Ferry Line Batal Naik Harga Tiket Feri Ke Langkawi Untuk Warganegara Lepas 6 Jam Umum
Kenaikan tambang itu membabitkan kategori pelancong warganegara, pelancong bukan warganegara dan penduduk tempatan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas enam jam diumumkan, syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) menarik balik sebahagian ketetapan kenaikan tambang feri ke pulau ini, mulai 1 Januari ini
Menerusi laporan daripada Berita Harian, selepas enam jam diumumkan, syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) menarik balik sebahagian ketetapan kenaikan tambang feri ke pulau ini, mulai 1 Januari ini.
Pengurus Besar Ferry Line, Kapten Dr Baharin Baharom, berkata terkini pihaknya mengambil keputusan membatalkan hasrat menaikkan tambang feri bagi warganegara seperti diumumkan pagi tadi.
"Atas nasihat Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri maka kenaikan tambang bagi warganegara mulai 1 Januari 2025 ini dibatalkan.
"Walau bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025," katanya.
Menteri, Anthony Loke Siew Fook menerusi laman Facebooknya berkata, pengusaha feri terbabit perlu menarik balik pengumuman yang dibuat mereka dengan serta merta, seterusnya berunding dengan pihak kementerian mengenai isu sama dalam masa terdekat.
"Kementerian Pengangkutan baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan pada hari Jumaat yang lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari 2025.
"Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.
"Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik," katanya.
Sebelum ini, harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan di antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari
Menerusi dalam satu kenyataan, Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata kenaikan tambang itu membabitkan kategori pelancong warganegara, pelancong bukan warganegara dan penduduk tempatan.
"Bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis ke Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24, manakala kanak-kanak pula RM16 dinaikkan kadar sama menjadi RM19.
"Kadar tambang laluan Kuala Kedah ke Langkawi, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24," katanya.
Menurutnya, bagi pelancong dewasa bukan warganegara, perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi RM27 dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi RM34.50 dinaikkan RM10.50 menjadi RM45.
"Kadar tambang kanak-kanak untuk kategori sama bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi harga asal RM19.50 dinaikkan RM5.50 menjadi RM25, manakala perjalanan Kuala Kedah ke Langkawi RM25.50 naik RM6.50 menjadi RM32.
"Sementara untuk penduduk Langkawi, kadar tambang asal dewasa RM15 dinaikkan RM3 menjadi RM18 untuk perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, kanak-kanak RM10 naik RM3 menjadi RM13.
"Kategori sama bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi harga asal RM20 naik RM3.50 menjadi jadi RM23.50, manakala kanak-kanak dari RM14 naik RM3.50 jadi RM17.50," katanya.
Difahamkan, tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya masing-masing kekal RM13 dan RM17 bagi perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, manakala RM10 dan RM14 bagi Kuala Kedah ke Langkawi.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pengangkutan meminta Ferry Line menarik balik serta-merta pengumuman kenaikan tiket feri atau tidak layak menerima subsidi diesel.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!