Seorang Gadis Melayu Kongsi Kisah Peribadi Yang Menyentuh Hati Ketika Menuntut Di Syria
Dahulunya negara Syria aman damai, sekarang?
Tahukah anda, kini berlakunya pergolakan pelarian perang dari Syria yang sedang membanjiri bumi Eropah?
Dan tahukah anda, mereka kini hidup susah sehingga harus menggadai nyawa meninggalkan tanah kelahiran tercinta hanya untuk terus hidup bahagia?
Aishah Fauzi, seorang eksekutif syariah di Takaful Berhad menceritakan pengalamannya sendiri dilayan baik oleh orang Syria ketika belajar di sana suatu ketika dulu. Ikuti kisah Aishah di bawah:
"Semasa saya menjadi foreigner dulu kat sana (Syria), balik sekolah dari rumah Sheikhah, teringin nak makan pizza ada cheese dan zaitun. Tapi bila saya kira duit, ada beberapa Lira sahaja."
"Duit tak cukup. Jadi saya nak beli pizza yang kosong saja minta dibungkuskan."
"Tetapi ammu (penjaga kedai) bungkus pizza yang mahal, dan saya kata please, please, jangan. Saya nak yang kosong saja. Tapi makin banyak dia letak."
"Saya jadi takut. 'Matilah, nak bayar macamana?' Ammu senyum."
"Tiba-tiba seorang wanita menyapa saya. Dia bertanya, 'Kamu datang sini belajar hadis? Belajar Quran? Berapa orang di rumah kamu?' Saya jawab 'Ya, tujuh orang'".
"Dia suruh orang kedai itu tambah lagi roti dan pizza dan berikan pada saya dan turut ingin memberikan saya duit belanja. Tapi saya tak nak. Ya Allah, murahnya hati. Saya pun bawa balik roti-roti macam-macam pada adik-adik yang serumah dengan saya. Kami gembira kerana cukup bekalan makanan untuk seminggu lebih."
"Pernah saya naik teksi sorang-sorang dan dalam perjalanan nak pergi rumah Sheikhah, saya menangis secara diam-diam kerana pada masa itu saya sedang runsing dan takut memikirkan kena balik Malaysia seorang diri."
"Semasa hendak turun dari teksi, saya nak bayar tambang. Tapi ammu yang bawa teksi tu beritahu 'Cukuplah kalau awak gembirakan hati awak dan selamat sampai di sini.'"
"Semasa mendapat ijazah sanad Al-Quran, saya menghadiri 3 majlis berasingan yang meraikan saya. Dapat hadiah dan makanan yang sangat banyak. Diraikan macam puteri raja oleh orang-orang Syria walaupun mereka bukan ahli keluarga saya."
"Saya tak mampu nak buat apa-apa, berair mata dari mula majlis sampai akhir. Sheikhah akan peluk saya, dan berbisik. Katanya, 'Doakanlah kami ya Aishah ratu air mata, kami mahu doa darimu'. Lagi kuat saya menangis."
"Sheikhah saya, sampai sekarang setiap waktu setiap saat asyik risaukan saya. Padahal keadaan dia jauh lebih merisaukan saya! Lailahaillallah."
"Bila tengok gambar ini dan gambar-gambar lain, rasa seperti tak mampu nak pandang. Sebab dulu kita hidup dengan mereka dan kini tak sanggup dengar khabar-khabar derita tentang mereka," cerita Aishah.
Aishah Fauzi mengakhiri perkongsian pengalamannya dengan doa kepada para pelarian di Syria
"Damailah jiwa-jiwa yg berjuang sedang syurga tersedia menanti ruh-ruhmu pulang. Allahumma Ameen! Allah Save Syria, Ameen! Bersama-sama kita meneruskan legasi-legasi Al-Quran agar sentiasa kehadapan! Hulurkan tangan ringankan beban. Aku masih punya amanah dengan Allah yg harus terus dikerjakan."