Mana Satu Pilihan Anda: Beli Rumah Dulu Sebelum Kahwin Atau Kahwin Dulu Baru Beli Rumah?
"Rumah mahal bro!"
Kami yakin, persoalan sama ada mahu kahwin dahulu atau beli rumah dahulu sebelum kahwin pastinya bermain di fikiran sesetengah dari kita
Sesetengah orang berpendapat, beli rumah dulu sebelum kahwin kerana nanti lepas kahwin sudah ada tempat berteduh. Dan ada pula yang berpendapat, kahwin dulu sebab nanti lepas kahwin akan lebih banyak rezeki yang datang.
Jadi yang mana satu? Kami telah tanyakan beberapa rakyat Malaysia mengenai hal ini dan ini jawapan mereka:
1. "Ada tempat berlindung..."
"Aku prefer beli dulu rumah siap-siap. Bukan apa nanti senang lepas kahwin dah ada tempat berlindung. Tak payah lah nak menyewa bagai. Lagipun perabot barang-barang rumah aku memang dah ada kat rumah sewa. Awal-awal lagi dah beli macam-macam hehe. Just tinggal nak cari rumah bawak masuk barang je..." - Syaiful, 23
2. "Tunggu rumah dari laki I..."
"Buat masa ni belum terfikir lagi nak beli rumah sebab I pun baru kerja. Baru nak mencari duit kata orang. Tapi rasanya rumah beli lepas kahwin nanti kot. Sebab bakal husband dah janji nak belikan rumah untuk kitorang lepas kahwin nanti. Hehehe..." - Nada, 24
3. "Nak prepare everything sebelum jaga anak orang..."
"Sebagai lelaki dah confirm-confirm lah kita lagi banyak kena menyimpan kan sebab nanti nak kena jaga anak dara orang. So, saya akan make sure semua benda lengkap sebelum kahwin termasuklah rumah. Barulah gentlemen. Hehe..." - Asyraf, 26
4. "Rumah mahal bro!"
"Rumah mahal lah sekarang ni. So I rasa better I kahwin dulu sebelum beli rumah. Kalau nak tunggu beli rumah, hmmm tak tahulah bila baru boleh I beli. Nanti dah kahwin takdehal, boleh cari rumah dengan husband sama-sama. Tapi the problem is now, I boyfriend pun tak ada. LOL!" - Yee, 27
Setiap orang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza-beza sama ada memilih untuk berumahtangga ataupun membeli rumah terlebih dahulu
Berlainan pendapat ini adalah disebabkan faktor komitmen yang dimiliki oleh setiap orang. Sebagai contoh, si A mungkin mahu membeli rumah dahulu kerana belum lagi berjumpa dengan gadis pilihan hatinya. Lain pula buat B. Dia mungkin mahu berkahwin dahulu, kerana pekerjaan sebagai guru membolehkannya untuk tinggal di kuaters yang disediakan selepas kahwin.
Tetapi secara umumnya kita tahu, selepas kahwin komitmen pasti akan lebih tinggi berbanding sebelum berkahwin. Yelah, nanti sudah berkahwin kita akan dihadiahkan pula dengan cahaya mata yang comel-comel. Komitmen itu sedikit sebanyak pasti akan bertambah.
Menurut seorang pakar hartanah, Harith Faisal, sebenarnya terdapat banyak jalan yang boleh dipilih
Kalau kita awal merancang, sebenarnya kita ada banyak jalan yang kita boleh pilih. Rancang dan buat sajalah. Bukan susah pun. Jadi tak jadi, lain cerita. Sebab Allah jua sebaik-baik Perancang.
Bagi Harith, terdapat tiga cara yang boleh digunakan untuk menghadapi isu ini:
1. Simpanan bersama
Sebelum kahwin, buat simpanan sama-sama. Contoh target simpanan bersama adalah RM30,000. Dah cukup, kahwinlah. Kalau rasa RM30,000 tu banyak sangat, kurangkan kos kahwin mana-mana yang boleh.
Syaratnya jangan buat pembiayaan peribadi semata-mata nak tanggung bridesmaid, pelamin seindah singgahsana kayangan. Nanti anak dah masuk tadika pun, tak habis bayar lagi.
Gunakan sebahagian simpanan tadi untuk belanja kahwin, sebahagian lagi untuk modal deposit rumah pertama. Selagi tak cukup target simpanan, tak boleh kahwin (sebagai motivasi untuk gigih menabung).
2. Rumah dapat, kahwin pun dapat
Satu lagi jawapan saya adalah beli rumah dulu. Kena ada modal jugalah. Secara ringkasnya, beli rumah subsale sekurang-kurangnya 15% bawah harga pasaran. Selepas selesai urusan jualbeli, boleh dapat cashback.
Dengan cashback tu boleh guna untuk belanja kahwin. Kalau tak faham berkaitan rumah bawah harga pasaran dan cashback, rujuk post saya yang sebelum-sebelum ni. Dah banyak kali saya kongsikan.
Rumah dapat, kahwin pun dapat. Best!
3. Simpan deposit rumah masa bujang
Bujang digalakkan simpan 30% untuk tabung rumah. Yang dah berkahwin digalakkan simpan paling kurang 10% gaji. Lagi banyak, lagi bagus sebenarnya.
Kalau nak menyimpan deposit rumah, mulalah masa tengah bujang. Sebab nanti selepas dah kahwin, memang bertambah komitmen, lagi susah nak menyimpan.
Iya. Lepas kahwin rezeki memang bertambah insyaAllah. Tapi cabaran yang datang juga lebih besar. Masa tulah nak merasa dating sana, dating sini. First honeymoon, second honeymoon, third honeymoon.
Namun, tak dapat dinafikan, ada yang berfikir sekiranya kahwin nanti rezeki akan lebih luas lagi-lagi bila dah dapat anak. Betul tak?
Anak adalah rezeki dan amanah tuhan kepada kita untuk menempuhi hidup alam berumahtangga. Anak adalah pembawa rezeki dan melengkapkan lagi keluarga bahagia.
Sebenarnya pilihan itu di tangan anda. Tetapi perlu ingat komitmen akan bertambah selepas berkahwin. Bayangkan tahun pertama kahwin anda sudah menimang cahaya mata. Jadi perbelanjaan itu sedikit lebih seperti sebelumnya. Jadi ini serba sedikit pasti akan memberi kesan kepada komitmen anda untuk membeli sebuah rumah.