Kawalselia Sendiri Melengkapi, Bukan Menggantikan Kerangka Undang-Undang
Usaha-usaha ini telah membantu membentuk landskap kandungan yang bertanggungjawab dan mencerminkan nilai-nilai masyarakat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ekosistem kandungan semakin berubah mengikut peredaran zaman
Ekosistem kandungan telah berubah secara dramatik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dipacu oleh peningkatan media sosial dan lonjakan kandungan yang kini banyak dihasilkan oleh pengguna sendiri.
Peningkatan kandungan yang sebahagian besarnya tidak terkawal ini telah membawa kepada kemudaratan dalam talian yang ketara, daripada maklumat yang salah hingga kepada gangguan dalam talian. Isu-isu seperti ini tidak boleh diabaikan. Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, terdapat keperluan untuk pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu.
Dalam perbincangan baru-baru ini tentang menangani kemudaratan dalam talian yang berkaitan dengan penyedia perkhidmatan dalam talian (OSP), isu kawalselia-kendiri (self-regulation) telah diketengahkan sebagai satu pendekatan yang berpotensi.
Adalah penting untuk menjelaskan bahawa kawalselia-kendiri tidak menggantikan undang-undang atau perlesenan tetapi berfungsi seiring dengan kerangka ini untuk memastikan pengawasan yang menyeluruh.
Dalam industri komunikasi dan multimedia yang sedang berkembang pesat, pengawalseliaan sendiri telah terbukti menjadi mekanisme penting untuk memastikan piawaian kandungan yang beretika sambil membolehkan kebebasan kreatif dan inovasi. Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum), yang ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA98), berada di barisan hadapan dalam menggerakkan proses ini.
Sebagai sebuah organisasi pengawalseliaan sendiri (SRO), Content Forum menghimpunkan pemimpin industri dari pelbagai sektor—penyiar, pengiklan, kumpulan sivik, pencipta kandungan, penyedia perkhidmatan internet, dan penyedia perkhidmatan teknologi mudah alih. Perwakilan yang pelbagai ini memastikan bahawa platform yang dipimpin oleh industri ini dapat membangunkan dan mengekalkan piawaian kandungan yang selaras dengan nilai-nilai masyarakat dan keperluan undang-undang sambil mengekalkan fleksibiliti dan akauntabiliti yang diperlukan dalam industri yang sedang berkembang.
Mereka yang mengambil bahagian dalam kerangka pengawalseliaan sendiri Content Forum sudahpun terikat oleh undang-undang dan keperluan perlesenan. Penglibatan mereka memastikan adanya suara dalam menetapkan piawaian yang selaras dengan kewajipan undang-undang ini.
Rekod Kejayaan: Pencapaian Pengawalseliaan Kendiri dalam Industri Kandungan
Content Forum memiliki rekod kejayaan yang kukuh selama bertahun-tahun dalam pengawalseliaan kendiri, terutamanya dalam memastikan para ahlinya sentiasa mematuhi piawaian kandungan dan mengamalkan amalan terbaik dalam penciptaan kandungan. Ini termasuk menangani isu-isu kritikal seperti ucapan kebencian, penggambaran orang kurang upaya, penggambaran kanak-kanak yang selamat dalam pengiklanan dan banyak lagi.
Usaha-usaha ini telah membantu membentuk landskap kandungan yang bertanggungjawab dan mencerminkan nilai-nilai masyarakat.
“Penyertaan dalam Content Forum memberi kami, sebagai penyiar, cara yang berkesan untuk sentiasa mengikuti piawaian kandungan merentasi pelbagai sektor,” kata Euan Daryl Smith, CEO Astro, ahli lama forum tersebut.
“Ia memudahkan kami kekal patuh pada peraturan, supaya kami boleh terus fokus kepada penyampaian kandungan berkualiti. Lebih daripada itu, ia juga memberi kami peluang untuk terlibat dalam pembentukan dasar, memastikan piawaian yang ditetapkan adalah praktikal, seimbang, dan berpandangan jauh.”
Pengiklan juga mendapati model pengawalseliaan sendiri bermanfaat. Claudian Navin Stanislaus, Presiden Persatuan Pengiklan Malaysia dan Naib Pengerusi Content Forum, berkongsi, "Apabila berkaitan dengan isu kandungan, Kod Kandungan menyediakan jalan yang jelas untuk menangani sebarang pelanggaran. Keupayaan untuk mengantara konflik dan mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak juga tidak ternilai. Selain itu, Biro Aduan menawarkan platform yang dipercayai untuk menyelesaikan pertikaian, menyediakan proses yang boleh diakses dan telus yang mengukuhkan integriti industri.”
Beliau menambah, “Kawalselia kendiri juga lebih baik untuk pengguna dan industri dalam era perubahan pesat dan perkembangan media ini. Bentuk kawalan atau penguatkuasaan lain mungkin tidak dapat bertindak atau memberi respons dengan cepat dan berkesan, tanpa mengambil pendekatan yang bersifat sekatan – atau lebih teruk lagi – menjejaskan kebebasan pengguna.”
Kumpulan sivik, yang memperjuangkan kepentingan awam, juga memainkan peranan penting dalam ekosistem ini. Dr Kiranjit Kaur, dari Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO), menyatakan, "Kami menghargai Content Forum sebagai platform penting untuk memperjuangkan perubahan yang bermakna dan berkekalan dalam pengurusan kandungan, seperti peruntukan terbaru dalam Kod Kandungan yang menangani keganasan berasaskan jantina dalam talian.”
Beliau menambah, “Kerjasama ini memastikan bahawa suara golongan yang paling terkesan oleh kandungan yang berbahaya didengar dan ditangani, mengukuhkan kepentingan kritikal penglibatan komuniti dalam membentuk masa depan digital kita.”
Institusi pendidikan, yang membentuk generasi pencipta kandungan akan datang, juga mendapat manfaat daripada pendekatan inklusif Content Forum. Dr Tengku Elena Tengku Mahamad, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Hubungan Industri dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyatakan, "Melalui program, bengkel, dan inisiatif komprehensif mereka, Content Forum memastikan pelajar kami mendapat pemahaman yang kukuh tentang penciptaan kandungan yang beretika dan bertanggungjawab. Komitmen ini menanamkan barisan bakat yang kreatif dan beretika, bersedia untuk berkembang maju dalam industri."
Seruan untuk kerjasama yang inklusif dan produktif
Ketika landskap digital terus berkembang, Content Forum tetap bertekad untuk memupuk persekitaran pengawalseliaan kendiri yang melengkapi kerangka undang-undang Malaysia. Walau bagaimanapun, keberkesanan pengawalseliaan kendiri ini bergantung pada penglibatan aktif semua pihak berkepentingan, termasuk OSP.
“Dengan OSP kini di bawah pengawasan perlesenan, kami berdedikasi untuk membantu pembangunan piawaian kandungan yang menangani kandungan berbahaya dan kemudaratan dalam talian secara berkesan,” kata Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad dan Pengerusi Content Forum.
“Content Forum menjemput OSP dan pihak berkepentingan lain untuk menyertai kami dalam usaha kerjasama ini untuk memastikan piawaian kandungan dipatuhi dengan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterangkuman. Kami mengalu-alukan sebarang peluang untuk bekerjasama dalam menangani cabaran zaman digital sambil mengekalkan ekosistem kandungan yang bebas dan bertanggungjawab."
Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, menambah, “CMCF menghargai kerjasama produktif yang telah kami jalin dengan beberapa OSP dalam inisiatif kesedaran keselamatan dalam talian. Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan kerjasama ini akan berkembang lebih mendalam, dengan OSP secara aktif menyumbang kepada pembangunan piawaian kandungan yang bakal diketuai oleh MCMC. Inisiatif ini adalah penting untuk memastikan penjajaran dengan undang-undang negara serta memperkukuh usaha kolektif kita dalam mencegah dan mengatasi kandungan dalam talian yang memudaratkan.”
Dalam landskap digital hari ini, kerangka undang-undang adalah penting untuk mendorong langkah-langkah pencegahan yang berkesan, akauntabiliti, dan ketelusan, selaras dengan komitmen Kerajaan untuk melindungi rakyatnya daripada bahaya. Pengawalseliaan sendiri memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerangka ini, membolehkan pendekatan yang seimbang. Usaha kolaboratif Content Forum memupuk ekosistem kandungan yang bertanggungjawab dan inovatif, dan ia mengalu-alukan semua pihak berkepentingan untuk turut serta dalam menegakkan piawaian ini, mencipta masa depan digital yang memberi manfaat dan melindungi semua.
Sumber: Content Forum