seismik

COVID-19: Kenapa Kadar Kematian Di Itali Sangat Tinggi Sehingga 60 Juta Orang 'Dikurung'?

Itali mencatat kematian COVID-19 tertinggi di luar China.

Cover image via Getty

Angka kematian yang berpunca daripada wabak COVID-19 di Itali semakin melonjak sejak kebelakangan ini

Image via Getty

Negara itu mencatat 463 jumlah kematian daripada 9,172 kes yang disahkan setakat hari Isnin, 9 Mac 2020.

Di luar China, Itali kini mempunyai jumlah kematian COVID-19 tertinggi di dunia, malah kadar kematian ini, pada 5 peratus adalah lebih tinggi daripada purata global sebanyak 3.4%, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Tapi kenapa kematian di Itali begitu tinggi?

Satu faktor yang mungkin mempengaruhi kadar kematian ini adalah usia penduduk - Itali mempunyai populasi tertua di Eropah, dengan kira-kira 23% penduduk berumur 65 tahun atau lebih, menurut The New York Times.

Umur median di Itali pula ialah 47.3, berbanding dengan 38.3 di Amerika Syarikat, bahkan kebanyakan kes kematian di Itali telah berlaku di kalangan rakyat berusia 80-an dan 90-an, menurut The Local.

Image via AFP

Kadar kematian secara keseluruhannya akan bergantung pada demografi penduduk, kata Aubree Gordon, profesor epidemiologi bersekutu di University of Michigan kepada Live Science.

Dalam kes ini, memandangkan ramai penduduk di Itali adalah lebih tua, kadar kematian bagi negara itu juga dijangkakan lebih tinggi secara purata berbanding dengan negara yang mempunyai populasi lebih muda.

Di samping itu, golongan berumur kebanyakannya lebih cenderung menghidap penyakit berbahaya seperti kanser dan kencing manis, menjadikan mereka lebih terdedah kepada COVID-19.

Faktor lain mungkin disebabkan oleh bilangan penduduk yang memerlukan rawatan di kawasan tertentu sehingga melumpuhkan sistem perubatan kerana terlalu sesak

Image via Getty

Contohnya seperti di Wuhan, China, tempat di mana wabak COVID-19 mula tercetus.

WHO baru-baru ini melaporkan bahawa kadar kematian di Wuhan adalah setinggi 5.8 peratus, berbanding dengan 0.7% di seluruh negara.

Ini bermaksud disebabkan terlalu banyak kes berlaku di satu tempat, pasukan perubatan tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit sehingga menyebabkan banyak kematian.

Image via Reuters

Perkara yang hampir sama turut berlaku di Itali di kawasan utara Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di mana 85% pesakit COVID-19 berada di rantau itu yang merupakan rumah kepada 92 peratus kematian setakat ini.

Segalanya bermula pada 20 Februari lalu apabila seorang lelaki berusia 38 tahun diuji positif dengan virus tersebut di Lombardy, menjadikannya pesakit pertama yang direkodkan dengan virus COVID-19 di negara tersebut.

Kini, seluruh Itali, dengan penduduk seramai 60 juta sedang menjalani perintah berkurung

Image via AFP

Kerajaan Itali mengambil langkah drastik dengan mengeluarkan perintah berkurung kepada seluruh 60 juta rakyat Itali dan menyeru rakyat untuk menghormati penguatkuasaan ini sehingga sekurang-kurangnya 3 April 2020.

Langkah luar biasa ini adalah yang paling radikal pernah diambil oleh negara tersebut setakat ini bagi memerangi virus COVID-19.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Tidak terbayang derita mereka setiap hari bekerja di bawah kondisi begini: