[VIDEO] Lelaki Ini Hilang Bayi Kembar Dan 23 Ahli Keluarga Dalam Serangan Kimia Di Syria
Ya Allah kuatkanlah jiwanya. :(
Sungguh memilukan. Itulah perkataan yang dapat kami ungkapkan setelah mendengar berita seorang lelaki yang kehilangan 25 ahli keluarga dalam satu serangan kimia di Khan Sheikhoun, Syria, Selasa lalu
Lebih menyedihkan, dua anak kembarnya yang baru berusia sembilan bulan turut terkorban. Abdel Hameed Alyousef, 29, dalam satu kenyataan memberitahu, dia berasa sangat terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan seluruh ahli keluarganya.
Dia dilihat cuba menahan air matanya mengusap lembut rambut kedua-dua anak kembarnya itu sambil berkata "Ucapkan selamat tinggal sayangku" kepada anaknya yang sudah tidak bernyawa di dalam satu video viral yang dimuat naik AJ+ di Facebook.
Video tersebut merupakan situasi di mana dia sedang dalam perjalanan ke tanah perkuburan. Dia sempat meminta sepupunya untuk merakam detik-detik terakhir perpisahannya bersama kedua-dua anak kembarnya itu.
Abdel menceritakan bahawa semasa insiden tersebut berlaku dia sedang berada bersama anak kembar lelaki dan perempuannya itu
"Saya membawa mereka ke luar rumah bersama ibunya.
"Ketika itu mereka masih dalam keadaan sedar. Tetapi selepas 10 minit kami sudah dapat menghidu bau gas tersebut.
"Anak saya tidak dapat bertahan lalu saya hantar mereka ke hospital kemudiannya mencari ahli keluarga saya yang lain." katanya dalam nada sedih.
Bagaimanapun, dia tidak sempat menyelamatkan ahli keluarganya yang lain. Semasa mencari, dia telah menemui mayat dua orang abangnya, tiga anak saudara serta jiran dan kawan.
“Saya tidak dapat menyelamatkan sesiapa. Mereka semua sudah mati,” katanya yang kemudiannya telah dimaklumkan isterinya juga meninggal dunia setelah tiba di hospital semula.
Menurut sepupunya, keadaan Abdel juga sebenarnya terjejas teruk akibat serangan kimia itu dan dia kini sedang dirawat kerana terdedah kepada toksin
Abdel berkata, dia rebah dan bangun beberapa jam kemudian di katil hospital kerana sangat terkejut dengan apa yang terjadi.
Seorang saksi kejadian melaporkan sebanyak empat roket melanda kawasan itu pada 6.30 pagi Selasa lalu yang menyebabkan kerosakan struktur yang minimal.
"Ketika serangan saya sedang tidur dan kemudiannya terkejut selepas terdengar satu dentuman kuat roket beberapa ratus meter dari rumah.
"Pada mulanya saya hanya nampak asap, saya berlari keluar melihat apa yang terjadi, saya lihat seorang wanita tiba-tiba jatuh ketika berjalan. Saya lantas masuk rumah menutup semua tingkap dan basahkan kain dengan air dan cuka epal untuk menutup muka," ceritanya.
Manakala, dalam satu video yang dimuat naik oleh CNN, Abdel menyuarakan rasa kecewa terhadap masyarakat dunia yang tidak menghiraukan kemelut yang sedang berlaku di Syria
Dia malah kecewa dengan pemimpin-pemimpin negara Arab yang seakan-akan tidur dan menutup mata dengan apa yang terjadi.
"Anak-anak saya bukan mangsa pertama yang mati dalam kemelut yang melanda ini," akhiri Abdel lalu menangis sepanjang video tersebut.
Dilaporkan seramai lebih 80 mangsa yang terdiri daripada 30 kanak-kanak dan 20 wanita telah terkorban dalam serangan kimia berkenaan.