seismik

Saya Kutip 12 Pengalaman Berharga Selama 3 Hari Tinggal Dengan Keluarga Angkat Di Jepun

Satu pengalaman yang tak mungkin saya lupakan!

Cover image via Zaidi Aziz

Satu pengalaman yang tak dapat saya gambarkan baru-baru ini, apabila berpeluang ke negara Matahari Terbit, Jepun Darul Teknologi Hebat selama 8 hari

Sudah tentu saya berasa begitu teruja kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara maju tersebut. Tambah-tambah lagi saya tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk terbang ke sana. Siapa tak happy kan?

Bulan lalu, saya dan beberapa pengamal media yang lain telah berpeluang ke Jepun melalui satu program yang diberi nama Jenesys 2017. Jenesys 2017 adalah satu program pertukaran budaya yang dianjurkan JICE (Japan International Cooperation Center) dengan negara-negara ASEAN yang lain. 

Sepanjang 8 hari berada di sana, kami telah mendapat satu pengalaman yang sangat berharga apabila kami berpeluang untuk tinggal bersama keluarga angkat Jepun selama 2 malam

Seramai 18 orang daripada kami telah dipecah-pecahkan mengikut kumpulan dan dibahagi-bahagikan kepada beberapa keluarga angkat di Osaki. Osaki terletak di Miyagi prefecture, Utara Jepun. 

Untuk pengetahuan anda, boleh dikatakan kesemua keluarga angkat tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Disebabkan itu, kami mengalami sedikit kesukaran untuk berinteraksi dengan mereka. Namun, jurang bahasa dan komunikasi ini tidak mencacatkan pengalaman kami sewaktu tinggal bersama masyarakat yang terkenal dengan budaya sopan santun ini.

1. Makan nasi pagi petang siang malam

Image via Zaidi Aziz

Sepanjang saya tinggal bersama mereka, saya disajikan dengan pelbagai jenis makanan Jepun. Jika nak dibandingkan dengan makanan Jepun yang dijual di Malaysia, mungkin makanan di sini rasanya lebih enak dan asli. Hehe...

Tetapi apa yang saya perhatikan, nasi adalah makanan ruji buat masyarakat ini. Boleh katakan setiap waktu makan mereka akan menyajikan nasi. Tak kiralah apa saja hidangan yang mereka sediakan. Nasi masih tetap disajikan di dalam mangkuk kecil. Sedikit berbeza dengan budaya Malaysia, selalunya kita menghidangkan nasi panas di dalam satu mangkuk besar. Jadi senang untuk kita nak nasi tambah kan? Buat masyarakat Jepun, nasi hanya akan dimasukkan di dalam mangkuk kecil untuk setiap seorang.

2. Lelaki tidak buat kerja-kerja dapur

Image via Zaidi Aziz

Untuk masyarakat Jepun, kerja-kerja dapur memang hanya dilakukan oleh wanita. Lelaki tidak perlu ke dapur untuk menyediakan apa-apa. Contohnya, pada waktu makan, lelaki hanya perlu tunggu di meja makan sementara ahli keluarga yang perempuan sediakan makanan.

Sebenarnya kalau diikutkan, konsep agak sama saja macam masyarakat kita. Cuma sesetengah daripada kita dilatih untuk mengemas dan membersihkan pinggan dan cawan setelah digunakan termasuklah anak-anak lelaki. Tetapi berbeza dengan masyarakat Jepun, segala urusan dapur hanya dilakukan oleh wanita.

3. Makan bersama

Image via Zaidi Aziz

Sama juga seperti budaya kita di Malaysia, masyarakat Jepun lebih memilih untuk makan bersama. Ini kerana bagi mereka, makan bersama dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga. 

Ketika makan pun mereka kurang berbual. Mereka lebih tertib sahaja ketika makan. 

4. Minum air paip

Image via Zaidi Aziz

Kalau anda nak tahu, air paip di Jepun ni memang boleh diminum. Tak kira di mana pun anda berada, kalau tekak terasa haus tu, pergi je mana-mana paip yang ada dan teguklah air paip tu. So, waktu makan di rumah, kadang-kadang mereka minum air paip saja. Cepat dan mudah sungguh!

Tengoklah betapa bersihnya Jepun ni sampaikan air paip pun boleh minum macam tu je. Cubalah kalau kat sini buat macam tu. Silap-silap sakit perut kita jadinya. Hehe...

5. Tandas lelaki perempuan asing-asing dan canggih gila!

Image via Zaidi Aziz

Tak semua yang praktikkan benda begini. Tetapi keluarga yang saya tinggal ni lain sikit tahap advance-nya tu. Tandas lelaki dan perempuan dibina asing-asing.

Dan paling saya teruja lagi dengan tandas mereka ni, mangkuk tandas dilengkapi dengan teknologi yang tinggi. Biasalah kat sana teknologi memang hebat berbanding negara kita. Jadi, tandas elektrik mereka akan on dengan sendirinya sejurus saja anda membuka pintu tandas. Haaa power kan? Haha...

6. Cakap tak kuat

Image via Zaidi Aziz

Masyarakat Jepun hidup penuh dengan tatatertib. Semasa di sana, saya lihat orang ramai beratur elok saja di perhentian bas. Naik escalator pun bersusun. Masuk train pun beratur. 

Bukan tu saja, mereka ni juga bila bercakap perlahan je. Tak kuat sangat. Kata orang sopan santun lah. Jarang nak dengar mereka ni cakap kuat. Kadang-kadang rasa macam nak bagi microphone je dekat mereka ni semua haha.

7. Warga tua aktif bekerja

Image via Zaidi Aziz

Saya boleh dikatakan bertuah kerana keluarga angkat saya ni boleh tahan besar dan ramai ahlinya jika nak dibandingkan dengan keluarga angkat rakan-rakan saya yang lain. Dalam keluarga saya ni ada seorang nenek yang saya panggil Obachan (nenek dalam Bahasa Jepun).

Bayangkan, walaupun Obachan ini sudah berusia 86 tahun dan bongkok sabut, tetapi dia masih kuat dan rajin bekerja. Awal pagi lagi dia sudah berkebun di depan rumah. Kata Okasan (ibu angkat kami) semua sayur dan tanaman depan rumah tu ditanam sendiri oleh Obachan. Dan sayur-sayur ni kami memang makan sewaktu tinggal di sana. Semuanya segar-segar belaka.

Image via Zaidi Aziz

8. Bilik tidur attached satu sama lain

Gambar sekadar hiasan.

Image via tedxtuj.com

Pernah tengok Doraemon? Haaa bilik kami tak ubah macam bilik Doraemon dan Nobita. Gaya pintu, lantai (tatami) dan sebagainya memang sama. Dan pintu bilik macam style selak. Bilik pula bersambung sebelah-sebelah dengan pintu selak tersebut. Lampu pulak jenis lama, kena tarik tali lampu untuk bagi ia tutup dan menyala.

Kami tidur atas tilam saja tapi dibekalkan selimut heater. Almaklumlah sedang musim luruh, jadi malam-malam memang sejuk. Boleh kata suhu cecah sehingga 6-7 darjah celcius. Buat saya yang ada resdung ni memang asyik bersin sajalah tak tahan sejuk.

9. Tutup semua lampu sewaktu tidur

Image via Zaidi Aziz

Pernah satu malam tu, rakan saya nak ke tandas sebab tak tahan nak membuang. Haha jadi dia minta saya temankan dia kerana waktu tu suasana gelap gelita. Jarak tandas dan bilik air sangat jauh. Memang waktu tu gelap, jadi kami hanya gunakan lampu dari handphone saja. 

Masa tu jugalah terbayang-bayang kalau-kalau terserempak dengan Ju-on. Nak tak nak kena pergi jugak. Mungkin disebabkan mereka ini mengamalkan penjimatan elektrik. Jadi segala lampu dipadam sewaktu tidur.

10. Guna heater bawah meja

Image via Zaidi Aziz

Disebabkan sejuk, bawah meja makan mereka juga diletakkan heater. Jadi ketika makan, kami akan rasa lebih selesa. Bagaimanapun, heater ni hanya digunakan sewaktu musim luruh dan sejuk sahaja.

Dan kalau nak tahu, mereka menggunakan meja ini juga sebagai tempat untuk mereka tidur pada waktu malam. Mungkin bilik telah kami gunakan, jadi meja yang berbekalkan heater ini dijadikan tempat mereka beradu. Bagus betul 2 in 1!

11. Amalkan kitar semula

Perkara yang paling saya kagum sekali dengan negara Jepun ni, sampah sarap adalah benda yang paling susah saya nak nampak ketika berjalan-jalan di bandar besar sehinggalah perkampungan keluarga angkat saya ni.

Masyarakat Jepun memang mengutamakan kebersihan. Mereka mempraktikkan kitar semula bukan saja di jalanan malah di dalam rumah mereka sendiri. Bayangkan di dalam rumah pun mereka dah asing-asingkan sisa sampah. Memang bagus mereka ni. Tetapi apa yang menghairankan tong sampah amat sukar dijumpai di kawasan-kawasan awam. Katanya sejak kes pengganas meletakkan bom di dalam tong sampah yang berlaku dulu, bilangan tong sampah dikurangkan di kawasan awam. Walaupun tong sampah sedikit pun, bandar mereka tetap bersih.

12. Bangga dengan budaya dan sejarah mereka

Image via Zaidi Aziz

Dan yang paling saya tak boleh lupakan adalah kami dibawa ke satu kedai kraftangan di daerah Iwadeyama. Katanya daerah ini adalah daerah yang melahirkan Samurai satu ketika dulu. Mereka menceritakan serba sedikit asal-usul samurai dan budaya mereka di sana.

Apa yang paling kami tak sangka sekali adalah kami dipakaikan kostum samurai lengkap seberat 20kg. Kami kemudiannya dibawa berjalan-jalan sekeliling pekan dengan kostum tersebut. Haha bila teringat semula, rasa kelakar pun ada. Dan yang paling tak tahan, kami dibawa minum kopi di pekan tersebut sambil berpakaian samurai. Memang satu pengalaman yang tak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Image via Zaidi Aziz

Kalau nak diikutkan memang banyak lagi perkara yang saya belajar ketika tinggal dengan mereka. Tetapi pada saya cukuplah apa yang telah saya coretkan ini.

Jika berkesempatan, satu hari nanti saya akan ke sana semula untuk bertemu mereka. Insha-Allah...

Image via postimg.org

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS:

You may be interested in: