“Enjin Beberapa Kali Mati” - Hos Dedahkan Keadaan Pesawat JT-610 Sehari Sebelum Tragedi
Conchita Caroline telah menaiki pesawat yang sama bersama pasukannya pada 28 Oktober malam yang pada ketika itu sedang menuju ke Jakarta dari Denpasar.
Sebuah pesawat Lion Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta semalam, 29 Oktober, dilaporkan terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara
Perkara ini disahkan oleh jurucakap agensi pencarian dan menyelamat negara itu, Yusuf Latif melalui khidmat pesanan teks ketika diminta mengulas mengenai nahas pesawat itu.
"Saya mengesahkan bahawa ia (pesawat) telah terhempas," katanya.
Pesawat JT-610 jenis Boeing 737 MAX 8 pada masa itu sedang dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang yang dijangka sepatutnya tiba pada pukul 7.20 pagi.
Airlive melaporkan bahawa kesemua 189 penumpang termasuk krew kapal di dalam pesawat telah terkorban.
Pesawat tersebut dikatakan terputus hubungan kira-kira 13 minit selepas berlepas meninggalkan lapangan terbang.
Satu pendedahan tentang keadaan pesawat JT-610 beberapa jam sebelum terhempas telah dibongkar oleh seorang pengulas sukan dari Indonesia
Conchita Caroline yang juga merupakan seorang pelakon dan penyampai TV bagi progam Lensa Sukan di saluran ANTV telah membuat perkongsian dalam laman Instagram miliknya melalui rangkaian instastory.
Wanita berusia 23 tahun itu mengakui bahawa dia sangat terkejut apabila pesawat yang terhempas di Karawang adalah pesawat yang dia naik malam sebelumnya. Conchita telah menaiki pesawat yang sama bersama pasukannya pada 28 Oktober malam yang pada ketika itu sedang menuju ke Jakarta dari Denpasar.
Conchita telah mendedahkan kisah kesulitan penumpang yang menaiki pesawat pada malam itu. Menurutnya, penerbangan pesawat tersebut bukan sahaja terpaksa ditunda bahkan turut mengalami masalah enjin yang mati beberapa kali di samping masalah teknikal lain.
Tambahnya lagi, terdapat seorang penumpang yang muntah selain mengalami masalah pernafasan akibat kekurangan oksigen. Ramai penumpang yang mengadu tidak selesa ekoran masalah penghawa dingin yang tidak berfungsi dengan betul.
Pada masa yang sama, meskipun pesawat sudah masuk ke kawasan landasan (runway), namun terpaksa dibatalkan untuk take off, lalu kembali ke kawasan parkir.
Yang mendukacitakan Conchita ialah pihak syarikat penerbangan terbabit langsung tidak menjelaskan masalah teknikal yang dialami kepada para penumpang. Untuk tempoh masa yang lama, penumpang langsung tidak mendapat penjelasan yang sepatutnya walhal mereka berhak untuk tahu keadaan dan jaminan keselamatan mereka menaiki mana-mana penerbangan.
Walau bagaimanapun, Conchita turut menyatakan takziahnya kepada semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.