Apa Maksud 'Gong Xi Fa Cai' Sebenarnya? Kenapa Ada Yang Mengatakan Ia Haram?
Ramai khuatir penggunaan ucapan 'Gong Xi Fa Cai' ini akan menggugat pegangan aqidah mereka.
Pada 18 Februari lalu, satu status di Facebook dari Sultan Jamal menyeru umat Islam agar tidak mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai' kepada kaum Cina. Ini kerana perbuatan itu dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap pegangan aqidah seseorang.
Namun begitu, menerusi ruangan komen, segelintir pihak tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Menurut mereka, Tahun Baru Cina hanyalah perayaan budaya dan tidak ada kena mengena dengan soal agama.
Bagaimanapun, soal budaya dalam perayaan juga dijadikan topik perbahasan. Seorang netizen mempersoal, "Jika sambutan perayaan budaya dianggap tak salah, kenapa dua perayaan masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam tidak diteruskan?"
Setelah menerima puluhan komen pada status tersebut, Sultan Jamal tampil memberi penjelasan bagi mengukuhkan lagi pandangannya. Baca penjelasan penuh di bawah:
Walaupun penjelasan sudah diberikan, masih ada beberapa pihak yang tidak bersetuju selepas itu, dengan menganggap Hari Raya Krismas dan Tahun Baru Cina adalah dua perayaan yang mempunyai unsur berbeza
Dalam pada itu, seorang netizen kemudian tampil sambil berkata isu ini tidak perlu dibahaskan. Salah satu sebabnya adalah terdapat juga masyarakat Cina Muslim yang merayakan Tahun Baru Cina tetapi mengikut hukum syarak.
Hasil tinjauan SAYS, kami menemui penjelasan lanjut tentang isu ini di laman web mufti.perlis.gov.my seperti di bawah:
Sesungguhnya al-Quran al-Karim telah meletakkan kaedah hubungan antara umat Islam dengan bukan Islam pada dua ayat di dalam al-Quran dari surah al-Mumtahinah. Ayat tersebut telah diturunkan berkaitan dengan para penyembah berhala (Musyrikin Wathaniyyin). Firman Allah Taala:
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون
Mafhumnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang Yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa Yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.” (al-Mumtahinah: 8-9)
Ayat ini meletakkan perbezaan antara yang tidak memerangi dan yang memerangi.
GOLONGAN YANG PERTAMA, iaitu yang tidak memerangi umat Islam, ayat al-Quran tersebut membenarkan kita berbuat البِرّ dan القِسْطُ terhadap mereka. القِسْطُ membawa maksud berlaku adil, manakala البِرّ membawa maksud berbuat baik. الفضل pula suatu yang melebihi berbuat adil. Manakala العدل kamu mengambil hak kamu, البر kamu beralah terhadap sebahagian hak kamu. Adapun العدل atau القسط iaitulah kamu memberi seseorang akan haknya tanpa dikurangkan, manakala البر kamu melebihkan pemberian haknya sebagai suatu kelebihan dan berbuat baik.
GOLONGAN YANG KEDUA pula iaitu golongan yang dilarang di dalam ayat al-Quran tersebut untuk berbuat baik kepada mereka. Iaitulah golongan yang memusuhi dan memerang umat Islam dan berusaha mengusir umat Islam dari negeri mereka tanpa cara yang benar melainkan kerana umat Islam mengucapkan: Tuhan kami adalah Allah, seperti yang diperlakukan oleh orang-orang Quraisy Musyrikin Mekah terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Penjelasan selanjutnya di sini.
Persoalannya, apa sebenarnya maksud 'Gong Xi Fa Cai'? Memetik tulisan daripada saudara Wong Chin Huat di The Malaysian Insider, 'Gong Xi Fa Cai' bermaksud “tahniah atas rezeki lumayan”, bukan "Selamat Tahun Baru Cina".
“Gong Xi Fa Cai” tidak bermaksud “Selamat Tahun Baru Cina”, tetapi sebaliknya “tahniah atas rezeki lumayan”.
Nyata sekali, Sultan Jamal yang cuba memberikan nasihat agama ini tidak faham bukan saja maksud ucapan “Gong Xi Fa Cai”, malah perbedaan antara budaya Cina dan agama Budha.
Seperti sesetengah orang Cina yang fikirkan Hari Raya Aidil Fitri itu Tahun Baru Orang Melayu, Sultan Jamal ini nampaknya fikir semua orang Cina itu beragama Budha dan semua penganut Budha itu orang Cina, seperti penyamaan orang Melayu dengan agama Islam yang digerakkan oleh sesetengah pihak. Kedua-dua memahami dunia ini berdasarkan imej diri.
Pada hal, “Gong Xi Fa Cai” langsung tidak berunsurkan akidah. “Gong Xi” maksudnya “taniah”, “Fa Cai” itu “dilimpahi rezeki lumayan”.
Jelas di sini bahawa ucapan tersebut mempunyai elemen "rezeki" di dalamnya. Jadi mengapa orang Cina begitu mementingkan rezeki? Wong Chin Huat kemudian memberi penjelasan lanjut tentang perkara ini seperti berikut:
Mengapa orang Cina begitu mementingkan rezeki? Sebenarnya, orang Cina juga bersapa sesama sendiri dengan soalan “sudah makan?”.
Ini kerana bumi Cina padat dengan penduduk dan ditimpa selalu dengan bencana alam dan juga peperangan.
Maka, dalam sejarahnya selama 4-5 ribu tahun itu, kebanyakan masa, kebanyakan orang Cina khuatir tentang kemiskinan dan kebuluran. Maka, dilimpahi rezeki dan dikurniai makanan amat disyukuri sampai menjadi ucapan tahunan dan pertanyaan harian.
Baca artikel penuh di sini.