Goh V Shem-Tan Wee Kiong Raih Perak, Tamatkan Kemarau Pingat 20 Tahun Beregu Lelaki
Malaysia Boleh!
Pasangan badminton tanah air, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya membawa pulang pingat perak Olimpik setelah 20 tahun kemarau dalam kategori beregu lelaki
Beregu negara terpaksa tunduk kepada beregu nombor 4 dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dengan mata 21-16, 11-21, dan 21-23 dalam perlawanan 3 set yang cukup mendebarkan!
Walaupun melangkah ke final sebagai underdog, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong tidak membiarkan gelaran itu mengganggu prestasi mereka di atas gelanggang
Pertarungan akhir epik di Riocentro Pavilion 4 menyaksikan pasangan beregu negara memulakan set pertama dengan penuh bertenaga. Pada mulanya ketinggalan dengan skor 3-7, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bangkit untuk mendahului 13-9 dan kemudian memenangi set pertama dengan skor 21-16.
Namun begitu, set kedua tampak sedikit tempang bagi pasangan beregu nombor 12 dunia itu apabila tewas dengan skor 11-21.
Set penentuan dan yang terakhir berlangsung dengan sangat sengit sekali. Daripada ketinggalan 14-17, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong bangkit untuk mendahului 18-17. Persaingan begitu hangat sehingga memaksa kedua-dua pasangan bertarung dalam deus.
Pingat emas tampak realistik apabila pasangan beregu negara memerlukan hanya satu mata untuk menjuarainya. Tetapi...
... nasib tidak menyebelahi Goh V Shem-Tan Wee Kiong setelah kedua-dua 'Championship Point' yang diraih mereka berakhir dengan servis pendek.
Fu Haifeng-Zhang Nan mengorak langkah dan berjaya mengambil kesempatan atas kesilapan tersebut, sekali gus memenangi set ketiga dengan mata 21-23.
Walaupun terpaksa akur dengan pingat perak, pencapaian Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ini adalah antara yang terbaik pernah dilakar dalam sejarah badminton Malaysia di Olimpik
Pencapaian Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ini setara dengan kejayaan pasangan beregu hebat Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang turut sama merangkul pingat perak dalam acara beregu lelaki.
Tahniah Goh V Shem dan Tan Wee Kiong atas kejayaan meraih pingat perak untuk negara! Kami rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang dan berasa sangat bangga atas kejayaan anda berdua.
Pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mula menarik perhatian semasa perlawanan suku akhir apabila berjaya menewaskan beregu nombor 1 dunia Lee Yong-dae dan Yoo Yeon-seong dari Korea Selatan dalam kemenangan sengit 3 set, 17-21, 21-18, 21-19.
Kemudian, mereka menewaskan pasangan nombor 5 dunia dari China, Chai Biao dan Hong Wei di separuh akhir dengan tiga set (21-18, 12-21, 21-17) untuk mara ke final.