Lelaki Yang Tak Hadir Solat Jumaat Di Kedah Bakal Dihukum Penjara
Mungkin sudah tiba masanya untuk penguatkuasa agama bertindak mencegah masalah yang telah sekian lama menular dalam masyarakat.
Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman di Kedah
Mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali
Hukuman adalah mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, menurut Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Perkara Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam ketika waktu solat Jumaat
"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri. Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita akan memohon waran tangkap daripada Hakim Mahkamah Syariah," kata Syeikh Ahmad Faisol.
Beliau juga berharap agar undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat buat kaun Adam di negeri Kedah.
Penguatkuasaan sepatutnya bermula 1 Feb lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.
Syeikh Ahmad Faisol juga berkata JAIK mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu menguatkuasakan undang-undang itu
"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu juga diedarkan kepada 568 masjid seluruh Kedah," katanya.
Beliau berkata orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan.
Bukan sahaja Kedah, Perlis dan Terengganu juga sebelum ini ada mencadangkan hukuman kepada pesalah yang tidak pergi ke solat Jumaat
Perlis: PAS Perlis mencadangkan supaya mengenakan hukuman denda kepada lelaki yang meninggalkan solat Jumaat sekiranya telah mencapai tahap akil baligh dan tiada sebab munasabah untuk meninggalkan solat sebagai bentuk pengajaran.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas supaya perkara seperti ini tidak berulang. Sebelum ini, jawatankuasa masjid juga pernah menghantar notis kepada penduduk sebagai peringatan tetapi kesannya hanya sementara,” kata ADUN Sanglang-PAS Mohd Shukri Ramli.
Terengganu: Kerajaan Terengganu bakal melaksanakan hukuman denda menaiki van jenazah terhadap lelaki Melayu khususnya golongan mat rempit yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat.
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa agama tempatan akan bertindak membawa mereka yang bersalah berarak di sekitar pusat bandar raya negeri itu dengan menaiki van jenazah sekiranya ditangkap.
"Mereka yang terbabit termasuk mat rempit didapati tidak menunaikan solat Jumaat akan ditangkap oleh penguat kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (MAIDAM) dan diberi kaunseling serta bimbingan agama terlebih dahulu," katanya.