun.
"Sebagai seorang pelajar jurusan kewartawanan, saya juga pernah menjadi penulis freelance untuk sebuah syarikat media terkemuka selepas habis belajar. Tapi tak lama selepas itu saya berhenti sebab bosan."
"Saya turutkan kata hati saya untuk menjadikan bidang outdoor sebagai pekerjaan sepenuh masa saya. Kadang-kadang terdetik juga di hati saya 'Mampukah pekerjaan ini memberi saya makan setiap hari?'. Tetapi saya tetap nekad untuk teruskan.
"Namun begitu, pada mulanya saya rasa susah gila untuk saya buat trip. Nak dapatkan 5 orang pun susah. Bila saya ajak, masing-masing rasa ragu-ragu untuk ikut. Mungkin juga sebab aktiviti hiking ketika itu belum lagi diminati ramai. Apa saya boleh kata permulaannya memang sangat sukar," ujar Ana.
Apabila ditanya mengenai penerimaan orang ramai, Ana berkata tidak ada seorang pun yang menyokong keputusannya ini, termasuk ibu bapanya sendiri kerana bidang ini dianggap sebagai bidang 'orang jantan'
"Apa-apa bidang yang kita nak terjun sekalipun, ibu bapa mesti akan persoalkan beberapa perkara. Saya juga tak terlepas. Tapi apabila memberitahu mereka saya nekad menjadikan bidang 'orang jantan' ini sepenuh masa, mereka langsung tidak menyokong.
"Mereka lebih rela jika saya bekerja sebagai seorang wartawan atau bekerja dalam bidang korporat dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Pada mereka, orang perempuan tidak sesuai untuk melakukan aktiviti yang terlalu lasak. Mereka tahu jika inilah bidang yang saya pilih, saya mesti akan selalu panjat gunung dan masuk hutan.
"Ibu bapa saya juga menganggap bidang ini tak ada masa depan, malah turut persoalkan sampai bila saya nak panjat gunung. Bayangkan betapa patahnya semangat saya waktu itu. Daripada bersemangat terus rasa macam tak nak buat.
"Tetapi saya sedar, apa yang saya perlu lakukan ialah buktikan yang mereka salah. Saya perlu tunjukkan pada mereka yang bidang ini bukan untuk orang lelaki sahaja. Bukan niat saya untuk menyamakan lelaki dengan perempuan, cuma saya yakin orang perempuan juga layak diberi pendedahan," tegas Ana.
Akhirnya, ibu bapa Ana tidak membantah lagi. Mereka menyokong sepenuhnya karier Ana sebagai guider gunung.
Menurut Ana, salah satu tugasnya adalah untuk memberi keyakinan dan inspirasi kepada kaum Hawa bagi melakukan sesuatu yang mereka tidak percaya boleh lakukan sebelum ini
"Saya sedar ramai wanita di luar sana yang tak yakin dengan diri sendiri, lebih-lebih lagi bila masuk hutan atau panjat gunung. Ramai yang merasakan diri mereka tak cukup kuat, tak fit, dan tak segagah lelaki.
"Pada saya, tanggapan itu salah. Saya rasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan pemikiran ini. Sebenarnya, perempuan dengan lelaki sama saja. Tak dinafikan, kaum Adam memang lebih kuat dari segi fizikal. Kudrat mereka lebih kuat daripada kaum Hawa.
"Tetapi, Tuhan telah kurniakan kaum Hawa dengan kekuatan dalaman yang luar biasa. Orang perempuan mungkin tidak sedar perkara ini tetapi itulah kebenarannya. Semangat yang kuat inilah yang membantu wanita melakukan sesuatu di luar jangkaan.
"Percayalah, semua orang mampu lakukan kalau ada semangat yang kuat. Alasan 'tak cukup fit' semua tu saya rasa dah tak legit lagi. Sebab saya yakin semua orang boleh."
"Saya mahu jadi role model buat penggemar aktiviti lasak, terutamanya kepada kaum wanita. Sebab apa? Sebab mula-mula dulu tiada siapa percaya yang saya boleh lakukan. Sama juga seperti kebanyakan wanita di luar sana yang merasakan diri mereka tidak boleh.
"Saya sedia membantu mana-mana wanita yang memerlukan tunjuk ajar. Kaum Hawa perlu lebih percaya pada kebolehan diri sendiri. Jangan rasakan diri anda lemah kerana anda tidak!
"Saranan saya, kalau kita betul-betul nak mengenali diri sendiri, kita perlu jinakkan diri dengan alam semula jadi."
"Tuhan jadikan manusia daripada tanah. Jadi, menyatukan diri dengan alam ciptaan Tuhan seolah-olah memberi maksud kita 'pulang' semula kepada-Nya. Manusia sememangnya dicipta untuk melakukan kesilapan. Kita juga sering leka dengan kehidupan dunia sehingga kadang-kadang kita terlupa ada yang memerhati segala tindak-tanduk kita."
"Oleh itu, adalah bagus jika kita luangkan masa bersama alam semula jadi. Pada masa ini, kita akan nampak betapa kerdilnya kita berjalan di bumi Tuhan. Kita akan lebih menghargai kehidupan dan lebih bersyukur dengan segala apa yang kita ada. Alam semula jadi merupakan tempat paling baik untuk seseorang melakukan refleksi dan muhasabah diri," kata Ana lagi.
Kini, Ana memiliki sebuah syarikat outdoor sendiri yang diberi nama National Outdoor Adventure (NOA) dan merupakan seorang guider bertauliah dengan lesen sah
Syarikat yang ditubuhkan pada 2010 ini semakin berkembang dan semakin dikenali ramai. Harus diakui agak asing dan rare bagi seorang wanita untuk menjadi guider. Kebanyakannya mesti lelaki. Ana boleh dianggap sebagai bunga dalam kalangan kumbang dalam dunia outdoor.
Saya sendiri telah mengikuti trip Ana sebanyak 2 kali. Apa yang saya boleh kata, Ana memang lasak orangnya dan sangat independent. Dialah yang rawat orang sakit, dialah yang masak, dialah yang menjadi tunjang paling penting. Ana memang seorang wanita yang saya sangat respect.
Bukan senang nak jumpa guider wanita, lagi-lagi yang baru berusia 25 tahun. Walaupun saya seorang lelaki, tapi Ana lebih gagah daripada saya. Tak tipu. Pengalaman mendaki gunung bersama National Outdoor Adventure (NOA) memang sangat seronok. Saya sangat look forward untuk trip seterusnya.
Pesanan akhir Ana kepada semua: "Teroka dunia luar dan get out of your comfort zone. The world has plenty to offer."
Maklumat lanjut boleh layari...
Facebook Anastasia Azlan
No telefon: +6011-16666 827
National Outdoor Adventure (NOA) :
Facebook, Instagram dan Twitter.
Email: [email protected]
Mountain guide / teambulding / outdoor instructor
Qualified in providing services in ecotourism industry
Sebelum ini, kami pernah masukkan NOA dalam senarai 16 outdoor groups yang anda boleh sertai untuk pelbagai aktiviti lasak dan ekstrem. LIHAT SINI:
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!