#TakkanGentar: Kisah Inspirasi 7 Atlet Asia Tenggara Demi Merealisasikan Impian Olimpik
Dimana ada kemahuan di situ ada jalan!
Bukan mudah untuk bertanding di Sukan Olimpik bertaraf dunia. Untuk sampai ke tahap itu, seorang atlet pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan, dan halangan.
"Tiada pengorbanan, tiadalah kejayaan."
Inilah pepatah yang paling sesuai digunakan dalam kehidupan seharian seorang atlet. Penat lelah, keringat, pengorbanan, dan usaha keras tanpa jemu setiap hari selama bertahun-tahun terpaksa diharungi demi mencapai kegemilangan.
Kisah inspirasi #takkangentar 7 atlet ini adalah buktinya:
1. Joseph Schooling - Singapura.Si muda mentah yang mengejutkan dunia.
Daripada tidak diberi perhatian, nama Joseph Schooling, 21, terus melonjak dan diberi gelaran 'Ikan Bilis Singapura' selepas berjaya menundukkan ego superstar Michael Phelps sebagai jaguh kolam renang. Beliau memenangi pingat emas sulung untuk negaranya dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, sekali gus mencatat rekod Olimpik 50.39 saat.
Phelps merupakan idola Schooling dalam sukan renang ini. Pada tahun 2008, Schooling berjumpa buat pertama kali dengan idolanya itu ketika Phelps membuat lawatan ke Singapura bersempena Olimpik Beijing. 8 tahun kemudian, hasil usaha dan latihan yang intensif, beliau berjaya mengalahkan idolanya; sesuatu yang tidak beliau sangka.
Selepas pertemuan itu, Schooling tetapkan dalam hati yang beliau mahu menjadi seperti Phelps dan ingin menjadikan sukan renang sebagai karier beliau.
Ketika di sukan Olimpik London 2012, beliau tidak berjaya menempatkan diri di peringkat semi-final kerana mempunyai masalah dengan goggle yang dipakainya. Masalah goggle itu sedikit sebanyak menggangu prestasi Schooling untuk berenang dengan baik.
Phelps adalah insan yang sekali lagi menjadi hero kepada Schooling. Selepas acara tersebut, Phelps datang kepada Schooling lalu memeluknya dan memberi motivasi untuk terus berusaha dan tidak putus asa.
“Awak masih muda, masih jauh perjalanan dalam sukan ini. Ini semua adalah proses pembelajaran dan awak hanya perlu terus ke hadapan,” kata Schooling bercerita tentang detik tersebut.
2. Hidilyn Diaz - Filipina.Sukan dijadikan sandaran bagi melawan kemiskinan.
Ketika berumur 11 tahun, Hidilyn Diaz sedar dirinya mempunyai bakat besar apabila mampu mengangkat berat yang jauh lebih berat daripada apa yang kebanyakan lelaki seusianya mampu.
Tidak lama kemudian, angkat berat menjadi lebih daripada sekadar aktiviti masa lapang. "Ia hanya satu permainan, tetapi saya sedar saya boleh mendapatkan biasiswa daripadanya. Itu saja cara yang saya ada untuk memasuki sekolah tinggi dan kolej," kata Hidilyn.
Pada tahun 2008, hanya 17, beliau berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik pertamanya di Beijing. Bertanding dalam kategori 58kg, dia mengangkat berat 85kg dalam acara snatch, dan hampir dua kali ganda berat badannya - 107kg - dalam clean and jerk, untuk sejumlah 192kg, memecahkan rekod Filipina beliau.
Tetapi ia tidak mencukupi untuk membawa pulang pingat.
Beliau mengakhiri Sukan Olimpik Beijing dengan satu janji. Empat tahun kemudian di London, ia merupakan satu malapetaka.
Tiga kali dalam kejohanan itu, Hidilyn Diaz cuba untuk mengangkat berat 118kg dalam clean and jerk, dan sebelum sempat beliau meletakkan di atas kepalanya, beliau terpaksa lepaskan. 118kg adalah terlalu berat untuk atlet dengan ketinggian 1.52 meter ini.
London merupakan Sukan Olimpik keduanya. Beliau adalah salah satu daripada sedozen atlet Filipina yang berjaya layak. Malangnya, London berakhir dengan tiga huruf yang mengecewakan: DNF - Did Not Finish.
Dua puluh tahun tanpa pingat buat Filipina, akhirnya Hidilyn Diaz mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik Rio 2016 apabila berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara angkat berat kategori 53kg wanita. Lebih hebat, beliau merupakan wanita Filipina pertama yang berjaya meraih pingat Olimpik untuk negaranya.
3. Hoang Xuan Vinh - Vietnam.Survive kehidupan kanak-kanak dengan ubi kayu.
Vinh mengharungi zaman kanak-kanak yang sukar. Ibunya meninggal dunia ketika dia berusia tiga tahun dan dia membesar dalam keluarga miskin yang tidak mampu membeli beras. Dia bersama adik-adiknya hanya mengharapkan pada ubi kayu sebagai makanan seharian.
Keputusannya untuk mengikut jejak langkah bapanya dan menyertai tentera adalah kerana tidak mempunyai wang untuk memasuki kolej.
Fast forward ke tahun 2016, Hoang Xuan Vinh berjaya membawa pulang dua pingat di Sukan Olimpik Rio untuk Vietnam: pingat perak dalam acara menembak 50 meter lelaki dan pingat emas dalam acara menembak 10 meter lelaki.
"Sukan ini memerlukan banyak tumpuan dan keupayaan untuk menyelaraskan segala-galanya (pernafasan, pergerakan badan, aim, perlepasan tembakan) dengan tepat. Tembak pada sasaran memang ramai orang boleh buat. Tetapi untuk menguasai seni menembak itu memang sangat mencabar," kata Vinh.
Pada Kejohanan Sukan Asia Guangzhou 2010, penembak tepat terbaik Vietnam ini berada di ambang sejarah. Beliau mendahului acara tembak 25 meter dan sedang membuat tembakan ke-60 dan terakhir apabila bencana melanda. Setiap peserta mempunyai hanya tiga saat untuk melepaskan tembakan tetapi dia terlewat sedikit.
Tiada skor didaftarkan dan harapan pingat emas pertama Sukan Asia untuk Vietnam berkecai. Beliau terpaksa akur di tangga ke-14 dan berasa sangat kecewa.
4. Ratchanok Intanon - Thailand.Dari budak miskin 'tomboy' ke pentas dunia.
Si kecil Ratchanok tidur di atas tilam di lantai kilang gula manakala ibu bapanya bekerja di sekelilingnya. Sejak kecil, ibunya sendiri tidak sangka anaknya itu akan menjadi atlet bertaraf dunia suatu hari nanti. Personalitinya yang pendiam dengan pakej tubuh kecil langsung tidak memberi apa-apa petunjuk.
Ratchanok bekerja keras. Setiap hari dia mulakan latihan pada 5.30 pagi sebelum sekolah. Kemudian sambung lagi dua sesi selepas kelas. Dia berlatih sehingga menangis. Bayangkan rutin seorang kanak-kanak seperti itu.
Usaha mula membuahkan hasil apabila beliau menjuarai kejohanan remaja dunia tiga kali berturut-turut (2009-11), dan sekali lagi pada 2013 menewaskan pemain nombor 1 dunia dari China ketika itu dan juara Olimpik Li Xuerui untuk menjadi juara dunia termuda badminton.
Pada April 2016, Ratchanok menduduki takhta nombor 1 dunia. Beliau berdiri megah hari ini, tetapi tidak bermaksud beliau tak pernah gagal. Ratchanok hampir putus asa sebelum ini.
Kekalahan dahsyat di Wembley Arena pada 2012 sentiasa menghantui fikirannya. Beliau mendahului satu set, dan hanya lima mata dari kemenangan di peringkat suku akhir menentang Wang Xin dari China. Tetapi di akhir perlawanan, beliau tewas dan jatuh tersungkur.
Sebagai seorang remaja yang baru berusia 17 tahun ketika itu, dia hanya fikir untuk berhenti. Namun hari ini, dia tahu kekalahan itulah yang membawa kegemilangan buat dirinya sekarang.
5. Jun Hoong - Malaysia.Atasi episod luka dan bangkit semula dari kekalahan dalam masa 3 hari sahaja.
Jun Hoong menangis sebaik tamat saingan 3 meter papan anjal seirama dan mengakui kesilapannya menjadi punca dia bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri terlepas pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio.
Gandingan itu berada dalam posisi baik untuk memenangi gangsa sehingga terjunan ketiga tetapi kesilapan Jun Hoong pada terjunan keempat menyebabkan dia dan Dhabitah terpaksa menggigit jari.
Tiga hari kemudian, segalanya berubah.
Jun Hoong mengharumkan nama negara apabila berjaya mengutip pingat pertama buat Malaysia dalam kejohanan tersebut. Beliau bersama gandingannya Pandelela Rinong menghadirkan khabar gembira setelah berjaya meraih pingat perak buat Malaysia dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.
Selepas gagal bersama Dhabitah, penerjun berusia 26 tahun itu berjanji menebus semula kesilapannya dengan tampil melakukan terjunan mantap apabila turun bergandingan dengan ratu terjun, Pandelela Rinong.
"Apa yang berlaku dalam 3 meter papan anjal itu sudah saya lupakan. Ini kerana saya mempunyai tugas kedua yang penting dalam 10 meter platform seirama pula.
"Saya harap tidak melakukan kesilapan lagi dan dapat menebusnya. Saya tidak mahu mengecewakan gandingan saya lagi," kata Jun Hoong.
6. Maria Londa - Indonesia.Wanita berparu-paru kecil dengan kaki pendek sebelah.
Bertanding dalam Olimpik pertama akan membawa perubahan besar buat atlet Indonesia Maria Natalia Londa, yang bapanya sendiri ragu-ragu sama ada dia boleh berfungsi seperti normal.
Dilahirkan dengan paru-paru yang lebih kecil daripada biasa, dia sering sesak nafas. Dia juga mengalami saluran darah tersumbat di kaki, dan pembedahan telah mengakibatkan kakinya lemah dan pendek sebelah.
Dalam usaha untuk menguatkan tubuhnya, mendiang bapanya, Kamilus memaksa beliau berlari selama 30 minit setiap pagi, manakala bapanya itu menunggang basikal sambil bersorak memberi semangat.
Kemiskinan tidak menghalangnya untuk berjaya. Walaupun hanya memakai sepasang kasut sukan biasa untuk tempoh 3 tahun sehingga hancur, Maria tidak pernah mengeluh. Pada usia 12 tahun, beliau mendapat tempat ketiga dalam kejohanan remaja kebangsaan. Kemudian, beliau memenangi setiap pertandingan domestik yang dimasukinya dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.
Kejayaan demi kejayaan menyusul dan merubah kehidupannya. Beliau yang dulu hidup miskin dan hanya tinggal di dalam rumah tidak bertingkap, kini mampu membeli sebuah rumah untuk dirinya dan ibunya. Beliau juga menanggung kos universiti bagi dua adik kembarnya.
Pada 2011, beliau tidak dapat menahan kesedihan apabila bapanya Kamilus meninggal dunia. Namun, kesedihan itu dijadikan pembakar semangat untuk beliau raih pingat perak pada Sukan SEA di Palembang.
Di Myanmar 2013, dia akhirnya membawa pulang pingat emas - memenangi kedua-dua acara lompat dan juga menetapkan rekod lompat kijang baru negara, 14.17 meter yang amat memberangsangkan.
Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, beliau sekali lagi meraih pingat emas - pingat olahraga pertama Indonesia di Sukan Asia dalam tempoh 16 tahun.
7. Goh Liu Ying - Malaysia. Pembedahan pada kedua-dua belah kaki yang mampu meranapkan kariernya tidak sesekali menjadi halangan.
Sejak beberapa tahun lalu, Liu Ying bergelut dengan kecederaan lutut dan terpaksa menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya pada bulan Mei 2014.
Pembedahan dan tempoh pemulihan yang lama menyebabkan ranking Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon jatuh teruk ke kedudukan 281 dunia pada Mac 2015, setahun 5 bulan sebelum Olimpik Rio. Sebelum pembedahan tersebut, mereka menduduki tangga ke-3 dunia.
"Saya hanya Goh Liu Ying. Saya tidak mempunyai pencapaian yang luar biasa seperti pasukan China, saya tidak mempunyai prestasi yang mantap seperti pasukan Korea, saya tidak mempunyai strategi taktikal seperti pasukan Eropah, dan saya tidak mempunyai pengalaman luas seperti pasukan Indonesia. Saya hanya Goh Liu Ying," katanya.
Menurutnya, sementara atlet lain berjaya menamatkan latihan yang ditetapkan oleh jurulatih kebangsaan, dia hanya mampu untuk melengkapkan separuh, sambil menambah dia tidak dilahirkan dengan tubuh seorang atlet.
Tidak mampu untuk membina otot seperti atlet lain, Liu Ying berkata dia lebih mudah terdedah kepada kecederaan. Kekuatan kakinya juga lemah disebabkan pembedahan lutut major yang dijalaninya dua tahun lalu berbanding atlet lain.
Namun, kecederaan yang dialaminya tidak sedikit pun mematahkan semangat juang beliau dalam sukan badminton demi mengharumkan nama negara. Akhirnya, Goh Liu Ying dan pasangannya Chan Peng Soon mencipta sejarah pada 17 Ogos 2016 apabila berjaya meraih pingat perak pertama Malaysia dalam kategori beregu campuran dalam sejarah Sukan Olimpik negara.
Beliau berkata, matlamat awal mereka hanya untuk bertanding di peringkat kumpulan, tetapi mereka berjaya ke separuh akhir. Kemudian, Liu Ying merasakan mereka sebenarnya boleh membawa pulang pingat gangsa. Tetapi, mereka akhirnya berjaya meraih pingat perak.
"Berdiri di atas podium dan melihat bendera negara dinaikkan, saya menangis. Saya hanya boleh impikan saat ini, saya tidak pernah terfikir ianya boleh berlaku," kata Goh Liu Ying.
Para atlet negara bertungkus-lumus setiap hari dan bekerja keras demi mencapai kegemilangan. Keringat yang dicurahkan adalah semata-mata demi membawa nama negara ke persada antarabangsa!
Sejak dari awal karier masing-masing, mereka berusaha keras setiap hari tanpa jemu dan kini memberi inspirasi kepada atlet semasa dan akan datang untuk mencapai status bertaraf dunia. Semangat #takkangentar yang ada pada mereka ini seharusnya dijadikan iktibar buat kita semua untuk melangkah lebih jauh. Mereka telah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai!
Bersama-sama MILO Malaysia, kita menyokong wira tempatan dan sentiasa berada di belakang mereka walau apa pun terjadi
Tidak kira apa pun bangsa, warna kulit, dan warna kilauan pingat yang dibawa pulang, atlet Malaysia akan tetap disanjung sebagai wira negara. Tahniah kepada semua atlet kerana telah mengharumkan nama Malaysia. Malaysia Boleh!
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!