Kes Covid-19 Turun Mendadak Di Korea Tanpa 'Mengunci' Bandar. Apa Rahsia Kejayaan Mereka?
Hebat Korea Selatan!
Korea Selatan telah muncul sebagai simbol harapan dan model untuk dijadikan ikutan bagi negara-negara lain
Negara dengan penduduk 50 juta ini nampaknya berjaya memperlambat penularan wabak Covid-19, melaporkan hanya 74 kes baru pada 17 Mac lalu berbanding 909 ketika kemuncaknya pada 29 Februari.
Hebatnya, Korea Selatan berbuat demikian tanpa mengunci seluruh bandar atau mengambil langkah seperti meminta rakyat untuk tidak keluar dari rumah.
Salah satu rahsianya adalah dengan tidak menimbulkan kebimbangan atau kekacauan dalam kalangan rakyat
"Korea Selatan adalah sebuah republik demokratik, kita rasa kekacauan bukan pilihan yang munasabah," kata Kim Woo-Joo, pakar penyakit berjangkit di Universiti Korea.
Di sebalik kejayaan ini juga adalah program ujian yang terluas dan paling teratur di dunia, digabungkan dengan usaha meluas untuk mengasingkan orang yang dijangkiti daripada kontak rapat
Korea Selatan telah menyaring lebih daripada 270,000 orang, jumlah paling ramai jika dibandingkan dengan mana-mana negara lain.
Pengalaman Korea Selatan dalam menangani penularan wabak Covid-19 menunjukkan bahawa diagnostik pada skala besar adalah kunci kepada kawalan epidemik.
Korea Selatan telah belajar tentang betapa pentingnya penyediaan rapi melalui kesilapan dan pengalaman pahit sindrom MERS pada 2015
Pada tahun 2015, seorang usahawan Korea Selatan dijangkiti dengan MERS selepas kembali dari lawatan ke tiga negara Timur Tengah.
Dia telah dirawat di tiga kemudahan kesihatan Korea Selatan sebelum dia didiagnosis dengan MERS dan dikuarantin. Namun pada masa itu, usahawan tersebut telah meninggalkan rantaian penularan wabak yang menjangkiti 186 orang dan membunuh 36 orang, termasuk pengunjung dan kakitangan hospital.
"Pengalaman itu menunjukkan bahawa ujian makmal adalah penting untuk mengawal penyakit berjangkit yang baru muncul," kata Kim.
"Sindrom MERS secara langsung membantu kami memperbaiki pencegahan dan kawalan jangkitan hospital. Setakat ini juga, tiada laporan mengenai jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja penjagaan kesihatan di Korea Selatan."
Selepas novel koronavirus muncul di China, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) berlumba-lumba membangunkan kit ujian komersial
Ujian pertama telah diluluskan pada 7 Februari, ketika negara itu hanya ada beberapa kes dan segera diedarkan ke pusat-pusat kesihatan daerah. Hanya 11 hari kemudian, seorang wanita berusia 61 tahun, yang dikenali sebagai "Case 31," diuji positif.
Selain itu, pesakit berisiko tinggi diberi keutamaan untuk dimasukkan ke hospital manakala mereka yang mempunyai gejala sederhana dihantar ke kemudahan latihan korporat dan ruang yang disediakan oleh institusi awam, di mana mereka mendapat sokongan dan pemerhatian perubatan asas.
Korea Selatan juga mengenakan hukuman keras ke atas mereka yang melanggar perintah kuarantin
Sesiapa yang melanggar perintah kuarantin akan menghadapi denda sehingga 3 juta won (RM10,467).
Jika rang undang-undang baru-baru ini telah berkuatkuasa, jumlah denda akan meningkat sehingga 10 juta won (RM34,888) dan setahun penjara.
Paling hebat, tiada satu bandar pun yang dikawal pergerakan selama wabak Covid-19 menular di Korea Selatan
Sebaliknya, kerajaan menasihatkan orang ramai untuk lakukan perkara paling asas iaitu memakai topeng muka, mencuci tangan, menghindari orang ramai dan mesyuarat, bekerja dari rumah, dan sertai perkhidmatan keagamaan dalam talian daripada pergi ke gereja.
Mereka yang mempunyai demam atau penyakit pernafasan digesa untuk tinggal di rumah dan memerhati gejala mereka selama 3 hingga 4 hari sebelum pergi ke hospital.