Lagu 'Salam Dari Malaysia' Tanda Solidariti Berterusan Khas Buat Rakyat Palestin
Pelancaran lagu itu sempena setahun penderitaan rakyat Palestin sejak tragedi 7 Oktober tahun lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Media Prima Audio (MPA) mengambil inisiatif kemanusiaan dengan menjalinkan kerjasama bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan melancarkan lagu Salam Dari Malaysia bagi menyuarakan sokongan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin hari ini
Istimewanya, lagu Salam Dari Malaysia dihasilkan dengan kerjasama komposer, Edry Abdul Halim dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya bersama barisan penyampai radio dan artis tanah air dalam masa dua minggu sahaja.
Mereka yang terbabit termasuklah tiga personaliti dari rangkaian stesen radio MPA, iaitu AG Azmeer dari Hot FM, Haiza (Kool 101) dan Ean (Fly FM). Ia turut membabitkan penyanyi Tomok, Khai Bahar, Marsha Milan, Nabila Razali, Suki Low, Sweet Qismina dan Balan Kash.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, lagu Salam Dari Malaysia dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai tanda sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap bumi Palestin, hasil kolaborasi dengan kumpulan syarikat rakaman dan pengedaran, Alternate Records & Talents.
"Hari ini, dengan penuh keinsafan, kami berdiri bersama untuk memperingati satu tahun yang penuh luka sejak peristiwa tragis 7 Oktober tahun lalu. Peristiwa bukan sekadar sejarah hitam buat Palestin, tetapi juga peringatan kepada dunia akan kezaliman yang tiada henti.
"Kami persembahkan kepada dunia lagu 'tribute' penghormatan yang hadir dari lubuk hati, hasil kerjasama barisan penyanyi dari Malaysia yang berdedikasi. Lagu ini adalah suara hati, harapan dan keinginan kedamaian untuk bumi Palestin.
"Projek ini bukan sekadar inisiatif, tetapi satu tanggungjawab. MPA, penyampai radio, pemuzik dan rakan kerjasama seperti MAPIM berkumpul dengan satu matlamat.
"Kami tidak mahu hanya menjadi saksi bisu kepada kesengsaraan ini, tetapi mahu menggunakan apa yang ada untuk memberi kekuatan, sokongan dan harapan kepada mereka yang tidak mampu membela diri," katanya dalam satu kenyataan akhbar mengenai pelancaran lagu Salam Dari Malaysia dan Inisiatif Kemanusiaan MPA hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, Dr Sani Al-Araby Abdul Halim Araby.
Lagu Salam Dari Malaysia akan mula dimainkan di semua stesen radio di bawah MPA bermula hari ini
Mengulas lanjut, Nazri berkata, MPA telah mengambil langkah dengan memulakan kempen solidariti di Hot FM sejak tahun lalu.
"Kami membuka semula Tabung Palestin dan FLY FM memainkan Hind's Hall selama 24 jam sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi. Namun, itu hanyalah permulaan.
"Kami tidak boleh dan tidak akan berhenti. Hari ini, lagu tribute ini akan mula dimainkan di semua stesen radio di bawah MPA, sebagai satu seruan berkumandang ke seluruh Malaysia.
"Ia adalah simbol keprihatinan, suara yang akan terus menekan dan mengingatkan bahawa kita tidak boleh melupakan mereka yang sedang menderita. Ini bukan sekadar lagu, ia adalah doa kita kepada mereka, harapan keamanan dan seruan keadilan.
"MPA tidak akan berhenti bercakap mengenai Palestin. Kami tidak akan berhenti menyokong mereka yang teraniaya dan akan terus menggunakan segala platform yang ada untuk memastikan suara mereka terus didengar," katanya.
Lagu Salam Dari Malaysia akan disiarkan di semua platform radio di bawah MPA seperti Hot FM, Fly FM, Kool 101 dan Molek FM.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!