Kisah Bagaimana Remaja 17 Tahun & Kanak-Kanak OKU Lemas Sewaktu Banjir Di Terengganu
Alfatihah...
Jika sebelum ini Penang, kini giliran Terengganu pula dilanda banjir akibat hujan lebat yang tidak henti-henti sejak kebelakangan ini
Memetik laporan Astro Awani pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 2,935 berbanding pada Selasa seramai 1,979 mangsa.
Sehingga pukul 5 pagi Rabu sebanyak 74 pusat pemindahan diaktifkan di tujuh daerah kecuali Kemaman.
Bagaimanapun, malang tak berbau, bencana alam itu telah meragut dua nyawa di Terengganu yang mati akibat lemas
Mangsa 1: Zulfaiz Zukarmi, tergelincir di jambatan
Seorang pelajar, Zulfaiz Zukarmi, 17, yang baru sahaja selesai menduduki kertas terakhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Isnin lalu dilaporkan lemas selepas tergelincir ketika melintasi jambatan di Kampung Bukit Payung, Jertih, semalam.
Allahyarham dikatakan keluar bermain air bersama rakannya ditemui di sungai kira-kira 150 meter dari rumahnya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa bersama enam rakan lain sedang melintasi jambatan di kampung itu sebelum dia tergelincir.
Menurut Datuknya, mangsa telah meminta izin berkali-kali untuk keluar main bersama rakan-rakannya.
"Saya melarangnya selepas dia beritahu tidak pandai berenang tetapi arwah terus merayu hingga saya mengalah dan memberi izin kepadanya,” katanya.
Tidak lama selepas itu dia mendapat berita cucunya dihanyutkan air selepas tergelincir ketika melalui jambatan yang sudah dinaiki air.
"Mayatnya ditemui anak saya yang juga bapa saudaranya tidak jauh dari tempat dia tergelincir," katanya ketika ditemui di Hospital Besut.
Allahyarham juga merupakan sorang pelajar cemerlang sekolahnya dan meraih 10A ketika Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dulu,
Remaja itu juga menjadi pelajar harapan sekolah berkenaan untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Mangsa 2: Kalid Al Wyalid Juzaiman, lemas di dalam sungai
Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran ditemui lemas di dalam sungai Kampung Tok Hakim, Kuala Terengganu, semalam.
Permintaan mangsa untuk memiliki sebuah basikal nampaknya tidak kesampaian apabila dia lemas selepas tergelincir dan ditemui pasukan penyelamat pada 1 tengah hari.
Ibu mangsa, Mahani Mohamad, 40, memberitahu bahawa dia rasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan arwah yang mahu memiliki sebuah basikal.
"Sebelum ini, dia minta saya belikan dia basikal untuk dibawa ke sekolah dengan menggunakan wang yang disimpannya di dalam bank.
"Malah, kami juga pernah ke kedai basikal untuk melihat basikal namun saya bagi tahu akan beli apabila sesi persekolahan bermula namun tidak sangka dia pergi dahulu, " katanya.
Menurut wanita itu, kejadian menimpa anaknya hanya diketahui selepas dimaklumkan rakan arwah.
Katanya, sebelum itu, arwah ada di rumah dan dia tidak sedar bila anaknya itu keluar bermain sehingga dikejutkan dengan berita mangsa jatuh ke dalam sungai.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kami memang tidak nampak kelibat arwah sebelum memanggil orang kampung untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Arwah juga dikatakan sering bertanyakan kisah-kisah nabi dan meminta ibunya itu menceritakan kisah berkenaan hampir setiap malam.
"Arwah minta saya bercerita kerana ingin tahu pengorbanan seorang nabi. Malah, ada antara kisah nabi itu diceritakan berkali-kali atas permintaanya.
"Terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya mayatnya ditemui segera," katanya.