"Elak Perkahwinan Jangka Pendek" - Silibus Kursus Kahwin Diperhalusi Di Johor
Tindakan ini adalah bagi memastikan individu yang ingin berkahwin memahami amanah serta tanggungjawab selepas mendirikan rumah tangga.
Statistik yang melibatkan perkahwinan bawah umur di negara ini sememangnya masih rendah dan berada ditahap yang boleh dikawal. Namun, tiada siapa yang menghiraukan statistik tersebut sehingga munculnya isu budak perempuan 11 tahun berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun.
Perkahwinan tersebut dipercayai telah berlangsung di Selatan Thailand dan viral di media sosial selepas isteri kedua lelaki berkenaaan memuat naik beberapa status dan gambar yang telah menarik perhatian masyarakat.
Baru-baru ini, menurut laporan Harian Metro, silibus kursus pra-perkahwinan di Johor akan diperhalusi untuk setiap individu yang bakal berkahwin
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, tujuan meneliti kursus itu bagi mengelak berlakunya perkahwinan jangka pendek dan perceraian.
Beliau juga menambah bahawa, "Dalam hal ini, kita tidak mahu melihat perkahwinan jangka masa singkat atau perceraian berlaku. Justeru, kursus berkaitan perkahwinan akan dipertingkat serta diperhalusi bukan sekadar perkara-perkara asas mengenai perkahwinan tetapi membawa silibus lebih mendalam," kata Aminolhuda.
Antara silibus kursus perkahwinan yang akan diteliti adalah merangkumi urusan rumah tangga dan pengurusan ekonomi rumah tangga. Penting untuk mereka yang baru pertama kali berkahwin.
Aminolhuda juga berkata sebagai permulaan, mereka mahu pasangan yang bakal berkahwin tahu bahawa perkahwinan yang dibina bukanlah sekadar keseronokan, namun lebih kepada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul.
"Tanggungjawab menjaga seseorang manusia dari keluarga lain. Kita ambil anak orang, pastikan kita bertanggungjawab menjaganya," ujarnya.
Beliau juga menambah bahawa, kerajaan negeri menerusi portfolio agama akan mengetengahkan perkara ini supaya perkahwinan dibina lebih kekal dan panjang. Tambahan lagi, isu berkaitan dengan perkahwinan yang membabitkan pasangan bawah umur di mana wanita berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki 18 tahun ke bawah akan diperketatkan kelulusannya.
Beliau juga telah dimaklumkan bahawa perundangan telah meletakkan pasangan yang ingin berkahwin mengikut tahap umur ditetapkan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita
"Sekiranya perkara ini menjadi syarat, kebenaran dari pihak majlis agama dan jabatan agama akan diperketatkan termasuk mengambil kira tahap kesediaan mereka berumah tangga dan menyara keluarga," tambahnya lagi.
Mereka juga akan mewujudkan pangkalan data untuk golongan ini. Ianya adalah penting supaya pemantauan mengenai kehidupan mereka benar-benar diawasi dan dapat mengelak masalah yang akan mendatang serta merugikan setiap pihak.