Konsert Taylor Swift Sangat Penting Buat Ekonomi Malaysia, Kita Sudah Rugi Besar
Singapura dikatakan menawarkan subsidi sehingga S$2-3 juta untuk setiap konsert.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Konsert jelajah Taylor Swift, The Eras Tour, yang berlangsung di Singapura selama 6 hari sehingga 9 Mac ini akan menghimpunkan ratusan ribu peminat dari seluruh dunia
Rata-rata peminat atau lebih dikenali sebagai 'Swifties' di rantau ini gembira dengan kehadiran Taylor Swift di Singapura kerana inilah peluang yang tidak akan mereka lepaskan untuk menonton persembahan penyanyi itu secara langsung.
Pada awalnya, konsert di Singapura dirancang untuk diadakan selama tiga hari sahaja iaitu, 2 sehingga 4 Mac. Bagaimanpun, ia ditambah 3 hari lagi pada 7,8, dan 9 Mac sekali gus menjadikan Singapura sebagai satu-satunya lokasi konsert di Asia Tenggara, dan perhentian kedua di Asia selepas Tokyo, Jepun.
Harga tiket konsert jelajah The Eras Tour bermula dari RM372 dengan prajualan tiket konsert bermula Julai lalu.
Namun baru-baru ini kecoh apabila Singapura didakwa 'kantoi' menawarkan geran kepada bintang tersebut untuk menjadikan Singapura sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menjayakan konsert tersebut
Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Kebudayaan dan Lembaga Pelancongan Singapura berkata, pihak berkuasa telah bekerjasama secara langsung dengan penganjur konsert tersebut.
Spekulasi itu menjadi viral selepas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mendakwa Singapura menawarkan subsidi sehingga AS$2-3 juta untuk setiap konsert sebagai pertukaran agar bintang terkenal itu bersetuju hanya menjadikan Singapura sebagai satu-satunya negara yang dipilih dalam rantau ini semasa jelajahnya.
Setelah isu ini menjadi kecoh, seorang penggubal undang-undang dari negara jiran iaitu Filipina dilaporkan mendakwa tindakan itu bukanlah perkara baik yang dilakukan negara oleh Singapura.
Bagaimanapun Singapura tidak mahu mendedahkan jumlah geran dan tidak pula menyatakan perjanjian eksklusif telah dibuat bersama pihak Taylor Swift.
Ekoran isu tersebut, menurut laporan Berita Harian, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjelaskan insentif itu bukanlah berhasrat untuk mencetuskan permusuhan dengan negara jiran
"Insentif itu dilihat aturan yang sangat berjaya. Saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang tidak mesra," - Lee Hsien Loong
Dalam pada itu, Singapura berkata siri jelajah Swift akan membawa faedah ekonomi tertentu kepada negara itu.
Tetapi berapa banyak keuntungan bersih yang akan dijana tidak pula dijelaskan.
Menurut Frances, BBC telah menghubungi Lembaga Pelancongan Singapura tetapi mereka enggan mendedahkan anggaran pelawat asing atau model lain.
Sebuah bank tempatan telah menganggarkan bahawa perbelanjaan pengguna mungkin melebihi AS$350 juta - tetapi itu berdasarkan ramalan yang sangat optimistik bahawa 70 peratus daripada hadirin adalah dari luar negara.
Malaysia perlu belajar daripada kesilapan. Kegagalan membawa masuk Taylor Swift ke dalam negara adalah kerugian besar
Memetik laporan FMT, pakar industri menyifatkan konsert Taylor Swift di Singapura ketika ini sebagai pengajaran mahal buat kerajaan Malaysia kerana ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, konsert itu bukan hanya memberi rangsangan besar terhadap ekonomi Singapura, tetapi turut meletakkan republik terbabit di peta dunia sebagai destinasi wajib dikunjungi di rantau ini.
“Kerajaan bukan saja perlu menggalakkan mereka (artis antarabangsa) datang dan membuat persembahan di sini, tetapi turut menyediakan dana dan insentif diperlukan yang akan menyaksikan ketibaan pelancong dari rantau ini dan tempat lain," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Livescape, Iqbal Ameer menyifatkan kehilangan peluang untuk menganjurkan konsert Swift pengajaran mahal buat Malaysia.
Beliau merujuk rekod prestasi Livescape dalam menganjurkan persembahan artis di negara ini, dengan pulangan sehingga 20 kali lebih banyak daripada jumlah prapandemi.
“Ternyata kerajaan Malaysia mengiktiraf potensi ekonomi acara langsung sedemikian,” katanya.
Sebelum ini, dalam satu laporan media, kehadiran bintang-bintang terkenal seperti kumpulan Coldplay dan Taylor Swift di Singapura telah menyuntik semangat peniaga-peniaga Johor Bahru untuk tidak melepaskan peluang ini
Peniaga di Johor berharap kehadiran bintang-bintang terkenal itu akan membawa kesan limpahan positif kepada ekonomi negeri di seberang tambak itu.
Mereka berharap pengunjung yang akan menyaksikan konsert itu akan memilih untuk menginap di Johor, kerana kos penginapan hotel dan membeli-belah lebih murah berbanding di Singapura.
“Kebanyakan pengunjung adalah dari Indonesia yang biasanya berbelanja semasa cuti di sini dan faham bagaimana untuk berulang-alik antara Johor dengan Singapura" - Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia cawangan Johor, Encik Ivan Teo
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!