Disk Rosak, Risiko Kanser Dan Lagi Kesan Negatif Duduk Berjam-Jam Di Hadapan Komputer
Adakah anda salah seorang?
Hari ini, kita hidup di dunia moden di mana mesin akan melakukan pekerjaan untuk kita. Ini sebenarnya menyingkirkan keperluan terhadap tenaga manusia.
Seramai 34 juta rakyat Amerika bekerja di pejabat atau jualan langsung, lalu memaksa mereka untuk kekal duduk di atas kerusi selama 8 jam atau lebih setiap hari.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Annals of Internal Medicine, individu yang bekerja akan meluangkan lebih daripada separuh masa mereka dalam posisi yang tidak aktif seperti contoh duduk di hadapan komputer, menonton televisyen ataupun duduk di dalam pengangkutan awam ketika pergi dan balik kerja.
Walaupun teknologi akan membawa pelbagai manfaat seperti mempercepatkan pekerjaan, meminimakan tenaga serta menghubungkan kita sepantas cahaya, ia masih mempunyai pelbagai mudarat
Duduk terlalu lama akan mengakibatkan pelbagai masalah seperti sakit belakang yang kronik, postur badan yang tidak bagus malahan boleh menyebabkan penyakit seperti diabetes, penyakit jantung serta obesiti.
Jika anda merupakan pekerja yang terpaksa duduk lama di pejabat anda, lihat bagaimana ia mampu memberi kesan spesifik kepada kesihatan anda menurut 4 pakar di dalam industri:
1. Isu otak, leher dan bahu
Menggerakkan badan kita akan menyebabkan lebih banyak darah dan oksigen mengalir ke otak sekali gus membantu kita mengekalkan kejelasan dan ketajaman minda. Namun begitu, duduk terlalu lama akan mengakibatkan aliran darah dan oksigen ke otak menjadi perlahan lalu menjejaskan kemampuan kita untuk berfikir sebetulnya.
Selain itu, posisi membongkok di atas kerusi bagi tujuan melihat skrin komputer akan mendatangkan tekanan yang hebat kepada leher anda terutamanya cervical vertebrae yang menyambungkan tulang belakang dengan kepala anda. Postur badan yang tidak bagus juga kan merosakkan otot belakang dan bahu akibat terbeban dengan keperluan individu untuk membongkok ke skrin komputer dan papan kekunci pada tempoh masa yang lama.
2. Masalah belakang
Salah satu daripada masalah yang paling biasa dialami oleh kebanyakan pekerja adalah masalah belakang. Postur badan yang tidak bagus semasa sedang bekerja akan mengakibatkan sakit belakang, tulang belakang yang tidak fleksibel serta kerosakan pada disk. Dengan kerap bergerak, disk akan menjadi lembut di antara vertebrae di dalam tulang belakang untuk mengembang dan menguncup lalu membenarkan perjalanan darah dan nutrien. Dengan duduk terlalu lama, disk ini akan menjadi tidak stabil dan terlalu padat lalu menyebabkan kolagen terbentuk pada tendon dan ligamen.
Selain itu, herniated lumbar disks juga lebih kerap berlaku pada individu yang meluangkan masa yang panjang duduk di hadapan komputer.
3. Kemerosotan otot
Duduk terlalu lama tidak memerlukan penggunaan otot Ab dan jika ia tidak digunakan buat masa yang terlalu lama, ini akan mengakibatkan swayback iaitu tulang belakang berada kepada kedudukan yang tidak semulajadi. Tambahan itu, duduk terlalu lama juga akan mengurangkan fleksibiliti terutamanya pada pinggang dan belakang. Pinggang yang fleksibel dapat membantu kestabilan badan. Namun begitu, duduk terlalu lama akan mengakibatkan otot flexor menjadi lebih pendek dan tegang.
Otot glute juga akan menjadi lebih lembut akibat tidak digunakan buat tempoh masa yang lama dan ini akan mengehadkan kebolehan badan untuk melangkah lebih jauh dan mengekalkan kestabilan badan.
4. Kemerosotan organ
Duduk terlalu lama boleh mengundang sakit jantung, penyakit kardiovaskular dan kanser kolon. Dalam erti kata yang lain, masalah ini adalah disebabkan oleh terlebih penghasilan insulin akibat tidak aktif lalu memperlahankan aliran darah kepada organ-organ dalam badan. Dengan kerap bergerak, sel yang menyebabkan kanser dapat dibunuh sekali gus merembeskan antioksidan yang mampu menyingkirkan radikal bebas sebelum ia merebak.
Terlebih penghasilan insulin juga boleh mengakibatkan pertambahan berat badan yang menyumbang kepada diabetes dan obesiti.
5. Gangguan kaki
Jelas sekali, duduk terlalu lama akan mengehadkan pengaliran darah di dalam kaki. Ini akan menyebabkan darah untuk berkumpul pada buku lali lalu menyebabkan ia membengkak, pergumpalan darah serta vena varikos. Isu lain yang akan berlaku disebabkan duduk terlalu lama ini adalah tulang menjadi lebih lemah dan kurang tumpat. Ini mungkin menjelaskan mengapa ramai individu dewasa mengalami osteoporosis.
Menurut kajian, individu yang menonton televisyen lebih daripada tempoh 8.5 tahun mempunyai 61% lebih risiko untuk meninggal dunia pada usia yang muda jika hendak dibandingkan dengan individu yang menonton televisyen kurang satu jam sehari.
Jadi, bagaimana kita boleh melawan epidemik ini?
Pertama sekali, jika anda masih perlu untuk duduk dalam tempoh yang lama bagi melakukan pekerjaan, pastikan anda duduk dengan tegak dan elakkan membongkok ke hadapan papan kekunci anda. Jika anda masih juga terpaksa melakukannya, beli sebuah bola senaman, yang boleh membantu otot Ab anda untuk bekerja di samping memastikan postur badan anda kekal tegak. Anda juga boleh menggunakan kerusi yang tidak mempunyai bahagian belakang jika anda mahukan sesuatu yang lebih stabil berbanding bola senaman.
Kedua, pastikan anda bangun untuk menggeliat sekali-sekala. Berapa kerapkah ini perlu dilakukan? Menurut pakar, ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap 30 minit. Bangun dan berjalanlah di sekeliling pejabat anda untuk beberapa minit bagi memastikan pengaliran darah anda ke otak dan otot berfungsi secara optimal.
Ketiga, yoga dapat membantu otot untuk menjadi lebih fleksibel selain membenarkan minda untuk relaks daripada sebarang tekanan kerja. Anda juga boleh membeli meja kerja yang membolehkan anda melakukan kerja secara berdiri kerana ia merupakan posisi yang paling sesuai untuk melakukan pekerjaan. Ini dapat membantu darah dan oksigen mengalir dengan lebih bebas ke seluruh bahagian badan sekaligus mengurangkan risiko pergumpalan darah dan pelbagai masalah kesihatan berbahaya yang lain.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh SAYS atas keizinan.
Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook