Esok Bapa Nak Pergi Haji, 'Trick' Adik Beradik Ini Lakukan Buat Bapa Mereka Sebak
"Nah ayah, test!"
Sebagai seorang anak, pastinya kita ingin melihat kedua-dua orang tua kita sentiasa gembira dan bahagia. Tiada satu pun yang ada di atas muka bumi ini mampu membalas jasa mereka sewaktu membesarkan kita
Memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat dan gembira adalah tanggungjawab anak-anak. Itulah yang dilakukan oleh saudara Fdaus Ahmad ini yang mana telah berkongsi satu kisah yang cukup memberi inspirasi kepada orang ramai di laman Facebook.
Beliau menceritakan bagaimana beliau bersama adik-beradiknya membuat bapanya menangis sehari sebelum kedua-dua orang tuanya itu terbang meninggalkan Malaysia untuk menunaikan ibadah haji di Mekah.
Beliau memberitahu, sewaktu beliau menulis kisah ini, ibu bapanya sudah pun berada di dalam kapal terbang dalam perjalanan ke tanah suci Mekah
Pada waktu aku menulis ni, ayah dan ibu aku dah selamat berada dalam perut kapal terbang Saudi Airlines memulakan 9,000km perjalanan menuju kota Mekah al Mukarramah untuk menunaikan ibadah haji, ibadah ultimatum yang berada di tangga terakhir dalam rukun agama.
Tengahari semalam, kami buat kenduri doa selamat di rumah ibu ayah aku. Syukur ramai tetamu yang datang bersama sama ucap selamat dan mendoakan kesejahteraan mystical journey yang bakal ibu dan ayah aku tempuh di Haramain nanti.
Semalam, ketika tetamu dan saudara mara kian beransur pulang, dalam jam 3 petang macam tu, adik aku brader farmasi dapat call daripada kawan dia di Ipoh beritahu ada dokumen yang ayah aku kena sign perihal guarantor syarikat yang adik aku tu tengah uruskan.
Masalahnya, mamat tu tak boleh turun ke Tanjong Malim sebab dia kena ke Penang. Mahu tak mahu, sebelum pergi haji, ayah aku mesti juga turunkan tandatangan dan perkara itu mesti berlaku di Ipoh petang tu juga. Kalau tidak, hal urusan adik aku ni akan tertangguh lama sebab dokumen guarantor tak lengkap.
Aku, brader farmasi, adik aku sorang lagi Taufiq Ahmad, berbincang sekejap dengan ibu ayah macam mana nak setelkan hal ni. Di rumah, masih ada saudara mara, sahabat handai, sedang kipas khemah masih ligat berpusing dan lauk pauk pun masih berbaki menunggu belen tetamu yang mungkin sampai lewat.
Akhirnya bapanya bersetuju dan waktu itu jugalah mereka terus bergerak ke Ipoh
Akhirnya, ayah aku setuju juga turun ke Ipoh semata mata demi satu tandatangan. Macam tu lah ayah dengan ibu aku, kalau hal melibatkan urusan anak anak, hal hal depa yang sepatutnya lagi penting pun depa sanggup ketepikan. Bayangkan tengah kenduri di Tanjong Malim, esoknya pukul 8 pagi dah mesti bertolak ke Kelana Jaya, hari ni jam 3 petang anak anak minta ikut ke Ipoh pula.
Maka ke Ipoh la kami dan dan tu juga.
Kebetulan masa tu, anak murid master yang datang, abang Masri, abang Lan dan abang Rahim masih berborak bawah khemah dan depa memang niat nak stay sampai malam, maka ayah aku ajak depa sekali teman ke Ipoh setelkan hal adhoc yang tiba tiba muncul mendesak ni.
Ayah aku tidur sepanjang perjalanan, mungkin sebab penat dengan urusan kenduri dan melayan tetamu 1-2 hari ni.
Sampai di toll Ipoh, ayah aku pun terjaga dan kembali berborak.
"Kita ke BMW sign kat situ yah, tak jadi kat McD, member dah ada kat situ" - terang adik aku, brader farmasi.
Aku yang jadi driver keluar exit area Tasek dan terus drive ke Jalan Kuala Kangsar menghala balik ke pekan Ipoh.
"Apehal tukar BMW pulak ni?, BMW belah kiri ni ke atau aku nak kena uturn?" - aku pula membalas.
"Belah kiri ni je, tu haa dah nampak signage, ready signal masuk"
Sampai sahaja di sana, beliau membawa bapanya ke ruang belakang BMW showroom. Lalu...
Aku belok kiri masuk terus parking. Adik aku Taufik (Opik) ajak ayah aku keluar lepak depan pintu masuk pejabat BMW, sementara aku pulak ikut brader farmasi masuk dalam cari kawan dia. Nama kawan dia Davis. Davis muncul dari satu ruang, kami bersalam dan dia senyum sambil bagi aku sesuatu. Aku patah balik keluar dan panggil Opik dan ayah aku masuk dalam.
Opik dan ayah berjalan ikut aku, sementara brader farmasi dah hilang bersama Davis ke ruang belakang. Sampai di ruang belakang BMW showroom, aku keluarkan dari poket barang yang Davis bagi aku tadi, kunci kereta. Aku hulur ke ayah aku;
"Nah ayah, test!"
Ayah aku terpingga.
"Ehh kita nak cepat ni, bukannya ada masa nak test kereta, mana dokumen nak sign tadi?" - tanya ayah aku agak pressure.
Kunci kereta yang aku hulur tadi ayah aku masih pegang.
Aku, brader farmasi dan Opik senyum.
"Ayah cuba tengok nombor plat tu" - Opik tunjuk ke nombor plat kereta yang cuma 2 meter dari tempat kami semua berdiri.
Ayah aku perhatikan nombor plat. Sama macam nombor plat kereta dia sekarang.
"Ni la kereta baru ayah, hadiah sebelum pergi haji" - brader farmasi mencelah.
Suasana jadi senyap sunyi.
BMW 520i dengan warna carbon black cuma memerhatikan kami anak beranak sedang cuba beritahu dan yakinkan ayah yang sang kereta telah dibeli dan dihadiahkan oleh anak anak kepada seorang ayah.
Rancangan aku, brader farmasi dan Opik untuk trick bawa ayah ke Ipoh went smooth. Yess! Ayah aku nampak sebak dalam tak percaya. Kami tiga beradik lagi la sebak.
Tambah beliau lagi, sepanjang hayat bapanya itu, tidak pernah sekalipun bapanya membeli kereta baru. Itu semua tidak penting bagi dirinya. Yang penting adalah keluarga dan pelajaran anak-anak.
Ya. Sepanjang hidup ayah aku, dia tak pernah beli kereta baru, semua kereta yang dia pernah beli adalah kereta second hand. Kereta kereta ni pula sering bertukar ganti atas banyak sebab, tak habis bayar, sangkut bayar, sambung bayar, downgrade bayar dan ada juga aku ingat masa sekolah rendah kereta ni kena tarik sebab berbulan tak bayar.
Pada ayah aku, jenis kereta apa tak pernah penting masa tu, yang penting keluarga cukup makan pakai dan anak anak punya duit nak belajar tak sangkut.
Antara hal yang aku paling ingat masa kecik, bila kami nampak kereta besar hebat macam Merc atau BMW, ayah aku akan cakap;
"Nanti hangpa dah besar, kerja lah elok elok ada duit boleh beli kereta macam tu, dapat bagi ayah dengan ibu tumpang pun jadi lah. Naik kereta macam tu best, macam duduk dalam kapal terbang"
Kami tiga beradik terhangguk hangguk, walaupun kami tahu ayah tak pernah pun naik BMW atau Merc yang sedap tu, apatah lagi naik kapal terbang pun ayah aku tak pernah pada waktu tu.
Kini mereka sudah besar. Semua pesanan abah mereka sewaktu kecil dulu mereka ikut cuma yang satu ini saja tidak.
Sekarang kami dah besar.
Ya. Pesan ayah aku "Nanti hangpa dah besar.." tu roll back semula.
Betul sekarang kami dah kerja elok. Betul sekarang kami beli BMW 520i brand new. Kereta yang sedap macam naik kapal terbang tu.
Semua pesan ayah dulu kami ikut, kecuali satu saja yang kami tak ikut;
Kami tak beli kereta untuk ayah ibu tumpang, tapi kami beli kereta untuk ayah ibu, supaya kami yang dapat tumpang, macam masa kami kecik kecik dulu.
Terima kasih.
Selamat menunaikan ibadah Haji ayah dan ibu.
Kereta ni no worries, kami tak bawak jauh jauh lah.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!