Kenapa Pelantikan Warga Asing, Christoph Mueller Sebagai CEO Baru MAS Dipertikai?
Disebalik kejayaannya memulihkan semula prestasi Aer Lingus dalam masa yang singkat, masih ramai menganggap Christoph Mueller bukanlah calon yang sesuai.
[TERKINI] "Saya Yakin Christoph Mueller Mampu Julang Malaysia Airlines"
Syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus dibelenggu masalah selama bertahun-tahun -- kerugian berjuta, kekangan peraturan oleh kesatuan sekerja, serangan bertali arus oleh Ryan Air, syarikat penerbangan tambang rendah Ireland serta syarikat penerbangan lain di Eropah -- situasi sama yang dialami Malaysia Airlines (MAS) sekarang.
Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas menyertai Aer Lingus pada 2009, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Christoph Mueller mengubah nasib syarikat penerbangan berusia 78 tahun tersebut dengan membangunkan keuntungan secara mampan serta menjana pendapatan menerusi pasaran dan model perniagaan baharu.
Anggota Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari Yang Mengikuti Secara Rapat Perkembangan Industri Penerbangan, Menyokong Penuh Pelantikan Bersejarah Mueller Sebagai Warga Asing Pertama Meneraju MAS
"Kita sudah menemui 'doktor' penerbangan yang sebelum ini 'merawat' simptom sama yang dialami syarikat penerbangan negara kita. Dengan rekod cemerlang dalam industri penerbangan, yang terkini memulihkan Aer Lingus, pengalaman dan kepakarannya seolah-olah 'dibuat khusus' untuk memulihkan MAS, justeru mengapa kita tidak memanfaatkan semua ini untuk membawa MAS ke haluan mampan?"
"Sesetengah mungkin berkata kita mengetepikan bakat tempatan, tetapi fokus isu ialah menstrukturkan semula MAS, justeru mengapa kita hendak menafikan MAS akan mendapat manfaat dari pakar penerbangan yang sudah terbukti rekodnya," kata beliau.
Bagi Memperkukuh Hujahnya Agar Rakyat Malaysia Perlu Menyokong Pelantikan Warga Jerman Itu, Beliau Berkongsi Analogi Ini:
"Jika ayah atau ibu saya sakit tenat, saya tidak akan tanya sama ada doktor itu Melayu, Cina atau India atau lain-lain. Bagi saya, dalam keadaan sedemikian kita mahu yang terbaik untuk menyelamatkan pesakit."
"Sama juga dengan syarikat penerbangan negara kita, kerana kita tahu Khazanah ada pelan pemulihan untuk MAS bagi tempoh tiga atau empat tahun akan datang, dan saya berpandangan amat penting ada CEO berkualiti tinggi."
"Mueller akan menjadi CEO pertama yang berpengalaman dalam industri penerbangan mengendalikan MAS. Sebelum ini kita sudah cuba beberapa CEO. Saya cuma berpandangan pada saat ini kita perlu mencari yang terbaik untuk selamatkan MAS. Apa guna jika kita kata kita ada pakar tempatan tetapi MAS masih merundum?"
"Memang masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada beliau dapat mengembalikan MAS ke landasan keuntungan tetapi rekodnya memberi jaminan dan keyakinan bahawa beliau berupaya memenuhi tugas yang diberi oleh Khazanah untuk memulihkan MAS," katanya lagi.
Khazanah Nasional Pada 5 Disember 2014 Telah Mengumumkan Pelantikan Christoph Mueller Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berkuatkuasa 1 Januari 2015
Mueller yang kini CEO Aer Lingus, iaitu syarikat penerbangan kebangsaan Ireland juga dinamakan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
Pelantikan Mueller dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut Najib, pelantikan beliau penting dalam meletakkan asas yang kukuh demi kejayaan masa depan syarikat penerbangan nasional itu.
Dalam Masa Sama, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly Akan Dicalonkan Sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Dalam Lembaga Pengarah MAS Namun, Masih Kekal Sebagai CEO Dan Pengarah Celcom Axiata Berhad
Pelantikan Mueller dan Shazalli dalam Lembaga Pengarah MAS dilakukan selepas pelantikan Mohd Izani Ashari sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan-Bebas pada 12 September lalu.
hmetro.com.myWalaupun Christoph Mueller Diiktiraf Sebagai Calon Paling Sesuai Untuk Mengendalikan MAS, Pelbagai Pihak Didapati Mengemukakan Reaksi Pada Nada Yang Berbeza
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Dilaporkan Berkata, MAS Rugi Kerana Rakyat Malaysia "Bodoh" Dan Tidak Pandai Menguruskan Syarikat Penerbangan
“Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangan, sebab itu MAS rugi."
Demikian reaksi balas bekas pemimpin negara itu apabila diajukan tentang keputusan Khazanah Nasional Berhad yang melantik Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Beliau berkata lagi tidak hairan jika ‘orang luar’ diberikan kepercayaan untuk menguruskan dan memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.
“Bila sudah rugi, orang yang buat (MAS) rugi itu sekarang ini nak buat baik balik, oklah,” katanya lagi.
Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) Mendakwa Khazanah Sepatutnya Melantik Rakyat Tempatan, Bukan Seorang Warga Asing Yang Tidak Diyakini Boleh Memenuhi Aspirasi Korporat Syarikat Penerbangan Negara
Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata beliau rasa kurang selesa apabila kerajaan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aer Lingus, Christoph Mueller, sebagai CEO baharu Malaysia Airlines (MAS).
"MAS bukanlah sebuah syarikat penerbangan komersial biasa, lebih daripada itu, MAS adalah ‘syarikat penerbangan negara’. Operasi harian MAS termasuk dalam sektor strategik terpenting Malaysia kerana membabitkan soal maruah dan keselamatan negara."
"Biarlah rakyat Malaysia sendiri yang menguruskan sendiri hal ehwal ‘negara’ kita ini. Kita sewajarnya mempercayai bakat rakyat Malaysia sendiri kerana sudah pun menyediakan sistem pendidikan, latihan dan pendedahan yang terbaik di rantau ini. Anak tempatan kita bukan calang-calang orang, malah ramai yang diakui kehebatannya di seluruh dunia," kata Khairul.
Sementara Itu, Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman Menganggap Pelantikan Christoph Mueller Sebagai Satu Pembaziran Kepada Syarikat Yang Kini Dalam Usaha Mengurangkan Perbelanjaan
Secara sinis, Abdul Aziz berkata kerajaan perlu membayar gaji besar kepada Mueller, sedangkan MAS pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan dengan membuang hampir 30 peratus kakitangannya sebelum ini.
"Mereka mahu kurang perbelanjaan, tidak mahu bayar gaji begitu ramai tapi boleh ambil CEO dari luar negara," kata Abdul Aziz.
Ujar Abdul Aziz, sebagai negara yang telah lama menerajui dunia penerbangan, Malaysia sudah pasti memiliki calon tempatan yang lebih sesuai diberi tanggungjawab itu. Menurutnya, Malaysia mempunyai pakar dalam bidang penerbangan kerana telah mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam industri itu.
"Kalau tanya saya, saya ada nama yang sesuai untuk dicadangkan, tetapi mereka tak tanya pun, ambil jalan mudah pilih orang luar," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed Pula Berpendapat Bahawa Christoph Mueller Memerlukan Sentuhan Ajaib Bagi Memulihkan Syarikat Penerbangan Yang Bermasalah Itu
Ini kerana cabaran yang bakal dihadapi untuk mengembalikan zaman kegemilangan MAS berbeza dengan situasi syarikat penerbangan di Eropah. Malah, katanya, Mueller pasti berdepan kesulitan memulihkan MAS untuk jangka masa panjang terutama selepas dua tragedi membabitkan penerbangan MH370 dan MH17.
"Saya harap beliau dapat melakukan 'magik' untuk memulihkan semula MAS memandangkan syarikat penerbangan negara kini berdepan banyak masalah dari segi operasi perniagaan dan sebagainya," kata Nur Jazlan.
Beliau mengakui Mueller mempunyai rekod yang baik, tetapi persoalannya ialah sama ada pengalamannya boleh digunakan di Malaysia kerana industri penerbangan Asia Tenggara berbeza dengan Eropah. Beliau percaya Mueller boleh memulihkan MAS untuk jangka masa pendek sahaja berikutan persaingan daripada syarikat penerbangan Timur Tengah dan syarikat penerbangan tambang rendah.
Dalam Pada Itu, Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) Meminta Kerajaan Menyerahkan MAS Kepada Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia, Tan Sri Tony Fernandes
Setiausaha Agungnya, S.Barathidasan berkata pihaknya percaya Tony dapat memperbaiki pengurusan dan pengendalian syarikat penerbangan itu dengan baik selepas mengalami kerugian jutaan ringgit setiap tahun.
“MIPAS mencadangkan agar menberi kepercayaan kepada Tony untuk menguruskan pentadbiran MAS selama 3 tahun dan biar kita lihat hasilnya. Jika dalam tempoh tiga tahun tiada prestasi yang cemerlang maka kita tidak akan kehilangan apa jua kerana selama ini pun graf prestasi keuntungan MAS yang menunjukkan tanda negatif,” katanya.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican Pula Berkata Pelantikan Kepakaran Luar Mengetuai Syarikat Berkaitan Kerajaan Harus Melalui Proses Dan Pandangan Yang Menyeluruh Dan Holistik
"Sementara saya mengakui yang industri aviasi ini sangat strategik dan penting, namun ia tidak seharusnya membenarkan pelantikan pengurusan tertinggi dilakukan secara simplistik dan mudah."
"Walaupun mungkin Mueller adalah 'pakar terbaik' di dalam industri penerbangan dan aviasi, beliau masih boleh berperanan sebagai 'konsultan' dan bukannya seorang CEO," katanya.
Kata Reezal, seperti dalam kes Petronas yang mengumumkan pelantikan pakar luar sewaktu menubuhkan 'Vestigo Petroleum' baru-baru ini, beliau menyatakan pendiriannya dalam Dewan Rakyat yang tenaga dan kepakaran tempatan mesti diberikan keutamaan dalam apa jua keadaan.
Ketika Pelbagai Reaksi Negatif Dilemparkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai Berkata Pelantikan Ini Menunjukkan Khazanah Komited Untuk Memperkukuhkan Kembali Syarikat Penerbangan MAS
Beiau menganggap kemampuan Mueller memulihkan syarikat penerbangan Ireland yang bermasalah, Aer Lingus dalam tempoh setahun, diyakini mampu melonjak kembali prestasi MAS sebagai antara syarikat penerbangan terbaik dunia.
Liow berkata, kejayaan Mueller melakukan transformasi terhadap syarikat penerbangan bermasalah tidak boleh dinafikan.
"Kita berharap Mueller mampu memulihkan MAS dan terus menjadi medium terbaik untuk kita menjalinkan hubungan dengan negara lain di dunia," katanya.
Mengenai Perkembangan Lain, Khazanah Nasional Juga Mengumumkan Pelantikan Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid Sebagai Pengerusi Pusat Kemahiran Semula Korporat (CRC) Yang Dijadual Dilancarkan Pada 1 April 2015
Selain itu, Shahryn Azmi dinamakan sebagai CEO CRC, manakala Datuk Boonler Somchit dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC.
Pelantikan Bashir, Shahryn dan Boonler akan berkuat kuasa 1 Jan, 2015.