seismik

Bahaya Sextortion: Memanipulasi Kanak-Kanak Dalam Tingkah Laku Seksual Dalam Dunia Digital

Di Malaysia, situasi ini turut mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Cover image via BBC

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Dalam era digital ini, kemudahan komunikasi dan akses maklumat berkembang dengan pesat. Namun, di sebalik kemajuan tersebut, terdapat risiko yang turut meningkat, terutamanya bagi golongan yang lebih terdedah seperti kanak-kanak

Image via BH Online

Menurut kajian oleh penyelidik Universiti Edinburgh, United Kingdom, lebih daripada 300 juta kanak-kanak di seluruh dunia terdedah kepada ancaman eksploitasi dan penyalahgunaan seksual dalam talian setiap tahun. Malah, satu daripada lapan kanak-kanak telah menjadi mangsa perkongsian kandungan seksual tanpa izin.

Di Malaysia, situasi ini turut mencatatkan peningkatan yang membimbangkan. Jumlah permohonan untuk menghapuskan kandungan berkaitan Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) yang pernah dilaporkan oleh Bernama pada 19 November 2024 lalu telah meningkat dengan ketara, daripada 525 kes pada tahun 2023 kepada 815 kes pada tahun 2024. Fenomena ini menegaskan betapa pentingnya tindakan pencegahan yang lebih berkesan serta pendidikan awal untuk menangani ancaman ini secara menyeluruh.



Ancaman yang semakin membimbangkan

Antara ancaman terbesar yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam dunia digital ialah sextortion, di mana pemangsa menggunakan pelantar media sosial dan aplikasi pesanan dalam talian untuk memanipulasi kanak-kanak agar berkongsi kandungan eksplisit dengan ancaman pendedahan atau bahaya.

Amalan sexting, iaitu menghantar mesej atau gambar eksplisit, kini turut menjadi kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan remaja. Dipengaruhi oleh tekanan rakan sebaya dan pendedahan awal kepada media digital, ramai kanak-kanak dan remaja tidak sepenuhnya memahami akibat dari tindakan ini.



Image via s-nbcnews.com

Selain memberi kesan psikologi yang mendalam, sexting juga boleh menyebabkan buli siber dan memberi impak sosial yang berpanjangan. Oleh itu, kesedaran mengenai tingkah laku ini amat penting untuk membantu golongan muda membuat pilihan yang lebih bijak dan menghindari kesan buruk yang mungkin timbul.

Sebuah tinjauan di Amerika Syarikat pada September 2022 di www.commonsensemedia.org yang melibatkan 1,300 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun juga mendapati bahawa 73% daripadanya telah terdedah kepada pornografi dalam talian, dengan lebih separuh daripada mereka pertama kali melihat pornografi pada usia 13 tahun. Keadaan ini menuntut langkah penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap pelantar dalam talian serta program literasi digital untuk ibu bapa dan kanak-kanak.

Kepentingan peranan ibu bapa

Dalam situasi ini, peranan ibu bapa amatlah penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka. Sebagai langkah awal, ibu bapa digalakkan untuk memupuk suasana komunikasi yang terbuka dengan anak-anak. Perbualan yang telus mengenai ancaman dalam talian seperti sextortion dan sexting dapat membantu anak-anak memahami risiko yang wujud, di samping meyakinkan mereka bahawa sokongan sentiasa tersedia. Dengan pendekatan ini, anak-anak akan lebih berani berkongsi pengalaman mereka tanpa rasa takut atau malu, kerana mereka sedar bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini.

Di samping itu, ibu bapa wajar mengambil langkah proaktif dengan berbincang secara berperingkat bersama anak-anak mengenai risiko dunia siber, sesuai dengan usia dan tahap pemahaman mereka. Pendekatan ini boleh diperkukuh melalui perkongsian contoh kehidupan sebenar yang relevan, agar maklumat tersebut lebih mudah difahami dan dihayati oleh anak-anak. Di samping itu, nilai-nilai murni serta pengajaran moral perlu diterapkan untuk membantu anak-anak mengenal pasti situasi yang berpotensi membahayakan mereka.



Gambar sekadar hiasan.

Image via Sinar Harian

Ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana yang kondusif bagi anak-anak untuk berkongsi pengalaman mereka di alam maya. Persekitaran yang menyokong ini dapat memberikan keyakinan kepada anak-anak untuk menceritakan sebarang perkara yang mengganggu atau meresahkan mereka kepada ibu bapa atau orang dewasa lain yang dipercayai. Dengan cara ini, anak-anak akan merasa dilindungi dan tidak terasing dalam menghadapi cabaran siber.

Yang lebih utama, ibu bapa perlu berhati-hati dalam memberi anak-anak kecil akses kepada peranti elektronik atau pelantar media sosial tanpa kawalan. Penggunaan kawalan ibu bapa serta pemantauan berkala semasa anak-anak menggunakan peranti adalah langkah yang efektif untuk memastikan keselamatan mereka di alam maya. Dengan menetapkan had penggunaan dan menyediakan peraturan yang jelas, ibu bapa dapat membantu melindungi anak-anak daripada ancaman yang tidak diingini, sambil membentuk tabiat penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

Sebagai langkah tambahan, bagi mereka yang memerlukan bantuan, Pusat Bantuan Cyber999 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected] atau talian 1-300-88-2999 (dipantau semasa waktu bekerja).

Peduli Seks: Tunjang Utama Kempen Pendidikan Seks

as dasar inilah, kempen Peduli Seks memfokuskan kepada pendidikan kanak-kanak dan remaja mengenai risiko seks dalam talian, serta mendorong mereka untuk membuat keputusan yang lebih selamat daripada terdedah kepada kandungan berbahaya.

Kempen Peduli Seks bukan sekadar merespon ancaman ini, tetapi juga berusaha untuk merubah cara kita mendekati pendidikan seks. Ia adalah salah satu langkah proaktif dalam memperkasa generasi muda dengan pengetahuan tentang kesihatan seksual, membanteras penyebaran maklumat palsu, serta meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya persetujuan dan tanda-tanda penderaan.

Kempen ini dibangunkan berdasarkan empat tunjang utama yang menjadi asas kepada pendekatan yang lebih holistik dan berkesan:



Image via Peduli Seks

  • Kesihatan

Kempen ini memberi penekanan terhadap kesihatan seksual lelaki dan wanita, termasuk penggunaan kontraseptif dan penjagaan kesihatan reproduktif. Memberikan pengetahuan asas ini kepada individu membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik mengenai tubuh mereka.

  • Keluarga & Hubungan

Memupuk pemahaman mengenai konsep persetujuan, mengenali tanda-tanda penderaan emosi, fizikal, dan seksual, serta menggalakkan hubungan yang sihat adalah penting dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan empatik. Kempen ini turut menggalakkan komunikasi terbuka di kalangan ahli keluarga.

  • Komuniti

Komuniti memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memberikan sokongan kepada individu yang terjejas akibat gangguan seksual. Melalui organisasi yang berkaitan, isu sosial seperti gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan.

  • Dasar & Advokasi

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai dasar dan undang-undang tempatan yang berkaitan dengan kesihatan seksual, sambil menggalakkan penglibatan orang ramai dalam memperjuangkan pendidikan seks yang komprehensif.

Content Forum Malaysia

Image via Content Forum

Dalam hal ini, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) turut memainkan peranan penting dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menangani isu-isu keselamatan dalam talian, termasuk sextortion dan penyebaran kandungan tidak sesuai.

Sebagai inisiatif berterusan, CMCF menyokong pengukuhan kerjasama antara penyedia perkhidmatan media sosial, pengawal selia dan organisasi keselamatan kanak-kanak dalam merangka dasar yang komprehensif bagi menangani tingkah laku berbahaya dalam talian. Usaha ini bertujuan memastikan tindakan yang proaktif dan reaktif dilaksanakan, sekaligus melindungi keselamatan dan kesejahteraan generasi muda di dunia digital.

Sekiranya terdapat kandungan berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak atau bahan tidak wajar, laporan boleh dibuat melalui laman web rasmi www.contentforum.my atau disalurkan terus kepada pihak berkuasa berkaitan. Tindakan segera dengan melaporkan kandungan-kandungan seperti itu ke CMCF serta penyedia perkhidmatan media sosial adalah kunci bagi melindungi pengguna daripada ancaman digital yang semakin berleluasa.



Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

More stories to read: