seismik

Menangis Depan Kamera, Tangguh Semester Dan Segala Suka Duka Teraju Utama Filem 'Ola Bola'

"Sangat sukar bagi saya untuk merealisasikan filem ini," kata pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan.

Cover image via Astro Shaw

Untuk makluman, SAYS telah dijemput untuk menghadiri tayangan pra-tonton filem 'Ola Bola' bersama media pada 11 Januari lepas

Image via Astro Shaw

Selain tayangan filem, kami juga diberi peluang untuk menemuramah barisan tiga pelakon utama iaitu Luqman Hafidz, JC Chee, dan Saran Kumar dan juga "orang kuat" filem Ola Bola iaitu pengarahnya, Chiu Keng Guan secara peribadi.

Ikuti perbualan ringkas kami bersama 4 teraju utama di bawah:

Luqman Hafidz, 25, atau Ali tidak pernah menyangka akan dapat peluang berlakon sebagai lead role. Ali yang hanya mencuba nasib menghantar resume bagaikan tidak percaya dirinya dipilih.

Ali begitu terdesak untuk dapatkan jersi nombor 10.

Image via Astro Shaw

"Saya menghantar resume saya sejurus selepas saya habis belajar pada Jun 2014. Waktu itu, saya dapat berita coach MSN (Majlis Sukan Negara) sedang adakan satu casting bagi mencari pemain bola sepak amatur untuk program Astro. Saya ingatkan mereka sekadar mencari pelakon tambahan. Datang shooting sekali, dapat RM100 and that's it.

"Rupa-rupanya, casting itu diadakan untuk mencari watak utama. Semasa di padang itulah saya bertemu Chiu secara personal. Saya tak tahu kenapa saya yang dia pilih. Mungkin cara saya bermain bola sepak itulah yang berjaya memikat hati Chiu. Sampai sekarang saya rasa macam tak percaya."

Luqman Hafidz.

Image via Astro Shaw

"Saya takut kalau lakonan saya tak diterima. Tapi saya berpegang pada satu perkara saja sepanjang lakonan iaitu saya tak nak kecewakan Chiu. Dia telah meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap saya. Saya rasa saya dah berikan yang terbaik tetapi saya terbuka kepada kritikan," kata Ali.

Ali yang memang aktif dalam sukan bola sepak pernah dinobat sebagai 'Pemain Terbaik Kejohanan' dalam pertandingan YB Khairy Jamaluddin Cup yang diadakan di UIAM beberapa tahun lalu

Selfie bersama YB KJ.

Image via Luqman Hafidz/Facebook

"Sebelum ini saya bermain untuk universiti saya iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga bermain dalam liga sosial. Tetapi tak pernah pula berpeluang untuk ke peringkat profesional.

"Ada seorang teammate saya bernama Syahmi, dialah yang menghantar chain message kepada saya di Whatsapp. Kemudian, saya hantar saja resume saya tanpa fikir panjang. Saya kepilkan sekali gambar selfie saya bersama YB Khairy Jamaluddin. Pada saya, gambar itu sendiri dah ada 'X-Factor'. Selfie itu bersempena anugerah 'Pemain Terbaik Kejohanan' yang saya dapat ketika saya memasuki YB Khairy Jamaluddin Cup yang diadakan di UIAM," kata Ali lagi.

JC Chee, 30, yang memegang watak Tauke mengambil jurusan mechanical engineering satu ketika dulu. Tauke bagaimanapun terpaksa mengubah haluan hidup sebanyak dua kali.

Kehidupan Tauke dihimpit konflik keluarga dan kerjaya.

Image via Astro Shaw

"Saya mengambil jurusan mechanical engineering di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Setapak. Tapi selepas habis belajar, saya terus buat keputusan untuk tak nak jadi engineer. Saya pernah buat latihan praktikal masa saya belajar dulu dan saya boleh rasa yang bidang ini bukan bidang saya.

"Jadi, saya pun bertukar haluan menjadi seorang model. Saya kutip pengalaman modeling di Singapura dan Taiwan untuk beberapa tahun. Tetapi selepas itu saya sedar karier modeling ini susah nak tahan lama. Saya pun bertukar haluan sekali lagi untuk menjadi seorang pelakon."

JC Chee.

Image via Astro Shaw

"Rambut panjang yang saya gayakan dalam filem ini bukanlah rambut saya yang sebenar. Gaya rambut saya memang sentiasa pendek. Tetapi rambut palsu yang digunakan itu diperbuat daripada rambut sebenar. Sebab itulah ia nampak begitu realistik. Feel tahun 80-an juga dapat dijelmakan melalui gaya rambut itu.

"Saya harap rakyat Malaysia akan sokong filem ini. Mesej yang cuba kami sampaikan ialah 'Spirit of Malaysia', bukan saja bola sepak. Filem ini untuk kita semua. Kami sudah berikan yang terbaik dan saya cukup kagum melihat komitmen yang diberikan oleh setiap krew produksi. Filem ini benar-benar istimewa," ujar Tauke.

Saran Kumar, 21, atau lebih dikenali sebagai Muthu tidak pernah ada pengalaman menjadi goalkeeper. Sepanjang menjayakan watak Muthu, dia terpaksa tangguh satu semester untuk betul-betul fokus pada filem ini.

Muthu berusaha keras untuk menjadi yang terbaik.

Image via Astro Shaw.

"Saya rasa sangat berbangga melihat lakonan kami semua dalam filem ini. Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan usaha yang saya dah berikan. Scene yang paling saya suka sekali semestinya babak half time dalam bilik persalinan di mana semua pemain sudah putus harapan.

"Babak ini sarat dengan permainan emosi dan saya pula diberi skrip yang paling panjang. Ketika satu pasukan dah give up, sayalah yang menaikkan kembali semangat mereka semua untuk teruskan perjuangan. Skrip saya itu penuh dengan kata-kata motivasi yang begitu menyentuh hati. Saya sangat sukakannya."

Saran Kumar.

Image via Astro Shaw

"Ketika di bangku sekolah menengah, saya bermain untuk pasukan Selangor pada posisi pertahanan sebenarnya. Jadi untuk filem ini, saya diberi latihan selama tiga bulan secara personal coaching semata-mata bagi menjayakan watak goalkeeper ini.

"Saya masih lagi belajar di UNITEN, Bangi sekarang. Tetapi semasa rakaman, saya bernasib baik kerana ketika itu ada sem break selama dua minggu. Oleh itu, saya berpeluang untuk tangguhkan dahulu semester seterusnya untuk betul-betul fokuskan pada filem ini. Syukur semuanya berjalan lancar," jelas Muthu.

Pengarah, Chiu Keng Guan mengakui bukan mudah untuk melatih anak-anak muda mentah untuk berlakon. Tetapi Chiu memang sengaja jadikannya sebagai cabaran kerana inginkan sesuatu yang lebih luar biasa.

Chiu ketika penggambaran.

Image via www.imrottensun.com

"Paling penting, pelakon yang saya nak mesti pandai main bola. Proses pemilihan pelakon ini amat memenatkan. Kami perlu pergi ke kolej-kolej, sekolah-sekolah, dan kelab-kelab bola sepak untuk mencari calon yang sesuai.

"Bukan saja proses pemilihan, malah proses lakonan juga sangat mencabar. Ini disebabkan mereka semua tak pernah berlakon. Mereka perlu menghadiri kursus lakonan selama berbulan-bulan. Kami perlu mengajar mereka bagaimana untuk berlakon, bagaimana untuk melahirkan emosi, bagaimana untuk menangis di depan kamera, dan macam-macam lagi. Effort yang mereka berikan cukup tinggi dan saya amat berpuas hati melihat hasil terakhir filem ini."

Pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan.

Image via Astro Shaw

"Selepas tiga filem pertama (Woohoo!, The Great Day, dan The Journey), saya rasa nak cuba satu genre baru pula dalam perfileman yang lebih mencabar daripada sebelum ini. Saya seorang peminat fanatik bola sepak dan sejak kecil lagi saya bermain bola sepak. Jadi, saya fikir inilah tema yang akan saya ketengahkan," kata Chiu.

Apabila ditanya adakah filem beliau bakal pecahkan rekod sekali lagi, Chiu hanya tersenyum dan menjawab, "Saya tak tahu."

Image via Astro Shaw

"Saya memang tak tahu. Kadang-kadang kita tak boleh predict tentang penerimaan penonton terhadap sesuatu filem. Oleh itu, saya tak berani nak komen apa-apa. Bukan mudah untuk mengulangi kejayaan filem The Journey. Tetapi inilah cabaran yang saya mahukan.

"Saya harap filem ini dapat diterima ramai. Saya juga berharap agar filem ini dapat memberi inspirasi kepada kita semua rakyat Malaysia agar terus memelihara nama baik negara dan berasa lebih berbangga terhadap tanah air kita. Filem ini adalah tentang kita semua," kata Chiu mengakhiri temuramah.

Filem 'Ola Bola' bakal menyerang pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Januari 2016 ini. Mark your calendar people! Ajak kawan-kawan sekali kalau boleh.

Image via Astro Shaw

Kalau nak tahu cerita ini bagus atau tidak, boleh baca review kami di sini.

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Sertai #TreatMeSAYS Giveaway untuk berpeluang memenangi banyak hadiah yang best. Rugi kalau tak join!

You may be interested in: