Kini Hanya 1 Beg Laptop, 1 Beg Tangan Atau 1 Beg Kecil Dibenarkan Masuk Pesawat AirAsia
Ini merupakan polisi dan garis panduan terbaru AirAsia bagi syarat-syarat bagasi yang boleh dibawa menaiki kapal.
Tidak dinafikan, setelah pihak kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri, ramai yang berpusu-pusu membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kampung
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia kini mengeluarkan garis panduan terbaru berkenaan jenis bagasi yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam pesawat.
Selepas polisi tersebut dikemaskini, hanya tiga jenis beg dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam pesawat iaitu:
1- Beg komputer riba.
2- Beg tangan.
3- Beg bersaiz kecil.
Walau bagaimanapun, setiap penumpang hanya dibenarkan untuk membawa sebuah beg sahaja. Tambahan pula, setiap beg yang dibawa masuk perlu memenuhi tiga syarat ini:
- Tidak boleh melebihi 40cm (ketinggian) x 30cm (lebar) x 10cm (panjang)
- Tidak boleh melebihi berat 7kg
- Boleh dimuatkan di bawah tempat duduk hadapan penumpang
Namun, jika bagasi kabin penumpang tidak boleh dimuatkan di bawah tempat duduk di hadapan, penumpang dibenarkan mendaftar masuk bagasi kabin secara PERCUMA
Syarat yang perlu dipatuhi pula adalah bagasi kabin yang didaftar masuk secara percuma tersebut perlulah tidak melebihi berat 7kg. Sekiranya berat beg tersebut melebihi had 7kg, caj tambahan akan dikenakan untuk setiap kilogram berat lebihan beg.
Polisi baru ini dibuat selepas ruang bagasi di atas kepala penumpang tidak boleh digunakan pada ketika ini. Keputusan itu adalah bagi mengurangkan pergerakan dan amalan penjarakan sosial di antara penumpang di dalam pesawat dan dikuatkuasa selepas proses hibernasi pesawat AirAsia ditarik semula pada 29 April yang lalu.